21 Oktober 2009

BUDAYA MENGHANCURKAN UMAT BERKEMBANG

Isu Islam Semasa Oleh Dr. Ismail Ibrahim

ISU-ISU pembangunan negara yang berkaitan dengan agama nampaknya banyak yang menggawatkan daripada menyenangkan dalam konteks masyarakat kita sekarang. Saya menyebut perkara ini terutamanya apabila banyak perbincangan dan polemik sering dilakukan di dalam Internet dan e-mel, atau surat-surat terbang yang tidak bernama, malahan melalui tabloid yang kurang bertanggungjawab terhadap kewibawaan ilmu pengetahuan Islam dan keunikan agama Islam itu sendiri.

Budaya destruktif dan menghancurkan sama sendiri nampaknya semakin bermaharajalela di kalangan masyarakat Islam. Budaya ini membawa kepada gejala yang tidak beradab dan tidak berbudi, kekasaran sesama sendiri dan tidak segan-silu pula membawa kepada maki hamun dan dendam kesumat melanda hati nurani masyarakat kita.

Dalam Internet saban hari dapat kita baca pendedahan-pendedahan yang dibuat tentang orang terkemuka dalam masyarakat, membawa kepada tohmahan dan gambaran-gambaran buruk tentang individu tertentu yang lebih banyak diasaskan pada khayalan dan fantasi, atau hanya dengan mendengar cakap-cakap orang lain yang diulang-ulang dan dihamburkan ke sana sini tanpa kepastian dan sandaran yang benar.

Masyarakat ini sudah merupakan masyarakat yang amat meruntuh dan merosakkan. Masyarakat yang memandang segala sesuatu yang telah tertegak itu sebagai satu mainan syaitan dan hantu, yang perlu dihancurkan sama sekali dari muka bumi ini, dan setiap orang yang berjaya, telah dianggap sebagai musuhnya haruslah dihapuskan juga dari muka bumi ini.

Amat menyedihkan inilah trend pemikiran dan tindakan yang sedang berlaku di dalam dunia Islam umumnya, iaitu kerana perselisihan pandangan dan pegangan ideologi, sama ada politik, perkauman, mazhab dan sebagainya, maka orang Islam sanggup berbunuhan dan bertumpah darah sesama sendiri untuk menegakkan benang basahnya.

Cuba lihat dan kaji apakah yang sedang berlaku dalam kebanyakan negara Islam pada hari ini? Apakah umat Islam sanggup mengorbankan pandangan atau ideologi individu atau kelompok tertentu untuk kepentingan keseluruhan umat dalam sesebuah negara? Atau seluruh kelompok dan golongan yang mendakwa akan menegakkan Islam itu akan bermati-matian mempertahankan kepentingan walaupun umatnya akan hancur lebur dan rosak binasa?

Umat Islam di negara kita sedang menghadapi saat-saat kemunduran dan keruntuhan, sama ada ekonomi, pendidikan, moral, kekeluargaan, kehidupan sosial dan sebagainya. Kita sedang menyorot ke belakang dengan amat pantas disebabkan oleh pertikaian dan perselisihan sama sendiri, yang kebanyakan isunya adalah kerana isu politik kepartian yang telah diserapkan menjadi isu keislaman.

Pandangan sejagat anak-anak muda atau world view mereka telah dikelirukan sebegitu rupa dengan pentafsiran negatif tentang pembangunan negara umpamanya. Pembangunan Putrajaya, Cyber Jaya, Menara Berkembar Petronas, membawa kepada pembangunan-pembangunan fizikal lainnya sering diulas sebagai pembangunan yang sia-sia dan tidak seiring dengan pembangunan keagamaan dan kerohanian.

Banyak tanda-tanda penyakit sosial atau moral yang berlaku dalam masyarakat ditonjolkan kononnya kerana kita terlalu banyak membangun dari sudut fizikal, tidak kerohanian dan keagamaan.

Sebaliknya, pembangunan pendidikan agama dan moral, pembangunan gedung-gedung ilmu pengetahuan, termasuk gedung-gedung pengajian Islam dari semua peringkat, juga pembangunan kelas-kelas fardu ain dan Quran, masjid dan surau, latihan guru, imam dan bilal, pembasmian kemiskinan, institusi sosial, ekonomi dan sebagainya tidak dipandang dengan adil dan jujur seperti pandangan yang diberikan terhadap pembangunan Putrajaya, Menara Kembar Petronas dan sebagainya itu.

Putrajaya dan Menara Kembar Petronas itu ditonjolkan sebagai model pembangunan yang tidak berfaedah, langsung dihubungkan dengan dasar pembangunan lainnya dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya yang semuanya dipandang sebagai simbol pembaziran dan tidak memberi manfaat kepada agama dan umat Islam.

Inilah modal yang dijaja ke sana ke mari, dipindahkan dari satu kepala manusia ke satu kepala manusia yang lain, yang disebarkan di antara kumpulan-kumpulan yang berpangkalan di seluruh negara, sehingga membawa ke pangkalan-pangkalan luar negara bahawa semua yang berada di dalam negara sekarang, daripada pemimpin hingga ke peringkat bawahan rakyat yang tidak Islamik ini adalah korup, tidak berguna dan menjadi hampas yang harus disapu ke dalam longkang.

Inilah kegawatan yang saya cuba rujukkan di atas, yang walaupun dilakukan oleh segelintir umat, tetapi kesannya amat hebat dan bahangnya amat panas sekali menjilat seluruh masyarakat kita. Pengaruhnya amat besar, terutamanya di kalangan generasi muda dan remaja atau kanak-kanak yang sedang mencari-cari identiti diri mereka, yang sedang meraba-raba mencari kebenaran setelah mereka mengalami sedikit kebebasan berfikir dan bertindak, setelah mereka merasa agak bebas daripada pergantungan kepada ibu bapa dan generasi tua dalam alam mereka.

Mereka telah berjumpa sesuatu yang agak berbeza daripada apa yang mereka terima selama ini, langsung itulah yang mereka pegang dan anuti, dan mereka pula menjadi ejen untuk menyebarkan perkara baru yang mereka temui itu, apa lagi penemuan baru itu datangnya daripada idola-idola mereka yang amat dikagumi dalam zaman kebangkitan Islam sekarang ini.

Saya mengharapkan semua orang Islam di negara kita sekarang melihat satu hakikat sahaja di kalangan kita dan bertanyakan diri sendiri dengan segera serta memberikan jawapan yang sejujur-jujurnya dan seikhlas-ikhlasnya, iaitu sejauh manakah kadar kekuatan kita sekarang ini dalam bidang ekonomi, pendidikan, moral, sosial dan politik?

Apakah keadaan kita dalam bidang-bidang tersebut semakin meningkat atau semakin tersurut ke belakang? Setelah mendapat jawapan tersebut cubalah periksa pula dengan secara serius apakah faktor yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku? Adakah kerana masalah pemikiran, world view, pendidikan, sikap dan sebagainya?

Satu perkara yang pasti, masalah atau krisis yang sedang kita hadapi itu tidaklah berpunca daripada agama. Ini kerana agama memerangi perpecahan, sikap yang sempit, pemikiran yang jahil dan pemikiran yang negatif, malah Islam adalah agama yang dinamik dan membangun. Jadi, kenapakah umat Islam amat kuat bertelagah dan amat destruktif? Amat kasar dan amat biadab? Cuba-cubalah carikan jawapannya.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons