08 Disember 2009

BERKHATAN.

Hukum Berkhatan

Soalan:

Apa hukum berkhatan laki-laki dan perempuan?

Jawapan:

Berkhatan adalah salah satu daripada masalah-masalah khilafiyyah yang diperbincangkan dalam semua mazhab tetapi menurut qaul sahih dalam mazhab Syafie adalah ia wajib di atas laki-laki dan perempuan. Begitulah perkataan kebanyakan ulamak salaf. Imam Ahmad B. Hambal juga mengatakan wajib manakala Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula berkata berkhatan itu hukumnya sunat bagi laki-laki dan perempuan. Ada pula satu qaul dalam mazhab Abi Hanifah yang mengatakan wajib bagi lelaki dan sunat bagi perempuan. Allah Taala memerintah supaya orang-orang Islam pengikut-pengikut nabi Muhammad SAW mengikut cara-cara dan aturan yang diwajibkan dalam agama nabi Allah Ibrahim dalam firmannya
“ان اتبع ملة ابراهيم”
Ertinya: Ikutilah wahai Muhammad susunan agama Ibrahim.

Dan hadis syarif telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW telah bersabda
“اختتن ابراهيم النبى صلى الله عليه وسلم وهو ابن ثمانين بالقدوم- رواه البخارى ومسلم.
Ertinya: Nabi Ibrahim berkhatan semasa beliau berumur 80 tahun disuatu tempat bernama “al-Qudum” (dinegeri Syam) diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Diriwayatkan pula oleh Imam Ahmad daripada Syaddad B. Aus dengan terputus sanadnya dan juga oleh Imam Baihaqi daripada saidina Ali Karamallahuwajhah bahawa beliau berkata berkhatan itu sunat bagi laki-laki dan suatu perkara yang terpuji bagi perempuan.

Selain daripada yang tersebut Imam Abu Daud, Ibnu Sandah dan Ibnu ‘Asakir telah meriwayatkan suatu hadis daripada ad-Dohak bin Tias katanya di kota Madinah ada seorang perempuan yang bernama Ummu ‘Atiyyah kerjanya menyunatkan anak-anak gadis. Rasulullah SAW pernah berkata kepada perempuan itu “Bila engkau menyunatkan anak-anak perempuan jangan engkau potong terlampau banyak kerana potongan itu jika disederhanakan akan menambahkan seri muka dan menyebabkan suami lebih gembira” Sekianlah. Wallahua’lam.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Terengganu
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
Penulis/Ulama : Syed Yusuf B. Ali Az-Zawawi
Tarikh Diisu : 1.2.1971


Soalan :

Berkhatan itu apakah hukumnya dan bila masa berkhatan?


Jawapan:

Wajib pada masa cukup umur ( akil baligh) dengan segera pada masa itu dan sunat bagi wali menyegerakannya sebelum cukup umur iaitu pada masa kanak-kanak itu kuasa menanggung kesakitan berkhatan. Dan hasil pahalanya dengan niat menjunjung hukum syara'.


Negara asal : Malaysia
Negeri : Kelantan
Badan yang mengisu fatwa : Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
Penulis/Ulama : Datuk Haji Mohamad Shukri Bin Muhamad
Tarikh Diisu : 1993


Soalan:

Apakah hukumnya jika seorang itu tidak berkhatan atau yang sudah berkhatan telah menjadi kulup balik? Bagaimana ibadatnya itu adakah sah ataupun batal?

Jawapan:

Alhamdulillah, tersebut dalam kitab al-Minhaj dan al-Tuhfah, wajib atas lelaki dan perempuan berkhatan sekiranya diperanakkan tidak berkhatan, kaifiat berkhatan bagi perempuan hendaklah dipotong sebahagian daripada daging yang lebih pada sebelah atas kemaluannya yang dinamakan dalam bahasa Arab al-Bazar dan kaifiatnya pada lelaki hendaklah memutus kulit yang menutup kepala kemaluannya sehingga terbuka semuanya.

