Manusia telah membahagikan bulan dalam setahun sebanyak dua belas bulan yang mana jumlah hari dalam sebulan antara 28 hingga 31 hari dan dalam seminggu pula ada tujuh hari. Sesetengah bangsa mengira taqwim mereka berdasarkan pergerakan matahari dan setengah yang lain termasuk bangsa arab dan umat Islam mengira taqwim mereka berdasarkan pergerakan bulan.Taqwim arab sebelum Islam 412 Masihi Bangsa arab telah menggunakan taqwim pada tahun 412 Masihi di mana arab yang berada di jazirah (kepulauan) arab mengira taqwim qamari iaitu berdasarkan pergerakan bulan. Di sisi mereka ada 12 bulan dalam setahun tetapi masih tidak berpegang kepada taqwim khas malah banyak bergantung kepada sejarah perjalanan hidup mereka berdasarkan beberapa peristiwa penting yang berlaku terhadap mereka. Sebagai contohnya adalah seperti berikut :
Pertama : Pembinaan Ka’bah oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail A.S kira-kira pada tahun 1855 Sebelum masihi.
Kedua : Runtuhnya Empangan Ma’rib pada tahun 120 Sebelum Masihi.
Ketiga : Kewafatan Ka’ab bin Luai iaitu datuk ketujuh bagi Rasulullah S.A.W pada tahun 59 Sebelum Masihi.
Keempat : Tahun Uzur pada 461 Masihi kerana berlakunya paksaan pada tahun ini dalam memberi persembahan kepada Ka’bah oleh raja dan manusia pada tahun ini bertelagah sesama mereka.
Kelima : Tahun Gajah iaitu apabila tentera bergajah Abrahah cuba menyerang Mekah pada tahun 571 Masihi.
Keenam : Berlakunya Peperangan Fujjjar yang berterusan sehingga empat tahun bermula daripada 586 Masihi. Para qabilah arab berperang sesama mereka termasuk pada bulan haram yang mana dilarang berperang dalamnya. Oleh sebab itu ia dinamakan peperangan Fujjar kerana arab melanggar larangan bulan haram.
Ketujuh : Pembinaan semula Ka’bah yang siap pada masa Abdul Muttalib iaitu datuk Rasulullah S.A.W menjadi ketua dan ketika itu baginda S.A.W berusia 35 tahun. Ini bermakna ia berlaku pada tahun 605 Masihi.
Perkiraan bulan mengikut bangsa arab berdasarkan masa yang berlaku antara dua anak bulan. Tahun Qamariah mempunyai 354.25 hari dalam setahun yang terdiri daripada 12 bulan. Bulan-bulan haram sebagaimana yang telah digarapkan oleh Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah yang bermaksud :Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan. Dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu kesemuanya sebagaimana mereka memerangi kamu kesemuanya dan ketahuilah bahawa Allah beserta mereka yang bertaqwa.
Daripada ayat ini kita dapat fahami bahawa bulan-bulan itu adalah Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram. Sebarang perbuatan maksiat pada bulan-bulan ini akan menerima azab yang pedih dan bagi amalan soleh pula akan diganjarkan dengan pahala dan balasan yang berganda.Arab menamakan bulan-bulan yang ada dalam setahun dengan nama yang berbeza dengan sebab yang berbeza iaitu :
MUHARRAM: Disebabkan pengharaman berlakunya sebarang peperangan padanya di sisi bangsa arab.
SOFAR : Kawasan tempat tinggal kosong daripada penduduknya kerana mereka keluar berperang bagi menghabiskan sisa-sisa bulan halal sebelum masuk bulan haram.
RABIUL AWWAL : Manusia meresa seronok dan lapang padanya dan duduk di tempat tinggal ketika ini.
RABIUL AKHIR : Juga kerana manusia berseronok dan lapang pada bulan ini.
JAMADIL AWWAL : Bertembung hari-hari musim sejuk yang begitu sejuk dan bekunya air.
JAMADIL AKHIR : Mereka mendakwa bahawa kebanyakan peristiwa-peristiwa yang besar berlaku pada bulan ini sehingga mereka berkata :” Ajaib bagi segala yang ajaib itu ialah antara Jamadi yang dua dan Rejab”.
REJAB : Dibesarkan dan dikatakan juga pekak kerana tidak terdengar suara bising dan suara pedang yang berlaga. Dipanggil bagi bulan ini lebih disukai kerana Allah menurunkan padanya rahmat dam keampunan kepada hamba-hambanya.
SYA’ABAN : Bertembung kepanasan yang terik pada awal waktu dan ia merupakan bulan berkat kerana semua kitab samawi (wahyu kepada nabi-nabi) diturunkan pada bulan ini termasug suhuf nabi Ibrahim, Taurat, Injil dan al-Quran al-Karim. Waktu berubah mengikut peredaran zaman yang mana bulan ini selepas berlalunya setiap 25 dan 16 tahun berpindah daripada musim panas kepada musim sejuk.
SYAWAL : Bulan di mana diberi minum unta dan kerana ia merupakan awal bulan haji.
ZULKAEDAH : Kerana arab berhenti daripada berperang pada bulan ini dan ia juga merupakan awal bulan haram.
ZULHIJJAH : Kerana arab mengerjakan haji pada bulan ini.
Taqwim hijrah 17 Hijrah bersamaan 638 Masihi
Sebab yang mula mencetuskan taqwim ini adalah apabila Sayyidina Umar yang merupakan khalifah pada masa itu telah menghantar surat perintah kepada pekerjanya di Basrah iaitu Abu Musa al-Asy’ari di mana dalam surat itu ditulis Sya’aban. Abu Musa al-Asy’ari telah menghantar surat kepada Sayyidina Umar untuk mengetahui masa yang sebenar tentang bulan Sya’ban itu samada yang sedang mereka berada sekarang atau pun Sya’aban yang telah lalu. Melihat perkara ini maka Sayyidina Umar terus memberi pandangan agar diadakan taqwim khas untuk panduan umat Islam. Pada tahun 17 Hijrah, Sayyidina Umar mencadangkan agar umat Islam mengadakan suatu pembaharuan bagi memulakan tarikh perjalanan hidup mereka berdasarkan taqwim khas. Beliau telah menghimpun umat Islam pada masa itu dan berbincang dengan mereka mengenai taqwim ini. Ada di kalangan mereka yang mencadangkan agar dimulakan mengikut tahun kenabian S.A.W tetapi beliau menolaknya sehinggalah ada yang mencadangkan agar dimulakan dengan mengambil tarikh hijrah Rasulullah S.A.W sebagai titik permulaan kepada taqwim umat Islam yang mana cadangan terus ini diterima.
Para muslimin telah dinamakan tahun pertama hijrah merupakan Tahun disunnahkan Azan dan tahun kedua Tahun disunnahkan Peperangan. Manakala tahun ketiga Tahun Penyelidikan, tahun keempat Tahun Perjanjian, tahun kelima Tahun Gempa, tahun keenam Tahun Keizinan, tahun ketujuh Tahun Kekerasan, tahun kelapan Tahun Persamaan, tahun kesembilan Tahun Berlepas diri dan tahun kesepuluh ialah Tahun Perpisahan.
Keistimewaan taqwim hijrah
Keistimewaan atau pun perbezaan taqwim hijrah adalah dengan tibanya bulan puasa dan haji dalam setiap musim yang empat mengikut peredaran tahun. Islam telah mengharamkan tilik bintang sebagaimana pengharaman kerana ia membawa kepada perubahan waktu-waktu ibadat. Oleh kerana itu, umat Islam mengikut penetapan bulan berdasarkan anak bulan mengikut sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Berpuasalah kerana melihatnya dan berbukalah(hari raya) kerana melihatnya.
Dalam zaman pra-Islam, memang menjadi kebiasaan untuk orang Arab menyesuaikan bulan dari semasa ke semasa agar sejajar dengan tahun bulan dengan tahun matahari. Majlis Makkah iaitu Nidwali membuat keputusan untuk menyesuaikannya dalam sesuatu tahun tertentu dan ini diisytiharkan dalam majlis Ukaz atan Mina. Amalan ini dilarang oleh Allah sebagaimana tercatat dalam al-Quran. Islam melarang mereka yang cuba mengubah sebarang hari kebesaran dalam agama dengan taqwim matahari sebagaimana yang pernah dibuat oleh arab ketika zaman jahiliah dan perkara ini telah diberitahu oleh Allah dalam ayat 36 dan 37 surah at-Taubah yang bermaksud : Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan. Dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi di antaranya empat bulan haram. Itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu kesemuanya sebagaimana mereka memerangi kamu kesemuanya dan ketahuilah bahawa Allah beserta mereka yang bertaqwa.Sesungguhnya mengundur-undurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran, disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur menidurkan itu, mereka menghalalkannya pada suatu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, agar mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan yang Allah haramkannya maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan Allah. (Syaitan) menjadikan mereka memandang baik perbuatan mereka yang buruk itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir.
Pemilihan yang dilakukan oleh para sahabat Rasulullah S.A.W dalam memilih Muharram sebagai permulaan tahun hijrah adalah tepat. Jika kita lihat dalam buku-buku sejarah Islam tentang sirah Nabawiyyah di mana tarikh penghijrahan Rasulullah S.A.W berlaku pada bulan Rabiul Awwal bukannya Muharram.Pada zaman Sayyidina Umar maka bermulanya penggunaan tarikh berdasarkan hijrah bukannya tahun kelahiran bagi mengelakkan sama dengan Kristian yang berasaskan tahun kelahiran nabi Isa yang dikenali Tahun Masihi. Begitu juga tidak dimulakan dengan tahun mula-mula turunnya wahyu kepada Rasulullah S.A.W. Pemilihan hijrah sebagai taqwim Islam bagi menghidupkan suasana hijrah itu sendiri agar umat Islam tidak alpa dan lupa terhadap tujuan utama nabi S.A.W berhijrah ke Madinah iaitu untuk mencari kuasa dalam membina dan melaksana perundangan dan sistem kehidupan berdasarkan Islam.Hijrah merupakan perubahan besar kepada kehidupan umat Islam dan Islam itu sendiri yang mana sebelum ini tertindas tetapi berubah ke arah kegemilangan dan keagungan setta merubah peradaban dunia kepada tamadun yang tinggi seiring antara material dan ruhani tidak sebagaimana pembangunan material yang berjaya dibina oleh kafir Quraisy di Mekah dan juga 2 kuasa utama pada masa itu iaitu Parsi dan Rom.Pemilihan Muharram sebagai bulan permulaan taqwim hijrah bukannya Rabiul Awwal pula dibuat adalah mengikut sebab-sebab berikut iaitu :
Pertama : Bulan Muharram merupakan bulan pertama bagi bulan-bulan yang lain dalam setahun mengikut perkiraan arab di mana telah berlaku pembaharuan dalam tarikh bermula pada bulan ini.
Kedua : Bai’ah Aqabah antara Rasulullah S.A.W dengan rombongan daripada Yathrib(Madinah) telah berlangsung pada bulan Zulhijjah. Selepas itu baginda S.A.W menyuruh muslimin berhijrah ke Madinah bagi mendapat pertolongan daripada saudara mereka yang digelar golongan Ansar di sana.
Ketiga : Muharram merupakan bulan haram dan ia berada selepas bulan Zulhijjah di mana para haji pulang ke rumah masing-masing.
Semoga dengan penjelasan yang ringkas ini mampu sedikit sebanyak menambahkan lagi pengetahuan kita mengenai perkara ini.