Perundangan Islam adalah suatu perundangan "Rabbani" yang tidak semestinya semua yang wujud didalamnya dapat difahami dan diketahui falsafahnya oleh manusia di suatu zaman. Mungkin di suatu masa nanti rahsia-rahsianya akan tersingkap semuanya. Mungkin di suatu masa nanti rahsia-rahsianya akan tersingkap semuanya. Kemampuan manusia untuk menyelami hakikat yang tersembunyi di sebalik perundangan itu dibatasi oleh persekitaran dan keadaan hidup manusia itu sendiri.
Kebolehan insan untuk melihat rahsia-rahsia di sebalik kejadian-kejadian Allah dan cara hidup yang ditetapkan di dalam Islam juga dikongkongi oleh litupan "ghita" di atas mata manusia itu sendiri. Kalaulah litupan itu dibuka oleh Allah barulah akan terserlah segala-galanya. Tulisan ini hanyalah suatu percubaan yang serba terhad berdasarkan andaian di atas tadi, untuk mengulangi ulasan perundangan Islam dalam skop yang serba keunggulan terhad.
Walau apa pun yang dapat diperkatakan ini hanyalah secebis kecil daripada apa yang seharusnya boleh diperkatakan. Keunggulan Perundangan Islam sudah banyak diperkatakan dari permulaan lahirnya Islam itu sendiri hinggalah ke hari ini dan hari-hari akan datang. Namun demikian ruang untuk manusia memperkatakannya masih luas terbentang yang pada bila-bila masa manusia boleh terus membongkar rahsia yang terkandung di dalam perundangan itu sekiranya ada kemampuan berbuat demikian.
Pengulangan memperkatakan tentang keunggulan Perundangan Islam adalah sesuatu yang perlu. Keperluan itu lebih mendesak apabila keadaan masyarakat Islam itu sendiri masih jauh ketinggalan dalam bidang penghayatan undang-undang Islam. Apatah lagi pada zaman orang-orang tertentu sering-sering mempergunakan ungkapan penghayatan nilai-nilai Islam dalam masyarakat, sedangkan undang-undang Islam diketepikan dengan alasan yang bukan alasan.
Undang-Undang Islam telah lama dihayati oleh umat Islam, tetapi kerana tentangan dan permusuhan yang sering melanda umat Islam daripada berbagai-bagai sumber maka kelangsungan pelaksanaan Undang-undang Islam terbantut.
Kini semakin ketara bahawa umat Islam mula menyedari betapa perlunya undang-undang itu dihayati semula oleh pemerintah-pemerintah Islam demi menjaga dan membersihkan diri manusia daripada kesesatan dalam pegangan hidup beragama.
Kelangsungan pelaksanaan undang-undang Islam memberi keuntungan duniawi dan ukhrawi kepada orang-orang Islam. Jika tidak, iman seseorang itu boleh dipertikaikan tentang mengapa mereka lebih suka memilih dan melaksanakan undang-undang ciptaan manusia dengan membelakangkan undang-undang Allah s.w.t. Apakah undang-undang ciptaan manusia lebih sesuai daripada undang-undang Allah? Adakah peraturan-peraturan yang direka oleh manusia lebih mulia dan lebih baik daripada undang-undang Allah? Apakah sistem hidup ciptaan manusia lebih mulia dan lebih praktis daripada undang-undang "Rabbani" yang diturunkan oleh Allah?
Disebabkan itu semualah, maka persoalan pelaksanaan undang-undang illahi bagi orang-orang Islam bukanlah suatu persoalan dolak-dalik, tetapi persoalan sebenar yang perlu diberi perhatian dan dicari jalan untuk pelaksanaan undang-undang itu.
Perundangan Islam sebagai suatu realiti
Sebelum diperkatakan secara khusus tentang keunggulan Perundangan Islam, perlu diperjelaskan dahulu bahawa Perundangan Islam telah menjadi suatu realiti hukum yang telah terlaksana dalam masyarakat Islam dari permulaan lahirnya pemerintahan Rasulullah s.a.w. di Madinah hinggalah ke hari ini.
Negara Islam pertama yang ditubuhkan di Madinah dalam tahun pertama Hijrah (622M) telah melaksanakan syari'at "Rabbani" ke dalam masyarakat manusia sebagai realiti yang diterima umum. Perlembagaan Madinah yang disifatkan oleh Professor Hamidullah sebagai "The First Written Constitution In The World", telah menjadi kenyataan umum bahawa Islamlah yang memperkenalkan kepada dunia suatu perlembagaan bertulis yang dilaksanakan dalam sebuah negara yang berdaulat. Perlembagaan tersebut telah menyebut secara terperinci masalah-masalah negara, daripada hak dan tanggungjawab kepada cara penyelesaian masyarakat majmuk, hinggalah kepada persoalan ketua pemerintah dan kuasa yang ada padanya. Semuanya itu terkandung dalam Perlembagaan Madinah.
Undang-undang Islam sebagai suatu undang-undang negara adalah didasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, walaupun masih banyak orang-orang Islam sendiri meragui kewibawaannya malah banyak yang mempersendakan tentang kemampuannya untuk menyelesaikan masalah negara dan kesesuaiannya dengan zaman.
Sebenarnya sengaja dilupai bahawa undang-undang itu telah membuktikan kemampuannya menghadapi segala macam rintangan sejak daripada tahun pertama Hijrah hinggalah ke hari ini. Rasulullah s.a.w. telah melaksanakan undang-undang itu dalam sepanjang hidup baginda di Madinah yang disambung pula oleh khulafa' ar-Rasyidin selepas kewafatan baginda.
Kemudian diambil alih oleh Daulah Umawiyyah, Abbasiyyah dan sebagainya hinggalah berterusan ke zaman Daulah Othmaniah. Para sejarawan sering menyebut bahawa kejatuhan kerajaan Othmaniah Turki ke tangan Mustafa Kamal Atarturk dalam tahun 1924 M telah melenyapkan kekuasaan Islam dalam segala lapangan terutamanya dalam bidang pelaksanaan undang-undangnya.
Pandangan ini seolah-olah menggambarkan bahawa undang-undang Islam sudah lenyap ditelan zaman.
Walaupun pemerintahan Mustafa Kamal Atarturk bukan lagi mewakili pemerintahan Islam yang hakiki, kerana undang-undang negaranya sudah bukan undang-undang Islam yang dengannya melenyapkan pemerintahan Islam dan undang-undangnya, akan tetapi pemerintahan Islam yang menggunakan undang-undang Islam sebagai undang-undang negara yang terlaksana, jauh lebih awal dilaksanakan di Saudi Arabia, sebelum kejatuhan kerajaan Othmaniah Turki.
Pemerintahan Islam di Saudi Arabia terus melaksanakan undang-undang Islam hingga ke hari ini pada umumnya.
Walau apa pun yang diperkatakan oleh musuh-musuh Islam tentang negara itu, ianya tetap mewakili Negara Islam dalam pelaksanaan hukumnya. Penerusan kewarisan pelaksanaan hukum Islam ke dalam masyarakat Islam melalui kuasa pemerintah terus berkembang subur dalam masyarakat antarabangsa Islam.
Beberapa buah negara umat Islam sedang melaksanakan undang-undang itu dalam negara mereka seperti Iran, Pakistan, Sudan, dan sebagainya.
Semuanya ini menunjukkan bahawa undang-undang Islam sejak dari lahirnya tidak pernah mati malah ada tanda-tanda yang jelas bahawa undang-undang tersebut semakin hari semakin diterima oleh umat Islam untuk dilaksanakan dalam negara masing-masing.
Mengapa Umat Islam Bersikap "Salbi"
Oleh sebab hanya beberapa buah sahaja negara umat Islam yang sedang mempertingkat daya pelaksanaan undang-undang Islam di negara masing-masing, sedangkan bilangan umat Islam keseluruhannya sudah meningkat ke angka billion sekarang ini, menunjukkan betapa "salbi" (negatif) umat Islam terhadap undang-undang agamanya.
Masih banyak negara yang acuh tak acuh dengan undang-undang Islam, yakni tidak yakin dengan undang-undang itu, sedangkan yang berkuasa dan yang memerintah negara-negara itu adalah orang-orang Islam. Tidakkah kita merasa ganjil dan sumbang jika orang Islam sendiri tidak menyukai hukum-hukum agamanya?
Orang Islam lebih gemar dan suka melaksanakan undang-undang ciptaan manusia daripada melaksanakan undang-undang yang diciptakan oleh Allah, Tuhan yang dipercayainya, Yang Disembah pagi dan petang, Allah yang dipanjatkan doa kepada-Nya selalu. Wujudnya keadaan yang disebutkan itu antara lainnya adalah kerana undang-undang Islam itu sendiri tidak didedahkan kepada golongan yang berkuasa dengan cara yang sesuai dengan keadaan mereka untuk difahami oleh mereka dengan sebaik-baiknya.
Antara sebabnya juga adalah kerana kuatnya pengaruh undang-undang ciptaan setelah undang-undang Islam menjadi momokan dan difitnahkan dengan berbagai-bagai tohmahan, seperti tuduhan kononnya undang-undang Islam itu beku, keras, kejam dan lain-lain lagi. Kerana berleluasanya kejahilan menyeluruh tentang Islam itu sendiri dan tabiatnya sebagai "ad-Deen" yang berteraskan kepada "tasawwur Rabbani", umat Islam diarahkan pandangan dan fikirannya kepada sesuatu yang tidak Islam, lalu dibiasakan dengan hidup yang tidak seiring dengan Islam itu sendiri dalam kebanyakan kegiatan hidup, hingga jadilah umat Islam itu di sebelah pihak dan Islam itu pun di pihak yang lain tanpa disedari. Perkara ini terjadi kerana tidak terdedahnya falsafah dan rahsia undang-undang Islam itu kepada pihak-pihak yang berwajib bagi dilihat Islam itu dari yang "ijabi" (positif), agar ianya lebih banyak daripada pandangan "salbi" (negatif), bagi tujuan menarik minat kepada undang-undang Islam sendiri.
Kerana sebab-sebab yang tersebut di atas dan banyak lagi sebab lain yang tidak perlu disebutkan kesemuanya di sini, maka perbincangan keunggulan Perundangan Islam perlu diberi perhatian yang lebih. Malah selagi undang-undang Islam tidak dihayati sepenuhnya oleh masyarakat Islam, maka selama itulah keunggulan Perundangan Islam dengan metode yang boleh menyakinkan umat Islam terhadap undang-undang agamanya perlu ditingkatkan. Sesungguhnya telah menjadi kenyataan bahawa "Manusia itu menjadi musuh kepada sesuatu yang dia tidak tahu (jahil)".
Mungkin kerana kejahilan sesetengah pihak terhadap undang-undang Islam, maka mereka menjadi musuh kepada undang-undang itu. Permusuhan tersebut telah dimulakan oleh musuh-musuh Islam yang terdahulu menyebabkan berlakulah peperangan demi peperangan hingga ke Peperangan Salib dan sebagainya. Atas kebijaksanaan musuh, dipindahkan permusuhan yang sedia ada di dalam hati mereka ke dalam hati orang-orang Islam yang jahil tentang Islam, lalu berlakulah permusuhan di dalam barisan Islam itu sendiri seperti yang berlaku sekarang ini.
Rahsia di sebalik Istilah
Ada beberapa istilah yang digunakan dalam Perundangan Islam seperti "syari'ah", "hukum", "hudud", "Qisas", "ta'zir", dan sebagainya. Istilah tersebut walaupun umum mengetahui maksudnya tetapi rahsia yang tersembunyi di sebalik istilah-istilah itu perlu juga diberi perhatian.
i-Syari'ah
Istilah "syari'ah" yang berakar kata daripada "shara 'a" disebut beberapa kali dalam Al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud; Kemudian kami jadikan kamu berada di atas suatu syari'ah (peraturan dan undang-undang) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syari'at itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahuinya. (Surah Al-Jaatsiah: ayat 18)
Firman-Nya lagi yang bermaksud; Bagi tiap-tiap umat daripada kamu, Kami (Allah) berikan kepadanya peraturan dan undang-undang serta cara hidup yang lengkap. (Surah Al-Maa'idah: ayat 48)
Perkataan syari'ah ada banyak maknanya. Salah satu daripadanya, seperti yang tersebut dalam kamus-kamus Arab, syari'ah bermaksud telah masuk ke dalam air atau telah meminum air itu dengan kedua tangannya. Salah satu maknanya lagi disebut sebagai jalan ke arah air. Maknanya yang lain ialah tempat keluarnya mata air dan sebagainya. Kaitan perkataan syari'ah dengan makna pilihan yang disebutkan di atas, memberikan semacam tanggapan bahawa apa yang dikatakan syari'at itu diperlukan oleh manusia seluruhnya. Sama dengan manusia seluruhnya memerlukan air untuk kehidupannya.
Persoalan air pada manusia dan binatang adalah persoalan hidup mati. Semua makhluk memerlukan air untuk menjamin kehidupan yang berterusan. Air sebagai satu bahan yang dijadikan Allah s.w.t, telah disebutkan fungsinya oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud; Dan kami jadikan daripada air itu tiap-tiap sesuatu yang hidup (Surah Al-Anbiya': ayat 30)
Ini bererti bahawa air adalah sumber kehidupan dan penghidupan. Tidak ada hidupan kalau tidak ada air. Kalau tidak ada air maka tidak ada penghidupan. Dalam konteks Islam sebagai sesuatu yang menghidupkan, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud; Wahai orang-orang beriman, sahutilah seruan Allah dan Rasul, apabila kamu diseru kepada sesuatu yang memberi kehidupan(Surah Al-Anfaal: ayat 24)
Ayat di atas semacam memberi peringatan kepada orang-orang yang beriman bahawa menyahut seruan Allah dan Rasul-Nya dalam sesuatu tuntutan hukum seperti berjihad, melaksanakan hukum Islam dan sebagainya, akan memberikan penghidupan yang lebih bererti kepada manusia. Ketika syari'at Islam berfungsi dalam masyarakat, maka subur dan kuatlah masyarakat itu dalam semua bidang penghidupan. Apabila syari'at itu tidak berfungsi seperti yang terdapat pada hari ini, jelas kelihatan betapa layu dan mundurnya masyarakat itu, seolah-olah pokok yang tidak disirami air. Syari'at Islam adalah suatu syari'at yang hidup, kerana itulah dikaitkan istilah itu dengan perkataan yang berkaitan dengan kehidupan. Sekiranya manusia inginkan kehidupan yang baik dan aman damai maka laksanakan syari'at Islam dengan sebaik-baiknya.
ii-Hukum
Perkataan "hukum" selalu disebut dalam Perundangan Islam. Al-Quran banyak kali menyebut istilah ini dalam berbagai-bagai bentuk, antaranya yang bermaksud; Bahawa sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Kitab (Al-Quran) dengan benar supaya kamu menghukum diantara manusia dengan apa yang diwahyukan oleh Allah kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang-orang yang khianat(Surah An-Nisa': ayat 105)
Ayat lain yang bermaksud; Dan hendaklah kamu menghukum antara mereka dengan apa yang Allah turunkan (kepadamu) dan jangan kamu mengikut hawa nafsu mereka. (Surah Al-Maa'idah: ayat 49) Dan sesiapa yang tidak menghukum (manusia) dengan apa yang Allah turunkan (dari wahyu-Nya) maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. (Surah Al-Maa'dah: ayat 44)
Kalau ditinjau daripada sudut pengertian ini, daripada segi bahasanya maka ianya bererti antara lain ialah; - "ha ka ma, hukman" bererti menjatuhkan sesuatu hukuman, memisahkan atau menceraikan. - "ha ka ma, hakman" bererti mengembalikan sesuatu - "hakkama, ahkam" bererti mengembalikan dan mencegahkannya, menghalusi sesuatu ikatan untuk memperbaikinya.
Pengertian di atas memberikan sesuatu penekanan umum kepada kita bahawa hukum-hukum Islam adalah hukum-hukum yang berfungsi untuk memperbaiki manusia daripada keadaan yang tidak baik kepada yang lebih baik. Hukum-hukum itu mampu mengembalikan manusia kepada sesuatu keadaan yang boleh menjauhkan manusia dari kejahatan dan mengajak mereka kepada kebaikan.
Inilah sebenarnya tujuan hukum dan falsafahnya di dalam Islam, untuk memberi kesedaran dan keredaan agar manusia sentiasa berdampingan dengan nilai-nilai yang baik untuk kebaikan diri manusia itu. Apabila manusia telah menjauhkan diri daripada hukum-hukum Allah dan mendampingi undang-undang ciptaan manusia maka berlakulah apa yang berlaku pada hari ini.
iii- Hudud
Istilah "hudud" terdapat dalam Al-Quran melalui ayat-ayat Allah seperti yang bermaksud; Dan sesiapa yang melampaui hudud Allah maka sesungguhnya ia telah menzalimi dirinya. (Surah At-Thalaaq: ayat 1)
Demikian itulah hudud Allah maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hudud ini maka itulah orang-orang yang zalim. (Surah Al-Baqarah: ayat 229) Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya serta melanggar hudud Allah nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka yang kekal ia di dalamnya dan baginya azab yang amat hina. Perkataan "hudud" adalah perkataan ganda daripada "had". Dalam kamus Arab, "had" bererti:
- dijadikan bagi sesuatu itu sekatan
- yang memisahkan antara dua perkara
- menghabiskan sesuatu
- mencegah seseorang daripada melakukan kesalahan dan sebagainya.
Pengertian-pengertian yang tersebut di atas memberikan suatu kefahaman tentang mengapa istilah "had" itu digunakan bagi beberapa kesalahan seperti mencuri, berzina, minum arak, dan sebagainya. Penggunaan ini bertujuan menyedarkan manusia bahawa hukuman ini mampu mencegah manusia daripada melakukan jenayah itu. Hudud juga merupakan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada semua manusia, agar berubah perangai daripada tidak baik kepada baik.
Tujuan dan hikmah melaksanakan hudud dalam Islam, seperti yang terkandung dalam pengertian di atas, adalah untuk kebaikan manusia sejagat agar terselamat daripada hukuman dunia dan yang amat penting terselamat daripada seksaan di akhirat. Tanpa melaksanakan hukum-hukum hudud ini, manusia akan berhadapan dengan seksa Allah yang amat hina. Pada fuqaha' telah memberi takrif hudud ini sebagai; Hukuman seksa yang ditetapkan wajib dilaksanakan untuk menunaikan hak Allah.
Pelaksanaan hudud di dalam Islam walaupun pada zahirnya kelihatan seperti bencana yang agak keras dan kasar ke atas pesalah, namun pada hakikatnya ia adalah satu rahmat kepada pesalah itu sendiri dan kepada masyarakat umumnya. Rahmat kepada pesalah kerana dengan hukuman itu akan menyedarkannya dan mengembalikannya ke jalan baik yang diredhai Allah. Ia juga bertujuan untuk menghindarkan masyarakat daripada melakukan perkara yang terkeji di sisi agama. Dengan yang demikian akan harmonilah masyarakat umum daripada bencana jenayah.
Masyarakat umum lebih banyak mengetahui tentang keburukan hukuman hudud yang sengaja diada-adakan oleh musuh-musuh Islam daripada mengetahui kebaikannya. Kebetulan pula negara umat Islam pada hari ini kebanyakannya tidak melaksanakan hukuman-hukuman ini. Dengan sebab itu, kebaikan daripada melaksanakan hukuman tersebut tidak dapat disaksikan sebagai sesuatu yang nyata.
Jika ditinjau kebaikan undang-undang hudud itu daripada kenyataan yang wujud kini, dapatlah dirasakan kebaikannya yang jelas untuk kemaslahatan umat Islam. Beberapa orang sarjana Islam telah menulis tentang kebaikan undang-undang tersebut seperti berikut:
Dr. Abd. Hamid Al-Mutawalli menulis di dalam kitabnya, "As-Syari'ah Al-Islamiyyah Kamasdar Asasi Liddudtur" (cetakan 1), pada halaman 74 dengan katanya yang bermaksud: Bahawa sesungguhnya segala hukuman hudud itu adalah sebenarnya suatu ancaman kepada penjenayah yang tujuan asasnya untuk menghapuskan jenayah. Sekiranya dilaksanakan dengan baik nescaya tidak ada orang yang sanggup melakukan jenayah itu melainkan beberapa orang sahaja.
Abd Qadir Audah, dalam kitabnya, "At-Tasyri' Al-Jina'I Al-Islamiy Muqarina Bilqanun Al-Wadha'I" (cetakan 1, 1368H)pada halaman 652 ada menyebut yang bermaksud: Di Hijaz sebelum perundangan Islam dilaksanakan, keadaan di negara tersebut adalah paling buruk dari segi keamanan. Orang yang berkunjung ke sana atau mendiami negara itu tidak akan merasa aman dirinya, harta bendanya dan keluarganya. Di merata pelusuk negara itu terjadi pelakuan jenayah, mencuri, merompak dan sebagainya. Apabila dilaksanakan undang-undang Islam, Hijaz berubah menjadi negara yang aman damai.
Al-Qadi Dr. Abd Aziz Amir dalam kitabnya, "At-Ta'zir fi As-Syari'ah"(cetakan ke-3, 1377H) pada halaman 425 menyebut yang bermaksud: Perangkaan rasmi di Saudi Arabia tentang jenayah menunjukkan bahawa penthabitan perlakuan jenayah dan pelaksanaan hukumnya tidak berlaku kecuali pada hitungan kasarnya sekali atau dua kali dalam satu tahun, meskipun keadaan di negara tersebut boleh dikatakan menggalakkan jenayah yang boleh dilakukan dengan mudah.
Al-Syaikh Abu Zahrah dalam kitabnya, "Falsafah Al-`Uqubah" (bahagian pertama, cetakan 1963) pada halaman 96, ada menyebut yang bermaksud:
Sesungguhnya diriwayatkan daripada Hisyam ibn Abdul Malik, bahawa beliau telah menggantungkan hukuman hudud setahun di zaman pemerintahnya. Kerana itu kejadian jenayah tiba-tiba berlaku secara berleluasa dengan banyaknya.
Masyarakat telah gusar kerana keselamatan mereka sudah diancam oleh penjenayah. Setelah keadaan semakin tenat, Hisyam ibn Abdul Malik telah mengisytiharkan penguatkuasaan semula undang-undang Islam didalam jenayah. Dengan pengisytiharan itu sahaja sudah menunjukkan bahawa perlakuan jenayah tiba-tiba reda dan dapat dikawal. Semua konteks di atas dapat membuktikan bahawa kebaikan yang terkandung dalam undang-undang Islam jika dilaksanakan amat menguntungkan manusia. Oleh sebab itu, hukuman hudud boleh menjadi sempadan dan cegahan yang akan memberikan kepada manusia keamanan dan kesejahteraan hidup.
iv-Qisas
Di dalam Al-Quran Allah s.w.t. menyebut "qisas" itu dalam ayatnya yang bermaksud: Wahai mereka yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu qisas ke atas orang-orang yang membunuh. (Surah Al-Baqarah: ayat 178)
Dan telah kami wajibkan ke atas mereka di dalam (Taurat) bahawasanya nyawa dibalas dengan nyawa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka pun ada qisasnya. (Surah Al-Maa'idah: ayat 45)
Dan bagi kamu dalam pelaksanaan qisas ada jaminan kelangsungan hidup wahai orang-orang yang mempunyai hati, moga-moga kamu bertaqwa. (Surah Al-Maa'idah: ayat 179)
Perkataan "qisas" daripada segi bahasa antara lain bererti:
- memotong dengan gunting
- memutuskan hujungnya dengan pemotong - memisahkan sesuatu dengan sesuatu, dan sebagainya
Apabila perkataan yang bererti sedemikian daripada kamus-kamus Arab digunakan sebagai istilah undang-undang dalam perkara hukuman ke atas pesalah bagi membalasnya dengan adil dan saksama seperti yang dilakukan, memberikan kita suatu tanggapan bahawa dalam pelaksanaan hukuman qisas, perlakuan jenayah itu dapat dipotong atau dihentikan. Seolah-olahnya bila qisas itu dilaksanakan, akan selesailah kejadian itu dan ditamatkan kemaraannya daripada terus berlaku dalam masyarakat. Perbandingan antara undang-undang Islam dan undang-undang ciptaan boleh dilihat dengan merujuk kepada contoh kes yang boleh dimasukkan dalam peruntukan hukuman qisas ini.
Kita mengambil contoh hukuman ke atas pesalah dalam kes luka melukakan. Dalam undang-undang ciptaan, bagi kes tersebut, pesalah akan dihukum dengan denda atau penjara. Manakala yang menuntut pula tidak akan mendapat apa-apa. Tetapi dalam undang-undang Islam, jika sabit tuntutannya, yang menuntut akan diberi hak untuk bertindakbalas ke atas pesalah seperti mana keseksaan yang diterimanya sebelum itu.
Luka dilukai balas, patah dipatahkan balas, dan seterusnya. Jika sekiranya yang menuntut tidak suka membalas, tetapi suka dibayar ganti rugi, maka ia boleh berbuat demikian. Ataupun jika ia hendak memaafkan maka bolehlah ia berbuat demikian. Jelaslah di sini bahawa keistimewaan yang diperuntukkan oleh undang-undang Islam di mana hak diberikan sepenuhnya kepada yang dianiaya dengan tiga pilihan yang telah disebutkan tadi.
v-Ta'zir
Dalam Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: Dan kamu membantu mereka dan memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik. Sesungguhnya Aku (Allah) akan menutupi dosa-dosa kamu dan akan Aku masukkan kamu ke dalam Syurga yang di bawahnya berlari sungai-sungai. (Surah Al-Maa'idah: ayat 12)
Maka orang-orang yang beriman dengan-Nya memuliakannya menolongnya dan mengikuti cahaya yang diturunkan bersamanya mereka itulah orang yang beroleh kejayaan. (Surah Al-A'raaf:ayat 157)
Supaya kamu sekelian beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, membantu menguatkan (agama-Nya), membesarkan-Nya dan bertasbih kepada-Nya diwaktu pagi dan petang. (Surah Al-Fath:ayat 9)
Perkataan "a za ra", "azzara", "ta'zeeran", dan sebagainya diertikan dalam kamus-kamus Arab yang bermaksud:
- memberi pertolongan yang kuat
- menegah dan mencegah
- memukul dengan sesuatu pukulan yang berkesan
- benteng yang kuat
Daripada ayat-ayat Al-Quran di atas tadi, dengan makna-makna yang jelas nyata serta pengertian daripada segi bahasanya, ta'zir dalam hubungan ini seolah-olah menjadikan undang-undang Islam yang termasuk di dalam hukum ta'zir akan menjadi sebaik-baik pertolongan kepada pemerintah dan masyarakat umum untuk mencegah penjenayah daripada melakukan kesalahannya setelah hukum ta'zir itu dilaksanakan.
Kesimpulan
Keseluruhan undang-undang pemerintahan dalam dunia hari ini adalah bertujuan untuk mengatur kehidupan duniawi semata-mata. Sedangkan manusia itu adalah makhluk yang akan terus hidup di alam yang lebih luas dan lebih panjang daripada alam dunia ini selepas matinya.
Kehidupan manusia di alam ini hanyalah buat sementara waktu, sementara menunggu kematiannya untuk memulakan hidup baru dengan segala maslahahnya. Undang-undang Islam tidak mengabaikan aspek duniawi seperti yang difikirkan oleh penggubal-penggubal undang-undang ciptaan.
Malah lebih mementingkan harga diri insan yang sebenarnya, iaitu keimanannya kepada Allah Yang Maha Esa. Demi menjaga keimanan itu Islam menurunkan peraturan dan undang-undang untuk manusia menjaga seluruh keperluannya.
Pada asasnya tujuan Allah s.w.t menurunkan undang-undang dan peraturan-Nya adalah untuk menjaga lima perkara utama yang amat dititikberatkan oleh manusia sejagat:
i. Menjaga Agama
- dengan cara menjatuhkan hukuman bunuh ke atas orang yang murtad
ii. Menjaga nyawa
-dengan menghukum qisas ke atas pembunuh
iii. Menjaga akal
-dengan menyebat orang yang meminum minuman yang memabukkan
iv- Menjaga keturunan
-dengan menghukum rejam atau sebat ke atas orang yang sabit berzina
v- Menjaga harta -dengan menghukum memotong tangan (pencuri) atau tangan dan kaki (perompak)
Al-Imam Al-Ghazali dalam kitabnya "Al-Mustasfa", jilid 1, halaman 287, ada menyebut dengan maksud: Sesungguhnya menjaga kemaslahatan dan mencegah kerosakan adalah impian dan cita-cita murni seluruh makhluk. Kebaikan dan kebahagiaan sepenuhnya adalah terhenti atas tercapainya cita-cita tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan "maslahah" ialah memelihara tujuan syara' iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta benda.
Apa sahaja yang membawa kepada terpeliharanya lima perkara itu, maka itulah dia "maslahah". Setiap perkara yang boleh membawa kepada kerosakan salah satu dari lima atau seluruhnya, maka itu adalah keburukkan dan kerosakkan yang mesti ditentang.
Syari'at Islam adalah syari'at yang mengutamakan maslahah manusia. Sama ada masalah duniawi mahupun ukhrawi. Segala peraturan dan perundangan yang dilaksanakan dalam masyarakat manusia adalah untuk menjamin kelima-lima perkara yang tersebut di atas supaya terpelihara dengan sebaik-baiknya.