Pendahuluan
Ibadat haji adalah satu kefarduan ke atas setiap individu Muslim yang mukalaf dan berkemampuan. Sempurnanya Islam seseorang Muslim hanya apabila mereka telah menunaikan rukun Islam yang kelima, menunaikan haji di Baitullah.
Sememangnya setiap umat Islam yang memenuhi syarat hendaklah menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan kita melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitul Haram, tetapi tidak menunaikan hajinya maka kematiannya pasti sebagai seorang Yahudi atau Nasrani”. (riwayat At-Tirmizi)
Kaifiat melangkah ke Baitullah
Alangkah baiknya jika fardu haji ini dapat kita tunaikan dalam keadaan tubuh badan yang sihat dan cergas. Kesihatan kita pasti sentiasa berubah, lazimnya uzur apabila usia semakin meningkat dan dibejati oleh pelbagai penyakit serta permasalahan lain.
Oleh itu, apabila berkemampuan menunaikannya, kita tidak perlu menunggu sehingga usia tua lantaran maut tidak memilih usia seseorang.
Alangkah sedihnya mereka yang meninggal dunia dalam keadaan kaya-raya, mewah dan berupaya menunaikan haji tetapi tidak sempat menunaikan haji tanpa sebarang uzur syarie.
Tuntutan haji merupakan satu perintah yang mesti ditunaikan apabila cukup kemampuan. Jangan pula ada yang tidak mahu menunaikannya dengan alasan “belum sampai seru” sedangkan seruan Allah dan rasul sentiasa disampaikan kepada kita.
Malangnya kesedaran untuk menyempurnakan rukun Islam kelima ini dilihat seperti bermusim. Kesedaran hanya akan timbul bila musim haji tiba saban tahun. Pastinya ramai yang menanam azam untuk membuka akaun dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) apabila terdengar radio memainkan nasyid tanda tibanya bulan haji.
Bagaimanapun tidak ramai yang berjaya menyempurnakan azam tersebut. Semangat untuk menjadi tetamu Allah bagaikan melayang apabila mendengar teman yang telah mendaftar terpaksa menunggu 10 tahun lagi untuk menunaikan ibadat haji.
Ingatlah! Kejayaan sesuatu misi itu bermula dengan langkah pertama. Dalam konteks ini, membuka akaun dan berdaftar dengan LTH adalah langkah permulaan anda.
Fadilat menunaikan haji
Fadilat menunaikan haji amat banyak. Antaranya sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dari Abu Hurairah yang bermaksud:
l“Sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedang dia tidak mengeluarkan kata-kata keji dan melakukan perbuatan yang kurang sopan juga tidak membuat fasiq (caci memaki) maka dia akan terlepas dari dosa-dosanya sebagaimana anak-anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya”.
l“Tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya menuju jihad fisabillah, kemudian jatuh dari kenderaan dan dipijak oleh binatang atau mati dengan apa cara sekali pun, maka ia dikira mati syahid. Dan tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya dengan niat mengerjakan haji ke Baitullah kemudian ia mati sebelum menyempurnakan hajatnya, maka Allah mewajibkan untuknya syurga”.
Abu Al-Laith As-Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah b. Ibad r.a berkata: Kami di Mina bersama Nabi Muhammad SAW tiba-tiba datang rombongan dari Yaman, lalu mereka berkata, “Beritakan kepada kami fadilat haji ya Rasulullah”. Jawab nabi SAW: “Baiklah, tiap-tiap orang yang keluar dari rumahnya dengan niat haji atau umrah, maka tiap langkahnya gugurlah dosa-dosanya dari badannya sebagaimana gugurnya daun kering dari pohon. Maka apabila telah sampai ke Madinah dan memberi salam lalu berjabat tangan kepada ku, dijabat tangan oleh malaikat. Maka apabila telah sampai di Zulhulaifah lalu mandi sunat ihram maka Allah SWT menyucikan dari semua dosanya. Kemudian jika ia memakai pakaian baru untuk ihram, Allah membaharui baginya kebajikan dan bila mengucapkan Labbai kallahumma labbaik langsung dijawab oleh Allah SWT (Asma’ kalaamaka wanzur ilaik) yakni aku mendengar kata-katamu dan melihat padamu, maka apabila telah sampai di Mekah dan Tawaf serta Saie di antara Safa dan Marwah maka Allah SWT menuang baginya kebaikan. Lalu ketika wukuf di Arafah dan gemuruh suara berdoa.
Maka Allah SWT membanggakan kepada malaikat dan berfirman yang bermaksud: Wahai malaikat dan penduduk langit, tidakkah kamu melihat hambaku yang datang dari seluruh pelosok alam yang jauh dalam keadaan yang terurai dan berdebu. Mereka telah mengorbankan harta dan benda, maka demi kemuliaan dan kemurahanku, aku akan memaafkan orang-orang yang berdosa dan melepaskan mereka dari dosa sebagaimana anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya. Demikian pula apabila telah melontar jamrah dan mencukur rambut lalu Tawaf Ifadah iaitu ziarah. Maka ada seruan dari Arasy, kembalilah, kamu sudah diampunkan semua dosa-dosamu dan perbaharuilah amal perbuatanmu”.
Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berdoa: “Ya Allah, ampunilah bagi orang-orang yang melakukan ibadat haji dan bagi orang yang dimintakan ampun oleh orang yang berhaji”.
Kelebihan menziarah Haramain
Allah telah menetapkan bahawa sesuatu itu ada yang melebihi yang lainnya. Di samping Allah SWT menjadikan kelebihan di antara sesama manusia, Dialah juga yang menetapkan kelebihan yang tertentu pada tempat tertentu.
Allah SWT melimpahkan berkatnya terhadap Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarrah dari segala tempat yang lain di dunia ini seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sekali sembahyang di masjidku (Masjid Madinah) lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang di tempat lain kecuali di Masjidil Haram”.
Kita lebih bercita-cita melawat tempat-tempat lain berbanding Mekah al-Mukarramah. Kita cukup selesa mengunjungi rumah-rumah manusia berbanding rumah-rumah Allah SWT. Wang dan harta yang kita kumpulkan kita habiskan bagi melancong di atas muka bumi Allah sedangkan Baitullah dan tanah haram Allah tidak dikunjungi. Adakah ini tandanya kita mensyukuri nikmat-nikmat Allah dan beradab sopan dengan Allah?
Kita tidak boleh terus mengambil sikap suka bertangguh dalam melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kalau Allah mengkehendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu) tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumba lah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal saleh). Kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (al-Maidah: 48)
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati.” (riwayat Baihaqi)
Umat Islam hari ini banyak ketinggalan dalam segala hal kerana suka bertangguh.
Kita sering menangguhkan pelaksanaan perintah-perintah Allah untuk memastikan kesempurnaan pelaksanaannya hingga akhirnya kita langsung tidak melaksanakannya. Kita masih terus memohon penangguhan ajal di hadapan Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat ini) akan merayu dengan katanya: “Wahai tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan ajal matiku ke suatu masa sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang soleh”. (al-Munafiqun: 10)
Penutup
Sebagai umat Islam yang baik, mulakan langkah dengan segera berdaftar untuk menjadi tetamu Allah. Di samping itu, berusaha dan berdoalah agar dipanjangkan umur dan dikurniakan rezeki menjadi tetamu Allah kepada sebaik-baik tempat di muka bumi ini iaitu Baitullah, Tanah Suci Mekah.