Oleh JAMLIAH ABDULLAH
utusanN9@utusan.com.my
SEREMBAN 16 Ogos – Percaya atau tidak, sebuah hospital kerajaan di sini menerima dua hingga tiga kes remaja hamil luar nikah setiap hari.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Zainab Nasir, perkara tersebut membimbangkan pihaknya.
“Ini adalah laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri. Kes-kes membabitkan remaja hamil luar nikah seperti ini dilihat semakin meningkat dan membimbangkan kita,” katanya di sini hari ini.
Zainab tidak menafikan terdapat kes membabitkan remaja dalam kalangan pelajar termasuk penuntut institusi pengajian tinggi di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan melaksanakan pelbagai program di bawah Jawatankuasa Gadis/Wanita Hamil Luar Nikah dalam usaha menangani permasalahan seperti itu sejak 2008.
“Pelbagai program dilaksanakan seperti seminar dan bengkel untuk remaja khususnya agar mereka menjauhi perkara-perkara seperti ini,” kata beliau.
Bagaimanapun, katanya, usaha tersebut bagaimana pun tidak akan berkesan tanpa pembabitan daripada akar umbi iaitu semua anggota keluarga.
“Dalam perkara seperti ini saya ingin menasihatkan ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak gadis mereka. Tidak salah kita sedikit mengongkong dalam hal-hal seperti ini.
“Ibu bapa yang mempunyai anak gadis di kolej atau universiti selalulah jenguk mereka, jangan kita tinggalkan mereka pada hari pendaftaran kemudian biarkan begitu saja tanpa bertanya khabar.
“Elok juga jika kita selalu lakukan ‘pemeriksaan mengejut’ di tempat mereka belajar,” jelasnya.
Katanya, remaja yang hidup jauh daripada keluarga dan tanpa bimbingan ibu bapa akan mudah terpengaruh dengan anasir tidak baik akibat pengaruh rakan-rakan.
“Di sinilah institusi keluarga memainkan peranan, walau sebaik manapun program yang kerajaan buat, akhirnya anggota keluarga jugalah yang utama dalam memberi didikan,” katanya.
Mengenai kes buang bayi di negeri ini, katanya, sebanyak 24 kes dilaporkan sejak 2007 termasuk empat kes pada tahun lepas dan dua kes sehingga Ogos tahun ini.
“Kerajaan negeri sangat menyokong cadangan kerajaan agar mereka yang terbabit dengan kes pembuangan bayi disabitkan dengan hukuman mati.
“Sekurang-kurangnya hukuman ini akan menggerunkan mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu,” tegasnya.