02 Februari 2010

Keutamaan azan.

Sembahyang itu adalah tiang agama dan tempat berlindung segala keyakinan. Ia juga Penghulu dari segala amal kebaktian dan ketaatan. Semua usul-usulnya (pokok-pokoknya) dan furu’-furu’nya (cabang-cabangnya) telah pun terkumpul di dalam mata pelajaran ilmu fiqh.

Di sini kita hanya menyingkatkan pembicaraan kepada perkara-perkara yang perlu saja bagi para pelajar, iaitu membicarakan amalan-amalan sembahyang dan rahsia-rahsia kebatinan sembahyang semata-mata.

Dalam Bimbingan Mukminin ini, Kitab Rahsia Sembahyang dan Keutamaannya mengandungi bab-bab berikut:

Keutamaan azan

Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Tiada seorang jin atau manusia atau benda apapun yang mendengar suara panggilan azan itu, melainkan dia akan menyaksikannya di Hari Kiamat kelak.”

Sabdanya lagi:

“Apabila kamu mendengar suara azan, maka ucapkanlah sepertimana yang diucapkan oleh muazzin itu sendiri.”


Menyahut azan sama seperti kata-kata muazzin itu adalah dituntut dan sunnat, kecuali pada haiyalataini (dua haiya ala) maka hendaklah dijawab dengan kata:

“Tiada daya dan kekuatan, melainkan dengan pertolongan Allah”

Dan pada kata-kata “Qadqamatis-Solah” dijawab pula:

“Semoga Allah mendirikannya (sembahyang) dan mengekalkannya.”

Dan pada kata-kata: “Ash-Solatu Khairun Minan-naum” pula dijawab:

“Engkau telah berkata benar dan berbakti”

Sesudah azan, hendaklah ia membaca:

“Ya Allah, Tuhannya doa yang sempurna ini, dan juga shalat yang berdiri ini. Kurniakanlah Nabi Muhammad kedudukan yang tinggi serta kehormatan. Dan bangkitkanlah dia pada tempat yang terpuji (Maqam Mahmud) yang Engkau janjikan baginya.”

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons