02 Februari 2010

Membedakan yang fardhu dengan yang sunnat.


Apa yang telah kita pelajari terdahulu dari ini termasuk perkara-perkara yang fardhu, yang sunnat dan hai’at.

Adapun perbuatan-perbuatan yang sunnat ialah: Mengangkat kedua tangan pada takbiratul-ihram dan ketika hendak membongkok membuat ruku’, bangkit dari ruku’, dan ketika bangkit dari duduk tasyahhud awal, manakala bertawarruk (duduk dalam tasyahhud akhir) dan duduk beriftirasy (dalam tasyahhud awal) adalah hai’at yang berikutan dengan duduk bertasyahhud tadi, sebagaimana meninggalkan menoleh-noleh itu adalah hai’at bagi berdiri serta memperelokkan rupanya.


Doa-doa atau zikir-zikir yang sunnat pula ialah: Doa Iftitah, Ta’awwuz, membaca Amiin, membaca surah-surah, membaca takbir-takbir ketika berpindah dari satu rukun ke rukun yang lain. Membaca zikir-zikir dalam ruku’, sujud, dan I’tidal serta tasyahhud awal. Termasuk sunnat juga ialah membaca salawat ke atas Nabi s.a.w. padanya. Dan sunnat juga membaca doa dalam tasyahhud akhir serta salam yang kedua.

Yang disebutkan di atas kesemuanya sunnat, selainnya maka hukumnya wajib.

Ketahuilah bahawasanya sembahyang itu laksana seorang manusia. Rohnya dan nyawanya adalah seperti kekhusyu’kannya. Kehadiran hatinya serta keikhlasannya seumpama roh manusia dan kehidupannya. Semua rukun-rukun sembahyang diumpamakan seperti gerak-geri hati, kepala dan jantung, sebab tidak ada sembahyang tanpa ada rukun-rukun sembahyang, sama seperti tidak ada manusia tanpa ada hati, kepala dan jantung.

Semua sunat-sunat sembahyang pula diumpamakan seperti kedua tangan, kedua mata dan kedua kaki dari manusia, sebab tanpa semua ini kehidupan masih boleh berlaku juga, tetapi manusia yang tiada mempunyai semua anggota ini adalah manusia yang kurang sifat kemanusiaannya, yang dipandang sebagai orang cacat. Demikianlah pula umpamanya dengan sembahyang yang didirikan tanpa sunnat-sunat.

Seterusnya hai’at-hai’at sembahyang pula diumpamakan sebagai sebab-sebab yang memperelokkan bentuk daripada bulu kening, janggut, bulu mata dan kebagusan warna dan sebagainya. Maka barangsiapa yang bersembahyang dengan hanya mengerjakan yang wajib-wajib saja, samalah seperti seorang yang menghadiahkan seorang hamba yang kudung kaki dan tangan kepada seorang maharaja.

Ketahuilah bahawa sembahyang itu laksana suatu persembahan atau suatu pengurniaan yang bernilai, yang disembahkan oleh seseorang ke hadhrat maharaja dari segala raja (iaitu Allah s.w.t.). Jadi perkaranya samalah seperti seorang yang menghadiahkan sesuatu jariah (hamba) kepada rajanya dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada raja itu. Padahal hadiah atau persembahan yang dimaksudkan ini, anda dipersembahan Allah azzawajalla, kemudian ia dikembalikan semula kepada anda pada Hari Perkiraaan yang terbesar (Hari Kiamat).

Oleh itu, maka perkaranya terserahlah kepada anda untuk memilih, sama ada persembahan itu harus dari yang baik, mahupun yang buruk. Kiranya anda memilih yang baik, maka andalah yang akan menerima akibat baiknya. Jika yang buruk, maka buruk pulalah padahnya.



 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons