1001 Kemusykilan Oleh Dr. Abdul Hayei Bin Abdul Sukor
(Akademik Pengajian Islam)
SOALAN:
Saya seorang isteri berumur 38 tahun mempunyai lima orang anak. Suami saya seorang lelaki yang panas baran. Kami selalu bergaduh dan bercerai beberapa kali.
Saya ingin bertanya:
Jatuhkah talak bila suami saya berkata, kalau engkau hendak, aku cerai. Saya jawab, teruskan, memang itu yang saya tunggu-tunggu.
Jatuhkah talak bila suami menceraikan saya ketika dia marah, kemudian setelah reda suami saya menyesal atas perkataan cerai yang dilafazkannya, lalu dia menarik balik perkataan itu.
Untuk makluman tuan, kami sudah tiga kali bercerai dan ini adalah yang ketiga. Ada orang menasihatkan, kami tidak boleh lagi kembali tinggal bersama sebagai suami isteri, kecuali dengan bercina buta. Harap ustaz berikan nasihat.
- TIJAH, Batu Caves, Kuala Lumpur.
JAWAPAN:
Perkahwinan pada dasarnya adalah perkongsian hidup antara seorang lelaki dan perempuan untuk merentasi suatu jarak perjalanan yang jauh. Biasanya sesebuah perkahwinan yang bahagia, diikat dengan kemesraan, kasih sayang dan tanggungjawab untuk melayari hidup bersama anak-anak, keluarga dalam suasana yang penuh riang dan bahagia.
Kadang-kadang kenderaan yang dipandu bagi menuju suatu destinasi itu tiba-tiba terhenti dalam perjalanan, disebabkan bekalan minyak yang tidak mencukupi atau seutas wayar kecilnya tidak bersambung. Suami sebagai pemandu kenderaan tidak harus membuang masa dengan gangguan kecil itu, isikan minyak jika kehabisan, sambungkan semula wayar yang terputus, kemudian teruskan perjalanan.
Al-Quran membayangkan uniknya ikatan perkahwinan menerusi firman-Nya yang bermaksud: Isteri kamu pakaian kamu, kamu pula pakaian mereka. – al-Baqarah: 187. Ungkapan ini tersembunyi di sebalik hubungan yang sangat rapat dan mesra antara suami isteri, iaitu bagaikan pakaian yang melekat pada badan, mengawal pemakainya daripada terdedah kepada bahaya sejuk dan panas, bahkan sekali gus menjadi hiasan antara satu sama lain.
Puan yang telah menjalani usia perkahwinan yang agak lama, sehingga dikurniakan lima orang anak, sepatutnya berpengalaman dengan rakan kongsi atau suami puan tidak mudah melatah dengan tindakannya yang cepat marah. Carilah jalan, bagi memulihkan suasana kedamaian bersama suami, anak dan keluarga. Memang cuaca tidak selalunya cerah. Tetapi hari tidak selama-lamanya mendung.
Kepada suami puan pula saya nasihatkan agar memahami tabiat isteri, dia adalah wanita yang pernah dinyatakan dalam sabda nabi: Wanita bagaikan tulang rusuk yang bengkok. Tulang ini mudah patah jika dipaksa untuk dibetulkan. Jika dibiarkan, nescaya terus dalam keadaannya yang bengkok. Maksudnya wanita mempunyai tabiatnya sendiri, seperti juga lelaki.
Saya amat simpati terhadap rumah tangga puan yang sering dilanda krisis, sehingga pergaduhan demi pergaduhan berlaku dan beberapa kali pula perceraian berlaku. Sepatutnya sekali bercerai sudah cukup sebagai pengajaran bagi kedua-dua pihak. Kasihanilah anak-anak yang masih kecil, mereka dahagakan kasih sayang dan perlindungan ibu dan bapa mereka secukupnya.
Puan sudah bercerai sebanyak tiga kali, kini dinasihatkan supaya bercina buta jika berhasrat untuk kembali semula menjadi isteri yang sah. Saya berpendapat, jalan ini bukan penyelesaian yang diharuskan oleh Islam. Jalan itu salah dan haram dilakukan. Dalam sebuah hadis menyatakan, Nabi s.a.w bersabda: Allah melaknat lelaki yang melakukan cina buta dan yang menyuruh orang supaya bercina buta baginya.
Dalam sebuah hadis yang lain pula, baginda menyamakan lelaki itu dengan bapa kambing pinjaman atau dalam bahasa Arabnya disebut al-tays al-musta’ar. Maksudnya suami daripada perkahwinan cina buta bukan suami yang sah dan harus di sisi Islam. Kerana niat hanya untuk menghalalkan semula kepada suami pertama.
Pengharaman cina buta ini disepakati ulama seperti Umar, Ali, Uthman, Ibn Abbas dan lain-lain. Menurut Ibn Abbas: Lelaki dan wanita berkenaan dianggap berzina, sekalipun mereka tinggal bersama selama 20 tahun kerana niat mereka untuk menghalalkan semula pernikahan kepada suami pertama, setelah bercerai sebanyak tiga kali.
Menjawab soalan kedua, sama ada gugur atau tidak talak yang dilafazkan dengan perkataan: Jika engkau hendak, aku ceraikan. Jawab isterinya: Memang itu yang aku tunggu-tunggu. Saya berpendapat, suami belum melafazkan lagi perkataan cerai dan tidak pula menyerah kepada isterinya kuasa menceraikan dirinya. Setakat ini, suami hanya menyatakan kesediaannya memberi cerai jika isterinya mahu, tetapi belum menjadi kenyataan lagi, sekalipun puan sedang menunggu.
Saya tidak mendapat maklumat yang jelas, bagaimana berlakunya perceraian puan sebelum ini. Sejauh yang dimaklumkan, suami puan seorang yang panas baran. Jika perceraian sebanyak tiga kali berlaku dalam suasana biasa, maka tidak diragui lagi tentang gugurnya talak dan puan tidak boleh lagi kembali menjadi isterinya yang sah, kecuali setelah puan berkahwin lelaki yang lain, kemudian bercerai melalui proses biasa, bukan cara bercina buta seperti yang disebutkan terdahulu.
Jika perceraian itu berlaku ketika suami puan dalam keadaan sangat marah, maka perceraian dalam suasana itu ada beberapa pandangan ulama, tentang sama ada gugur atau tidak talak. Ulama membincangkan perkara ini secara terperinci dan ada beberapa titik perbezaan pendapat yang perlu dihalusi.
Kita ikuti apa kata Ibn al-Qayyim tentang perceraian yang berlaku ketika suami sedang marah. Menurut beliau, marah ada tiga keadaan yang berbeza dan turut berbeza pada hukum bercerai ketika itu.
Pertama: Marah yang dapat dikawal perasaan dan fikiran sepenuhnya. Talak yang dilafazkan pada ketika ini dihukum jatuh dan tidak ada sebarang keraguan padanya lagi. Lebih-lebih lagi, jika talak itu dilafazkan setelah dia berfikir dengan matang dan membuat perkiraan daripada segala aspek, sekalipun pada ketika itu perasaan marahnya belum betul-betul reda.
Kedua: Marah yang sampai tahap seolah-olah hilang akal, kira-kira ia tidak lagi sedar apa yang diucapkan pada ketika itu. Talak yang dilafazkan pada ketika ini, disepakati ulama sebagai tidak gugur, kerana ia disamakan dengan orang gila yang hilang akal dan tidak lagi memikul beban taklif. Sehubungan orang gila, Nabi s.a.w. bersabda: Taklif diangkat daripada tiga kumpulan: Orang tidur sehingga jaga. Kanak-kanak sehingga usia baligh dan orang gila sehingga siuman.
Ketiga: Marah yang berada pada tahap antara tahap yang pertama dan kedua, marah pada tahap ini diperselisihkan ulama pada hukumnya. Bahagian ini perlu dilihat daripada aspek dalil serta mempertimbangkan suasana perceraian itu berlaku. Muslihat dan kepentingan anak-anak yang masih kecil juga seharusnya diambil kira.
Sebahagian ulama berpendapat gugur talak yang dilafazkan ketika suami yang sedang marah, kerana perasaan marah masih boleh dikawal oleh seseorang, malah orang marah tidak termasuk dalam senarai orang yang terkeluar daripada beban taklif.
Ada pun hadis Aishah yang membawa maksud: Tidak jatuh talak ketika ighlaq. Hadis ini dihukum daif kerana ada seorang rawi yang daif dalam sanadnya iaitu Muhammad Ibn Ubayd. Dengan itu, hadis tersebut tidak lagi berfungsi sebagai dalil yang menunjukkan tidak gugur talak yang dilafazkan oleh suami ketika dia sedang marah.
Sekumpulan ulama lain pula berpendapat, tidak gugur talak, berdasarkan dalil-dalik berikut:
1. Hadis riwayat Aisyah r.a. yang disebut terdahulu dan membawa maksud: Tidak gugur talak dan sah memerdekakan hamba ketika ighlaq (marah).
Hadis ini diriwayat oleh Ahmad 6/276, Abu Dawud, bilangan 2/193, Ibn Majah, bilangan 2/046 al-Hakim 2/198 dan lain-lain. Maksud ighlaq ialah terpaksa atau terkunci fikiran hingga hilang waras. Ahmad dan Abu Dawud menafsirkannya dengan marah. Ini menunjukkan talak pada ketika marah tidak gugur, kerana gangguan itu menghilangkan kewarasan fikiran.
Hadis ini walaupun dihukum daif oleh kumpulan pertama, atas alasan Muhammad Ibn Ubayd yang lemah, namun kelemahannya tidak disepakati. Ramai lagi ulama yang menganggapnya sebagai sahih dan tiada cacat seperti Ahmad dan Ibn Ma’in. Mereka menerima hadis ini dan mengambil keputusan hukum, sebagai tidak gugur talak suami dalam keadaannya yang sedang marah.
2. Dalam al-Quran menyebutkan ayat yang bermaksud: Allah tidak mengira salah kamu bersumpah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak dimaksudkan untuk bersumpah, tetapi ia mengira kamu bersalah dan mengenakan hukuman dengan sebab sumpah yang disengajakan oleh hati kamu. – al-Baqarah: 225. Ayat ini membezakan di antara sumpah yang sengaja dan tidak disengajai. Para ulama mengatakan talak sama hukumnya dengan sumpah. Jika dilafazkan dengan sengaja, nescaya gugur, sebaliknya jika tidak sengaja, nescaya tidak gugur.
3. Marah adalah suatu keadaan yang tidak waras, oleh tu keputusan yang dibuat ketika marah juga tidak melibatkan hukum. Dalam sebuah hadis yang membicarakan hakim yang menjatuh hukum ketika sedang marah, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Hakim hendaknya tidak menjatuhi hukuman ketika ia sedang marah.
Saya berpendapat, jika hakim dilarang membuat keputusan hukum ketika sedang marah, maka suami lebih patut lagi dilarang menceraikan isterinya pada ketika yang sama, kerana anak-anak nanti akan menjadi mangsa perceraian akibat bapa yang menghidap penyakit mental yang gagal mengawal perasaan.
Saya lebih cenderung kepada pendapat ulama yang menyatakan tidak jatuh talak ketika suami sangat marah atau ketika ia tidak dapat mengawal perasaan marahnya, kerana marah adalah suatu penyakit yang di luar pilihan seseorang. Kedudukannya bagaikan orang yang diserang penyakit gila yang tiada pilihan.
Namun marah yang dimaksudkan itu ialah yang terkeluar daripada tahap sederhana serta ada tanda-tanda menunjukkan ia tidak sengaja menceraikan isterinya seperti dia menyesal sungguh-sungguh atas perbuatan itu.