Dan jika ia tiada berkhatan hingga baligh wajiblah atasnya berkhatan dan berhak pemerintah (raja) memerintah akan da berkhatan, sekiranya ia enggan juga daripada menurut maka berhka raja menggagahinya berkhatan, dan sunat bagi kanak-kanak berkhatan pada umurnya tujuh hari yang ketujuh dan jika kanak-kanak itu dhaif tiada tertahan berkhatan pada masa itu bolehlah dita’khirkan hingga akhir tahun. Berkhatan itu wajib atas lelaki dan sunat atas perempuan. Qaul ini disalin daripada kebanykan qaul ulama’. Tersebut dalam kitab al-Mughni syarah kitab al-Minhaj kata al-Muhib al-Tabari bahawa qaul yang mengatakan wajib berkhatan adalah qaul kebanyakan ahli ilmu. Tersebut dalam Hasiyah al-Tuhfah dikatakan bahawa berkhatan itu sunat. Apabila kita dapati orang-orang yang hendak masuk Islam tetapi ia enggan masuk kerana takut berkhatan maka tidaklah mengapa boleh kita suruh akan dia bertaklid kepada qaul ulama’ yang mengatakan sunat.

Al-Alamah Imam Nawawi telah berkata dalam kitab al-Majmu’ perkataan dengan berkhatan katanya Iamam malik dan Imam Abu Hanifah mengatakan berkahatan sunat bagi hak sekalian orang dan Imam al-Rafi’i telah menghikayatkan qaul itu satu wajah bagi orang-orang mazhab Syafii dan telah menghikayatkan juga wajah qaul yang ketiga iaitu wajah ini adalah qaul yang ganjil dan qaul mazhab Syafii masyhur yang dinaskan oleh Imam Syafi’i rahimahullah dan qaul yang diputuskan oleh jumhur berkhatan itu wajib bagi lelaki dan perempuan. Kata Iamam nawawi (furu’ kata sahabat-sahabat kami yang wajib pada berkhatan atas lelaki) iaitu memotong kulit yang menutup kepala kemaluannya dengan sekira-kira terbuka semuanya maka jika memotong setengahnya nescaya wajib memotong yang tinggalnya. Yang kedua telah diterangkan oleh Imam al-Haramain dan lainnya Imam al-Rafii menghikayatkan daripada Ibn Kaj ia berkata disisi saya memada memotong sebahagian daripada Qalfah (kulit menutup kepala kamlauannya – lelaki) sekalipun sedikit dengan bersyarat potongan itu meliputi rata akan bulatan kepala kemaluannya, perktaan ini qaul dhaif. Adapun qaul yang shahih lagi masyhur yang diputuskan oleh ashab pada qaul itu ialah sebagaimana yang telaha lalu iaitu wajib memotng semua kulit yang menutup kepala kemaluannya dan mustahab (digemari) pada perempuan-perempuan dengan memotong sedikit sahaja tidak melampau memotongnya. Kata setengah doktor bahawa mengkhatan perempuan itu mengurangkan kembangan syhwatnya keran itu banyak berlaku zina pada umat-umat kafir dan ketiadaan berkhatan lelaki membawa kepada terhimpun kekotoran di bawah qalfah dan mudah tersiar penyakit selain daripada termasuk ke situ air kencing, mazi dan membawa kepada basah di antara kulit qalfah dan kepala kemaluan dan membawa kepada bau busuk dan penyakit. Adapun jika berkhatan tetapi balik kulup semula maka telahj saya terangkan bahawa berkhatan itu tidak diiktibar sah melainkan apabila memotng qalfah semuanya adapun daripada segi sah sembahyang maka jika khatan tiada sempurna dan zahir lubang kemaluan sekira-kira keluar air kencing daripadanya dan tidada termasuk ke dalam qalfah maka tidaklah dikatakan kena najis tetapi orang yang kulup itu junub nescaya sah mandinya daripada hadas akbar kerana ia tidada membasuh di bawah qalfah yang wajib dibasuh, dai sebab itu wajiblah bersegera berkhatan dengan semuanya.Dan jika dipotong kepada Hasyfah semuanya dengan berkhatan yang sempurna kemudian balik semula kata al-Sheikh Ali al-Sabramalisi atasnya tidak wajib membasuhnya kemudian daripada tleah berkhatan itu. Tetapi tidak pernah berlaku apabila telah dipotongnya kembali semula tetapi terkadang tukang sunat itu jahil.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Johor
Badan yang mengisu fatwa : Jawatankuasa Lujnah Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Johor
Penulis/Ulama : Dato’ Said Alwe b. Tahir al-Hadad
Tarikh Diisu : 1961M - 1936M


Soalan:

Apakah hukum kanak-kanak yang belum berkhatan mengikuti bersembahyang Jumaat, adakah batal Jumaat tersebut?

Jawapan:

Seseorang makmum menanggung budak yang belum berkhatan dan tiada suci kulfahnya – bukan sekadar menyentuh seperti duduk di dalam satu saf – tiada sah sembahyangnya. Maka sekiranya makmum itu menjadi cukup bilangan Jumaat dengannya maka tiada sah Jumaat itu.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Kedah
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman
Penulis/Ulama : Dato Paduka Sheikh Abdul Majid Bin Mohd Nor


SOAL NO. 71

Masalah, apa kata Tok Guru, pada seseorang yang belum berkhitan (3l), tetapi panjang kulit zakarnya, apabila dibuka akan dia niscaya terbuka hingga sampai kepada hasyfahnya. Maka apa hukumnya, apabila jadi wali ia pada nikah saudaranya, atau anaknya? Adakah sah jadi walinya itu atau tiada? Harapkan Tuan Guru menyatakan, dikurniakan kita sekalian oleh Allah Ta'ala akan pahala yang banyak.

JAWAB NO. 71

Bermula orang yang tiada berkhitan kemudian daripada bulughnya dan berakalnya adalah berdosa ia, lagi jadi fasiq ia, dan jikalau sekira kira dibukakan dia niscaya terbuka hingga nyata hasyfahnya sekali pun. Bahkan jikalau dikhitankan dia sebagai khitan yang tiada sempurna, seperti ada tinggal kulit yang terhampir di atas hasyfahnya, dan jikalau sedikit sekali pun, niscaya wajib atasnya mengulangi akan khitan. Dan telah memfatwa oleh Saiyid Ahmad Dahlan (32), dengan ketiadaan sah jadi wali nikah orang yang fasiq dengan sebab ketiadaan berkhitan itu. Dan berkata Syeikh Ibnu Hajar, dan lainnya, bahawa sah jadi wali oleh orang yang fasiq. Dan zahir ithlaq kalamnya itu, jikalau fasiq dengan ketiadaan berkhitan sekali pun.

Maka yang zahir pada hamba (Syeikh Ahmad al-Fathani, pen:) bahawasanya sayugia bahawa kita i'timadkan fatwa Saiyid Ahmad Dahlan dengan nisbah kepada segala nikah yang belum jatuh lagi. Maka kita berkata bagi orang yang hendak mengahwinkan anak perempuannya, atau saudaranya, padahal ia tiada berkhitan sebagai khitan yang sempurna, "Tiada sah engkau jadi wali nikah ini". Dan bahawa kita i'timadkan zahir kalam Syeikh Ibnu Hajar, dan lainnya dengan nisbah kepada segala nikah yang telah lalu jatuhnya. Maka tiada kita hukumkan dengan batal segala nikah yang telah lalu dengan wilayah orang yang fasiq dengan sebab ketiadaan berkhitan itu. Kerana membawa oleh menghukumkan dengan batalnya itu kepada beberapa berkhitan yang sempurna itu telah hampir jadi 'umum balwa pada sekalian negeri Tanah Melayu, dan sekalian pihak Tanah Jawi kita.

Maka membawa oleh menghukumkan dengan demikian itu kepada memperwajibkan mengkembalikan akan segala nikah segala manusia. Atau sayangkan mereka itu daripada segala isteri mereka itu, dan membawa kepada menghukumkan bahawasanya segala anak-anak mereka itu yang jadi daripada bukan wathi yang halal. Wallahu Subhanahu wa Ta 'ala a 'lam.

Negara asal : Thailand
Negeri : Fatani
Badan yang mengisu fatwa : Majlis Fatwa Fatani, Thailand
Penulis/Ulama : Hj. Wan Mohd Shaghir Abdullah
Tarikh Diisu : 12 Rabiulawal 1417 H28 Julai 1996

Nota: (31) Telah dij adikan bahasa Melayu dengan sebutan khitan berasal dari bahasa Arab. Di beberapa daerah di Nusantara ada yang menggunakan sebutan khatan. Diertikan juga dengan bersunat, juga masuk jawi.

(32) Saiyid Ahmad bin Zaini Oahlan (wafat 1304 H/1887 M) adalah seorang ulama' besar, termasuk peringkat guru Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau pernah sebagai Mufti Mazhab Syafi'ie di Makkah. Karya beliau sangat banyak.


Soalan:

Bolehkah atau tidak doktor-doktor yang bukan daripada agama Islam menjalankan perkara mengkhatankan orang-orang Islam dengan syarat itu:
1. Doktor-doktor itu menjalankan pekerjaan berkhatan itu dengan mahirnya serupa jua denga pekerjaan yang dijalankan oleh doktor-doktor yang beragama Islam?

2. Doktor-doktor itu menjalankan pekerjaan berkhatan itu dengan ikhlas dan suci hati dan tidak membawa kepada syak?

3. Doktor-doktor itu menjalankan pekerjaannya ini apabila tidak ada doktor yang beragam Islam di tempat rumah sakit?

Jawapan:

Harus bagi doktor-doktor bukan Islam mengkhatan kanak-kanak lelaki Islam dengan izin bapanya atau izin datuknya ketika tiada bapanya atau izin walinya yang lain ketika tiada bapa atau datuknya dengan syarat kanak-kanak itu tahan dijalankan khatan tidak dhaif atau demam.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Johor
Badan yang mengisu fatwa : Mufti Kerajaan Negeri Johor
Penulis/Ulama : Dato’ Said Alwe b. Tahir al-Hadad
Tarikh Diisu : 1936-1961


Soalan:

Perempuan yang masuk Islam, adakah mesti dikhatankan dan apa hukumnya?

Jawapan:

Wajib berkhatan bagi lelaki dan perempuan dan telah dikatakan dalam Tuhfah, dan katanya wajib atas lelaki sunat bagi perempuan ada disalin dari kebanyakan ulama’ dan katanya dalam al-Mughni telah berkata al-Hub al-Tabari iaitu “Bahawa berkahatan perempuan sunat tidak wajib” ini adalah perkataan kebanyakan ahli ilmu.

Negara asal : Malaysia
Negeri : Johor
Badan yang mengisu fatwa : Jawatankuasa Lujnah Fatwa, Jabatan Mufti Negeri Johor
Penulis/Ulama : Dato’ Said Alwe b. Tahir al-Hadad


Soalan:

Apakah hukum berkhatan bagi wanita Islam khususnya yang baru memeluk Islam ?

Jawapan:

Jawatankuasa Fatwa telah sepakat bahawa hukum berkhatan bagi wanita dewasa termasuk golongan yang baru memeluk agama Islam adalah tidak wajib.

Negara asal : Singapore

Badan yang mengisu fatwa : majlis agama islam singapore



Nota: http://www.muis.gov.sg/websites/rservices/opendocall.asp?type=I&sno=610



Khatan dan AIDS

Khatan bagi lelaki, dengan nyata, dapat mengurangkan kemungkinan penjangkitan virus AIDS daripada perempuan kepada lelaki, menurut satu kajian baru iaitu dijalankan oleh para penyelidik berbangsa Perancis yang diumumkan pada hari Selasa (26.7.2005).
Kajian tersebut, yang dijalankan di Afrika Selatan, mendapati bahawa khatan mengurangkan risiko lelaki daripada mendapat AIDS dalam perhubungan jenis heteroseksual dengan kira-kira 65 peratus.

Demikian difahamkan daripada dua perenggan pertama laporan akhbar di sebelah.

Hasil kajian tersebut telah membuat sesetengah orang Islam rasa gembira dan menggunakannya pula untuk menundukkan kepercayaan orang-orang lain yang agama mereka tidak mensyariatkan amalan khatan ke atas lelaki.


Kajian adalah ke atas jangkitan HIV daripada perempuan kepada lelaki dalam perhubungan jenis heteroseksual. Dengan sedikit pengecualian, perempuan-perempuan yang dijangkiti HIV adalah mereka yang tidak menjaga maruah mereka atau yang terlibat dengan dadah.

Pengecualian yang dimaksudkan adalah perempuan-perempuan yang menjaga maruah mereka, yang dijangkiti virus tersebut melalui suami mereka atau cara lain dengan tidak sengaja. Bilangan mereka dipercayai amat kecil.

Pun begitu, untuk mengadakan perhubungan jenis dengan mereka, risiko ke atas suami yang berkhatan tetap ada, iaitu kira-kira 35 peratus, yang agak tinggi. Peratus tersebut adalah sama jika dilakukan dengan golongan lain yang perhubungan tidak diizinkan Allah.

Kami percaya kajian itu tentu tidak cuba menggalakkan lelaki yang berkhatan untuk melakukan perhubungan jenis heteroseksual sama ada yang diizinkan Allah atau sebaliknya.

Tambahan pula, ia tidak muktamad, kerana menurut laporan akhbar yang disertakan, berjudul "Dapatan yang mengejutkan dalam kajian AIDS", di perengan ke-4 lajur kedua, sekurang-kurangnya tiga lagi kajian sedang dijalankan untuk memastikan keberkesanan berkhatan dalam perhubungan jenis tersebut.

Selanjutnya, didapati bahawa Allah tidak menyuruh supaya berkhatan, baik bagi lelaki mahupun perempuan. Amalan tersebut tidak disebut di dalam al-Qur'an. Sekiranya terdapat orang-orang yang ingin melakukannya juga maka mereka harus melakukannya tanpa mengguna nama Islam.

Oleh kerana ia tidak disuruh maka tidak ada keistimewaan padanya. Jangan pula lelaki yang berkhatan, lagi yang suka berzina dengan perempuan yang menjual kehormatan mereka, atau yang dijangkiti HIV, mengatakannya ia baik, kerana risikonya tetap ada.

Walaupun amalan berkhatan seperti yang lazim dibuat tidak disebut di dalam al-Qur'an, namun perkataan khatan, atau dengan tepat, tidak dikhatan ada tersurat. Ia disebut di dalam dua ayat berikut:

"Dan mereka berkata, 'Hati kami tidak dikhatan.' Tidak, tetapi Allah melaknatkan mereka kerana ketidakpercayaan mereka; sedikit mereka yang mempercayai." (2:88) dan,

"Maka kerana pemecahan perjanjian mereka, dan ketidakpercayaan mereka kepada ayat-ayat Allah, dan pembunuhan mereka pada Nabi-Nabi tanpa patut, dan kerana ucapan mereka, 'Hati kami tidak dikhatan'; tidak, tetapi Allah telah menutup mereka kerana ketidakpercayaan mereka, lalu mereka tidak mempercayai, kecuali sedikit." (4:155)

Seperti yang dapat dilihat pada ayat-ayat Allah di atas, khatan dilakukan pada hati. Namun, ia tidak bermaksud bahawa hati manusia, atau sebahagian daripadanya, harus dikerat.

Pada hemat kami, ungkapan berbunyi "Hati kami tidak dikhatan" itu bermaksud hati mereka tidak disucikan kerana tidak percaya kepada ayat-ayat Allah.

Frasa tidak dikhatan di dalam ayat-ayat al-Qur'an tadi diterjemah daripada kalimat ghulf, iaitu jamak bagi aghlaf.

Sebab manusia berkhatan adalah untuk bersuci. Kesucian kedua-dua bahagian sulit yang diguna dalam perhubungan jenis heteroseksual disucikan tanpa pembedahan, atau mengerat sebahagian daripadanya, kerana mereka sudah dicipta Allah dengan sempurna.

Penyucian mereka pula boleh dilakukan dengan senang seperti yang diajar kepada kanak-kanak dalam pendidikan kesihatan, yang turut mengajar cara-cara menyuci dan menjaga kesihatan gigi, telinga, rambut dan bahagian-bahagian anggota badan lain.

Mereka juga diajar mengenai AIDS. Pendekatannya yang wajar harus termasuk nilai takut akan Tuhan supaya zina dapat dijauhi, dan hidup dengan sihat tanpa dadah. Kerana AIDS, pada pendapat kami, adalah suatu azab daripada kemurkaan-Nya. Kadangkala azab seperti itu menimpa orang-orang yang tidak berdosa pula.


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons