02 Jun 2011
Peringatan Kepada Orang Yang Jahil Namun Berani Mengeluarkan Fatwa Tentang Hukum Hakam Agama
Khamis, Jun 02, 2011
MASJID PUTRA PERDANA
Sudah terdapat segelintir individu samada melalui Facebook, forum tanya jawab agama, blog dan melalui saluran yang ada di internet mahupun di luar sana yang amat berani mengeluarkan 'fatwa' dan pendapat sendiri dengan terus mengambil melalui al Quran dan Hadith walaupun dalam keadaan jahil dan kekurangan ilmu-ilmu alat yang penting sebelum melayakkannya mengeluarkan sebarang pendapat mengenai hukum hakam agama.
Bagaimanakah adabnya para salafussoleh (mereka yang hidup di 3 kurun terbaik seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SallaLlahu 'alaihi wasallam) sebelum berani mengeluarkan fatwa ?
Dari AbduLLah ibn Amr radiyaLLahu ‘anhu bahawa RasuluLlah sallaLLahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :
ALLah subhanahu wa ta’ala tidak akan mengangkat ilmu pengetahuan dengan cara mencabutnya dari hati ulama, tetapi dengan cara mematikan mereka, dan jika sudah tidak ada lagi seorang ulama yang masih hidup, maka manusia akan mengangkat pemimpin di kalangan orang-orang yang jahil (bodoh), jika (para pemimpin tersebut ditanya tentang kemusykilan agama) maka mereka akan berfatwa tanpa dasar ilmu, dengan itu mereka menjadi sesat dan menyesatkan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dr Yusuf al Qardhawi dalam kitabnya al Fatwa Bayna al Indibat al Tasayyub (Fatwa Antara Ketelitian Dan Kecerobohan) menyatakan seorang mufti atau faqih yang menempati kedudukan Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam dalam menyampaikan ketentuan hukum hakam Allah mesti mempunyai kapasiti (kemampuan) yang besar tentang ilmu-ilmu Islam. Antaranya :
1. Merangkumi selok belok Bahasa Arab
2. Pemahaman yang bendar dan pengetahuan yang cukup tentang serba serbi kehidupan dan corak ragam manusia
3. Kepakaran yang handal dalam menggali dan merumuskan suatu hukum berdasarkan kaedah-kaedah ijtihad.
Siapakah antara ciri-ciri mereka yang dilarang untuk berfatwa ? iaitu :
1. Orang yang tidak memiliki kemampuan dan pengetahuan tentang Bahasa Arab dengan selok beloknya termasuk ayat dan sasteranya agar membolehkannya memahami al Quran dan Al Sunnah tidak dibenarkan memberikan fatwa kepada manusia.
2. Orang yang tidak arif dan mengerti pendapat para ulama terdahulu dari berbagai mazhab feqah dan tidak mengerti methodologi pengambilan hukum dan hal-hal yang berkaitan dengannya seperti mengetahui perkara-perkara yang disepakati bersama atau masih dalam pertikaian tidak dibolehkan mengeluarkan fatwa.
3. Orang yang tidak memiliki kepakaran dalam bidang Usul Feqh seperti mengenali al Qiyas dan al Illah; pada situasi apakah al Qiyas dibolehkan dan pada situasi apakah al Qiyas tidak dibenarkan
4. Orang yang tidak menghayati pendapat para fuqaha yang tercantum dalam kitab-kitab mereka secara mendalam
5. Orang yang tidak memiliki kepakaran dalam melakukan penelitian ke atas perbezaan pendapat di antara mereka dan mengenalpasti kaedah yang digunakan mereka dalam menggali hukum hakam syarak.
Al Hafiz Al Khatib al Baghdadi meriwayatkan dalam kitabnya "Al Faqih wa al Mutafaqqih" dari al Imam Syafi'e radiyaLlahu anhu berkata :
"Tidak dihalalkan bagi seseorang berfatwa mengenai agama Allah, kecuali seorang yang arif dengan Kitab Allah (Al Quran), Nasikh dan Mansukh, Muhkam dan Mutasyabih, Ta'wil dan Tanzil, Makkiyah dan Madaniyyahnya; Apa yang dimaksudkan dengan satu-satu ayat; dalam masalah apa ia diturunkan. Selain itu, dia juga mesti menguasai hadith Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam; Nasikh dan Mansukhnya. Pengetahuannya mengenai hadith Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam mesti setaraf pengetahuannya mengenai al Quran. Dia mesti juga menguasai Bahasa Arab; arif akan selok belok sya'ir, dan disiplin ilmu yang lain yang diperlukan untuk memahami al Quran.
Di samping itu, dia juga mesti menahan diri daripada (seronok) bercakap. Dia dituntut juga untuk memahami perbezaan pendapat di kalangan para ulama, selain harus memiliki kemampuan atau kepakaran dalam mengambil ketentuan hukum (istinbat). Jika semua syarat-syarat ini telah dimilikinya, maka barulah boleh baginya bercakap dan berfatwa tentang halal dan haram. Namun jika belum sampai pada darjat ini, dia hanya boleh membincangkan tentang ilmu pengetahuan, tetapi tidak dibenarkan untuk berfatwa."
(Al Faqih wa al Mutafaqqih, Juz 2, hlm 157, Cetakan Riyadh, Saudi Arabia)
Imam Ahmad Ibn Hanbal RadiyaLlahu anhu telah memberikan panduan dalam masalah ini, katanya : "Seseorang tidak boleh menawarkan dirinya untuk berfatwa sebelum ada pada dirinya lima perkara :
Pertama : Mempunyai niat yang ikhlas. Sebab jika tiada niat (ikhlas), dia tidak akan mendapat cahaya (petunjuk) dalam melakukan fatwanya.
Kedua : Hendaklah dia mempunyai sifat kasih, rendah hati (tawadhuk) dan ketenangan jiwa.
Ketiga : Mempunyai keyakinan yang teguh dengan tugasnya dan memahami betul soalan yang sedang dihadapinya.
Keempat : Hidupnya dalam kecukupan, kerana jika tidak, dia akan dipengaruhi oleh orang yang berkepentingan.
Kelima : Mempunyai maklumat yang cukup tentang adat- istiadat dan selok belok kehidupan manusia (Ibn Battutah, disalin oleh Ibn Qayyim dalam "Ilamul Muwaqqi'in" Juz 4 Hlm 199)
Larangan orang yang berfatwa tanpa dasar ilmu (jahil)
Imam Abu Hanifah radiyaLlahu anhu berpendapat :
"Wajib menghalang orang bodoh (mufti jahil) dan orang yang mempermainkan agama dari mengeluarkan fatwa".
Seorang lelaki pernah melihat Rabi'ah Ibn Abd Rahman, guru kepada Imam Malik sedang menangis, lalu ditanya :
"Hal apakah yang menyebabkan tuan menangis ? Jawabnya : Ada seorang yang telah diminta untuk berfatwa, walhal dia tidak mengerti apa-apa dan fatwanya itu telah memudaratkan umat Islam, kerana itu, katanya lagi : "Sebahagian mufti lebih berhak masuk penjara daripada para pencuri".
Ibn Qayyim meriwayatkan dari beberapa ulama sezamannya :
"Bagaimana jika Rabi'ah menyaksikan zaman kita ini, dimana orang yang tidak berilmu berani memberikan fatwa dengan modal kejahilan dan keberanian semata-mata, pengalaman yang sedikit dan pengetahuan yang dangkal, tambahan pula memiliki sejarah hidup yang tidak elok dan tidak dikenal di kalangan para ulama. Pengetahuannya tentang al Quran, al Sunnah dan ilmu-ilmu ulama salaf sangat cetek dan dangkal..
(Ibn Qayyim, I'lamul Muwaqqi'in, Juz 4, hlm 207-208)
Abu 'Abdillah Ibn Battutah meriwayatkan dari al A'masy dari Syaqiq dari Abdullah Ibn Mas'ud radiyallahu anhu berkata :
"Demi Allah, seseorang yang memberi fatwa bagi setiap soalan adalah orang gila".
Al Hakam pernah berkata kepada al A'masy setelah mendengar riwayat tadi:
"Jika aku mendengar hadith tersebut dari dahulu lagi, nescaya aku tidak akan banyak berfatwa seperti apa yang telah aku lakukan selama ini". Kemudian Abu 'Abdillah menambahkan : :Ini Abdullah Ibn Mas'ud bersumpah dengan nama Allah bahawa sesiapa berfatwa untuk setiap soalan adalah orang gila, sumpah beliau pasti benar, kalau begitu kebanyakan mufti pada zaman kita ini sudah menjadi gila..! Mengapa...? Kerana setiap mufti yang ditanya akan langsung memberi jawapan, tanpa berfikir lebih jauh atau berkata tidak, atau takut kerana Allah Subahanahu Wa Ta'ala (jika fatwanya salah), atau tidak takut untuk disoal balik: "Dari mana jawapan ini kami dapat.. ? Akan tetapi yang paling mereka takuti dan gerun adalah sindiran bahawa dia tidak dapat menjawab soalan.
Pada hakikatnya dia telah melakukan perbuatan yang sangat besar yang tidak mampu dilakukan oleh orang yang lebih tinggi, luas dan dalam ilmu agamanya daripada dirinya, dan dia telah melakukan satu praktik perubatan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang doktor yang sangat pakar".
Rujukan : Prof Dr Yusuf al Qardhawi, Al Fatwa Bayna Al Indibat al Tasayyub, Fatwa & Antara Ketelitian & Kecerobohan, 1996, Thinker's Library, Selangor.