14 Julai 2011
Contohi Keimanan Ashabul Ukhdud, Ashabul Kahfi dan Keluarga Yasir
Khamis, Julai 14, 2011
MASJID PUTRA PERDANA
karangan asal: Ustaz Zainudin Hashim
Persoalan akidah amat penting dalam kehidupan harian umat Islam walau di mana jua mereka berada. Kedudukan dan pangkat bukan menjadi ukuran, tetapi akidahlah menjadi teras untuk dilihat oleh Allah s.w.t.
Inilah yang membezakan antara golongan yang beriman dan kafir (menentang) Allah dan Rasul-Nya, tetapi apabila seseorang itu berjaya menguasai diri dengan nilai-nilai iman yang berkualiti di sisi Allah, pasti dia akan menjejaki kejayaan yang maksima.
Begitulah yang perlu ada kepada umat Islam hari ini, satu mekanisme atau contoh terbaik untuk tujuan itu, sejarah telah membuktikan bagaimana al-Quran, Sunnah Nabawiyah dan sirahnya yang berjaya mencungkil individu-individu atau kelompok manusia yang beriman hingga tahap yang cukup tinggi, hingga tidak takut kepada makhluk walaupun bertindak kejam terhadap mereka.
Ashabul Ukhdud (orang-orang yang dicampakkan dalam parit api yang bernyala-nyala), merupakan generasi manusia yang hanya beberapa saat menerima Islam sebagai pegangan hidup hingga ke akhir hayat, namun mereka diuji sama ada mahu meninggalkan agama Islam yang dipegangnya ataupun ingin selamat daripada seksaan dengan menyembah raja yang zalim.
Akhirnya mereka tetap memilih Islam yang bertuhankan Allah dan terus dicampakkan dalam parit, tidak kira orang tua, wanita, kanak-kanak, mahupun bayi yang baru dilahirkan.
Begitu juga sikap kental golongan Ashabul Kahfi, di mana kisah mereka dirakamkan Allah dalam surah Al-Kahfi, jelas mangajak seluruh umat Islam agar berakidah seperti mereka, yang hanya takut kepada Allah.
Ia merupakan satu kisah yang cukup menarik untuk dikongsi oleh segenap individu muslim hari ini, yang meletakkan Islam sebagai agama yang terbaik antara agama-agama yang ada di dunia.
Tidak kurang juga kisah penderitaan yang dialami oleh keluarga Yasir di zaman baginda Rasulullah s.a.w., isterinya Sumaiyah (wanita pertama syahid sebelum hijrah) dan anaknya, Ammar, di mana Yasir dan Sumaiyah hanya beberapa hari memeluk Islam di tangan anaknya di kalangan hamba sahaya, mereka diuji dengan pelbagai tindakan kezaliman yang dilakukan oleh pembesar-pembesar Quraisy bagi memastikan mereka meninggalkan agama Islam yang menjadi pilihan terakhir mereka.
Tapi apakah sebenar hubungan peristiwa berkenaan di atas dengan agenda umat Islam hari ini? Ia tidak lain, agar mereka menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama untuk melonjakkan diri menjadi insan-insan yang dinaikkan taraf di sisi Allah s.w.t.
Mengapa tidak, kalau kisah di atas menceritakan bagaiamana mereka yang hanya beberapa saat, hari menerima Islam tetapi tetap berpegang teguh tanpa rasa ragu dan goyah, bagaimana pula dengan kita hari ini.
Tanyalah diri sendiri, adakah kita baru seminggu memeluk agama Islam, atau baru sebulan, malah kebanyakan daripada kita berpuluh-puluh tahun menjadi orang Islam, tetapi mengapa masih ramai yang tidak percaya kepada undang-undang Islam dengan memilih fahaman-fahaman ciptaan manusia yang serba kekurangan dalam segenap hal.
Tidakkah kita rasa malu dengan menikmati keindahan bumi ciptaan Allah serta menghirup udara segar pemberian-Nya sedangkan kita tidak sama dengan mereka yang terdahulu daripada kita seperti yang telah ditegaskan di atas.
Marilah kita sama-sama menginsafi dan sering melakukan muhasabah diri sebelum kita dihisab di hadapan Allah di mahkamah-Nya pada hari Kiamat, di mana pada hari itu tidak ada naungan melainkan naungan Allah di waktu matahari yang panas terik berada hanya sejengkal di atas kepala, yang boleh menolong ita pada hari itu ialah Nabi Muhammad s.a.w itupun berdasarkan amalan, kepercayaan, pegangan yang betul kepada agama Islam.