07 November 2009

Haji: Peluang hayati sirah Nabi Ibrahim, Ismail.

Ustaz Zain Hashim

Syawal, Zulkaidah dan Zulhijah adalah bulan-bulan haji di mana difardukan Allah ke atas umat Islam akan ibadat haji bagi yang mampu melakukannya, iaitu mampu dari sudut kewangan, persediaan, kesihatan, kenderaan dan yang berkaitan dengannya.

Haji juga merupakan satu perhimpunan perdana umat Islam yang datang dari segenap pelosok dunia ke Makkah dengan satu tujuan, tidak lain adalah untuk menyatakan segala kekurangan dan kekerdilan di hadapan Allah Yang Maha Besar.

Justeru, sesungguhnya pelaksanaan segala rukun, wajib dan sunat haji adalah untuk menyatakan sikap kerdil tersebut, sekali gus untuk menggarap pengajaran, rahsia serta hikmah daripadanya.

Apabila seseorang Muslim yang berjaya menjalani ibadat haji dengan rukun-rukunnya dengan penuh keinsafan, sesungguhnya dia telah berjaya menjalani proses tarbiah yang sedia ada dalam ibadat tersebut.

Marilah kita singkap satu persatu daripada pelaksanaan rukun serta falsafah daripada ibadat haji tersebut yang mampu mendidik hati-hati manusia yang telah mati, sekali gus menjadikan umat Islam agung, hebat dan berwibawa dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka.

* Haji dan Ihram haji

Menzahirkan rasa persamaan di kalangan umat Islam dengan pemakaian pakaian ihram berwarna putih yang tidak berjahit, tidak ada yang merasakan dirinya sebagai ketua negara atau rakyat biasa, semuanya sama di hadapan Allah SWT, seolah-olah mereka sedang berada di padang Mahsyar menanti giliran untuk dihisab segala amalan.

Ia mendidik mereka akan kepentingan amalan serta bekalan untuk hari akhirat dan menyatakan bahawa mereka mengharapkan keampunan, rahmat serta kasih sayang Allah.

* Haji dan Talbiah (seruan di musim haji)

Lafaz Talbiah: Labbaikallahumma Laka Labbaik, Labbaikala Syarika Laka Labbaik, Innal Hamda Wan Nikmata Laka Wal Mulk, La Syarika Laka. Maksudnya: Aku penuhi panggilan-Mu Wahai Allah! Aku penuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan semua kerajaan adalah milik-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.

Ia merupakan satu seruan untuk disahut oleh setiap Muslim/Muslimah yang sedang mengerjakan haji, untuk menyatakan rasa takut dan mengharap segala amalan diterima di sisi-Nya, untuk menyatakan bahawa tidak ada satu kerajaan pun di dunia ini yang mampu menandingi kerajaan Allah di akhirat, iaitu kerajaan yang mendaulatkan Islam dengan pelaksanaan al-Quran sebagai hukum-hakam yang tertinggi dalam negara, kerana Dialah (Allah) adalah Raja segala kerajaan.

* Haji dan Tawaf

Tawaf merupakan tindakan pusingan mengelilingi Kaabah (rumah Allah) bersama-sama para Malaikat yang mengelilingi Rumah Allah, ia bukan hanya bermaksud mengelilinginya dengan hati, malah dengan roh, perasaan dan hati yang amat mengharapkan kasih sayang Allah, ia merupakan amalan Nabi Ibrahim a.s.yang disambung oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Para Malaikat mencatat segala amalan manusia yang sedang mengelilingi Kaabah dengan rasa rendah diri walaupun dia merupakan seorang Perdana Menteri, apa yang dicatat itu akan dibaca di hadapan Allah di akhirat dengan kitab sebalah kanan, iaitu golongan ahli Syurga.

* Haji dan Sa’i

Sa'i adalah rukun haji dan merupakan satu perbuatan bagi mengingati peristiwa Siti Hajar yang berulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah mencari air (Zam Zam) untuk dirinya sendiri dan anaknya Nabi Ismail a.s. Ketika itu dia telah ditinggalkan di situ oleh suaminya Nabi Ibrahim a.s.

Ia mengajar manusia erti kesabaran hingga diberikan Allah nikmat yang tidak terhingga iaitu dengan pancutan air Zam Zam yang merupakan makanan dan minuman utama buat Nabi Ismail a.s dan ibunya bagi kelangsungan amal ibadat yang difardukan Allah ke atas setiap Muslim.

Di sebalik tindakan berulang-alik antara kedua-dua bukit berkenaan, Allah mengajar kita agar bersikap rendah diri kepada-Nya, kerana Dialah yang menentukan segala-gala, sama ada yang baik atau pun buruk, pengharapan Siti hajar hanyalah kepada Allah yang memelihara segala-galanya.

* Haji dan Wukuf di Arafah

Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama daripada rukun-rukun haji itu. Itu adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Dari Abdul Rahman bin Ya'mur r.a. katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w menyuruh seorang penyeru menyerukan: "Haji itu ialah "Arafah". Barang siapa datang pada malam 10 Zulhijah, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah" (Riwayat - Ahmad dan Ashabus Sunan)

Ia untuk menyatakan seoalah-olah manusia sedang menghadapi satu perhimunan yang getir di padang Mahsyar, menantikan amalan dihisab, terutamanya ibadat solat yang merupakan amalan pertama yang akan disoal oleh Allah SWT.

* Haji dan Lontaran Tiga Jamrah

Ia merupakan ikutan kepada amalan Nabi Ibrahim a.s. yang mengisyaratkan bahawa lontaran itu simbolik kepada lontaran Syaitan dan Iblis yang banyak mengganggu manusia dalam melaksanakan amal ibadat. Justeru, manusia perlu belajar daripadanya agar sentiasa melawan Syaitan yang berusaha menyesatkan bangsa manusia seluruhnya.

* Haji dan Penyembelihan Korban

Ia juga pengajaran pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

Ini membuktikan bahawa dalam urusan agama perlu ada pengorbanan, sama ada masa, harta, idea, tenaga dan sebagainya bagi kesinambungan Islam, tanpa berkorban untuk agama, Islam tidak akan berada di puncak jaya seperti yang dilakukan oleh baginda Rasulullah, para Sahabat dan tokoh-tokoh Islam. - lanh _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons