12 Jun 2011
Khutbah Jumaat Selangor kecam jenayah qazaf, sifatkan dosa besar
Ahad, Jun 12, 2011
MASJID PUTRA PERDANA
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
KUALA LUMPUR, 10 Jun — Ketika isu rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum “sejuk”, hari ini khutbah Jumaat rasmi negeri Selangor mengecam tindakan pihak yang menyebarkan fitnah tanpa mempunyai sebarang bukti kukuh.
Kandungan khutbah itu menyifatkan tindakan umat Islam yang membuat kenyataan berbentuk fitnah bercanggah dengan syariat Islam.
“Mimbar hari ini berasa amat terpanggil untuk menjelaskan maksud dan kesan fitnah yang wajib difahami, jika kita benar-benar inginkan kesejahteraan dan keredhaan Allah di dunia, apatah lagi di akhirat kelak.
“Perhatian ini wujud kerana ada kecenderungan sebahagian umat Islam membuat kenyataan berbentuk fitnah yang sangat jelas bercanggah dengan syariat Islam tidak kisah sama ada ia dilakukan sama ada oleh individu, kumpulan, persatuan dan pihak-pihak lain,” kata khutbah standard yang disampaikan di masjid-masjid di seluruh negeri Selangor, yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, hari ini.
Keseluruhan teks khutbah yang diperoleh memfokus pada isu tersebut, dipercayai merujuk kepada rakaman video seks yang didedahkan “Datuk T” pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara.
Kata khutbah itu, sekiranya fitnah dilakukan ia boleh mendatangkan pertuduhan qazaf terhadap seseorang melakukan perbuatan zina atau liwat tanpa mengemukakan empat orang saksi yang adil.
“Fitnah ialah mengadakan satu berita palsu atau bohong terhadap seseorang yang mempunyai perasaan permusuhan dengan motif-motif yang buruk.
“Fitnah boleh menimbulkan qazaf dan ia bererti membuat pertuduhan terhadap seseorang melakukan zina atau liwat tanpa empat saksi adil dan orang yang menuduh telah melakukan jenayah qazaf dan fitnah,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pihak termasuk sayap pemuda PKR telah memfailkan aduan qazaf kepada ketiga-tiga “Datuk T” iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Selain itu, Shazryl juga telah melakukan sumpah laknat bagi membuktikan rakaman video seks itu adalah benar dan Anwar adalah pelakunya.
Bagaimanapun tegas khutbah itu, pembuktian melalui cara bersumpah termasuk sumpah laknat adalah tidak relevan selain tidak menepati kehendak syarat.
“Termasuk dalam kategori ini mereka yang mendedahkan maklumat secara terbuka dalam pelbagai bentuk dengan niat menuduh melakukan zina juga telah melakukan jenayah qazaf.
“Malah mereka yang mempercayai fitnah tersebut dan menyebarkannya sudah pasti mendapat dosa, boleh dikenakan hukuman kerana gagal membuktikan mengikut ketetapan syarak,” katanya.
Jelas khutbah Jumaat itu, fitnah yang dilemparkan termasuk dipaparkan melalui media akan menjatuhkan imej tertuduh.
“Lebih memburukkan keadaan apabila si pemfitnah enggan menerima kebenaran dan tidak mahu mengakui kesilapan atau mempunyai perasaan dendam serta hasad dengki terhadap orang yang dituduh.
“Pemfitnah sama ada sedar atau tidak telah melaksanakan sumpahan iblis dan syaitan yang memang ingin merosakkan iman dan akidah umat Islam sehingga hari kiamat,” katanya.
Kata khutbah itu, sesiapa yang terlibat dalam jenayah qazaf telah melakukan perbuatan haram dan ia termasuk dalam tujuh jenis dosa besar.
“Oleh itu, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut syariat Islam iaitu secara fizikal boleh dikenakan 80 sebatan, dari segi moral akan hilang kelayakan menjadi saksi selama-lamanya dalam semua perkara termasuk saksi perkahwinan.
“Dan, dari segi agama mereka ini tergolong sebagai orang yang fasik (pendusta),” katanya.
Justeru kata khutbah itu, umat Islam perlu mengetahui dan memahami peraturan-peraturan Islam yang menurut kehendak syarak.
“Bagi tujuan mendidik dan mengawal umat Islam daripada melakukan jenayah qazaf, yang mempunyai kaitan langsung dengan nilai, maruah dan keharmonian masyarakat, maka hendaklah diperjelas peraturan, larangan dan kesan jenayah qazaf serta hukuman yang boleh dikenakan menurut peraturan syarak.
“Martabatkanlah undang-undang Islam yang memberikan pengiktirafan dan hak kepada Mahkamah Syariah mengendalikan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan orang Islam. Dengan ini, kita boleh melaksanakan sistem perundangan yang adil, diredhai dan patuh kepada hukum syarak,” katanya.