08 September 2010

Makna ziarah raya bagi kanak-kanak


Pada petang Syawal pertama, tiga orang anak lelaki saya pulang ke rumah neneknya di satu kawasan taman perumahan dengan merungut-rungut. Si abang yang berusia 12 tahun terus membentak: "Apalah orang kat sini, nak beraya pun susah. Semua tutup gate!" Ketika ditegur ibunya tentang kemungkinan jiran-jiran tersebut tiada di rumah ataupun sedang berehat, dia cepat-cepat meningkah: "Dia orang ada kat rumah. Ada pak cik tu siap duduk depan rumah pula. Bila kami beri salam dan kata nak beraya, dia buat tak tahu aje."

Kata-katanya disokong adik-adik dan sepupu-sepapatnya yang lain menyebabkan kami 'orang tua-tua' tak terkata apa.


Nasib malang mereka tidak berakhir di situ. Ketika pulang ke rumah ibu bapa mentua di sebuah kampung tradisional, rungutan yang sama saya dengar walaupun jumlah yang bersikap begitu tak seramai di taman perumahan tadi.

Saya tidak mahu memberi komen apa-apa, apatah lagi melarang mereka daripada meneruskan usaha ziarah itu. Pertamanya, saya tidak mahu amalan ziarah Aidilfitri anak-anak yang telah berjalan entah sejak bila terhapus semata-mata kerana wujudnya anggota masyarakat yang tidak mempunyai rasa kasih pada kanak-kanak. Keduanya, walaupun saya menyedari motif utama mereka bukan untuk beraya sangat, tetapi sebenarnya untuk mengumpul 'duit raya', saya yakin inilah masa paling sesuai untuk anak-anak berinteraksi dengan 'orang-orang tua' yang selama ini tidak mengendahkan kewujudan mereka. Paling kurang semasa beraya, mereka akan ditanya; "kamu anak siapa dan tinggal di mana?"

Saya teringat sewaktu kecil di tahun-tahun 70-an, ibu bapa saya sibuk menyediakan wang siling pada 'hari membantai' (hari akhir berpuasa). Kadang-kadang saya dan kakak diminta pergi ke kedai runcit Ah Teh untuk menukar duit siling. Pada pagi hari raya, pintu rumah kami dibuka sebaik selesai solat Subuh untuk menerima tetamu. Dan tetamu-tetamu itu ialah warga-warga kecil kampung itu yang datang beraya meskipun belum 'terang bumi'. Mereka akan datang bersalaman dengan tuan rumah dan tidak segan-segan menunggu duit raya walaupun nilainya hanya sekadar 10 sen, 20 sen ataupun 30 sen.

Menjelang solat sunat Aidil Fitri kebanyakan rakan-rakan sebaya saya sudah mula mengira duit raya yang mengisi poket-poket seluar dan baju raya kami. Aktiviti ziarah ini berterusan sehingga Syawal ketiga dan berlanjutan hingga ke kampung-kampung jiran. Cuma peluang untuk mendapat duit raya agak tipis di hari raya kedua dan ketiga. Pun begitu, keseronokan berziarah di hari raya lebih terasa walaupun tanpa duit raya. Di waktu inilah, kami kanak-kanak boleh singgah berziarah di rumah siapa juga tanpa mengenali tuannya. Dan tuan rumah, walau bagaimana daif kehidupan mereka sekalipun tidak tergamak mengecewakan anak-anak yang berziarah, kerana mereka tahu inilah satu-satunya hari dalam setahun kanak-kanak itu mempunyai akses untuk menziarahi rumah sesiapa pun.

Bagaimanapun di waktu-waktu mutakhir ini, budaya murni itu seakan diancam oleh sikap tidak prihatin sesetengah kalangan kita tentang hak anak-anak untuk bergembira di Aidilfitri. Mengapakah susah sangat untuk kita membuka pintu bagi membolehkan anak-anak berziarah? Mengapakah perlu untuk kita menunggu 'rumah terbuka' sebelum membenarkan mereka masuk ke rumah? Apakah bentuk jalinan kemesraan dan kasih sayang yang mampu kita pamerkan kepada generasi anak-anak kita jika mereka disisihkan hanya kerana kita takut letih melayan karenah mereka?

Aidilfitri adalah saat paling sesuai untuk kita 'orang tua-tua' menjalin kemesraan dengan generasi anak-anak kita. Persekitaran yang melingkari hidup mereka lebih mencabar daripada apa yang kita sendiri harungi dua tiga dekad yang lalu. Jika saat-saat penting ini kita pinggirkan kerana kesibukan kita, generasi anak-anak kita akan bertambah jauh daripada kita. Mereka akan lebih suka mendengar dan mendapat nasihat dari rakan sebaya, internet, majalah picisan, vcd dan tv kerana tidak dipedulikan oleh 'orang-orang tua' walaupun ketika menyambut Aidilfitri.

Luangkan masa untuk menerima kunjungan mereka walaupun hidangannya air sejuk dan mee segera Mawi! Selamat menyambut Aidil Fitri, maaf zahir batin. _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons