12 Jun 2011

Tazkirah Jumaat: Tanggungjawab ahli gerakan Islam sedarkan ummah


Ustaz Zainudin Hashim

Kedatangan para anbiya di muka bumi ini adalah untuk melaksanakan segala perintah Allah SWT, sama ada yang berupa arahan/perintah-Nya, hukum-hakam yang termaktub dalam al-Quran di mana pada akhir-akhir ini ia hanya jadi bahan bacaan semata-mata tetapi tidak dilaksanakan.

Kesungguhan para anbiya melaksanakan segala titah perintah Allah walau menghadapi segenap bentuk tribulasi adalah menjadi lumrah dalam perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT, atau ia dikenali dengan istilah asam garam dalam berdakwah.

Tujuan dakwah adalah bagi memastikan agar ummah berada pada tahap penerimaan segala ajaran Islam sebaik mungkin, iaitu melaksanakan perintah Allah pada masa yang sama meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya bagi meraih sebenar-benar takwa kepada-Nya.

Kisah perjuangan para anbiya dalam menjalankan tugas sebagai para utusan daripada Allah diabadikan dalam al-Quran agar ia menjadi rujukan dan inspirasi kepada ummah hari ini untuk menjalankan tugas masing-masing sebagai golongan hamba Allah yang berhak meraih pahal sekali gus dijanjikan syurga Allah pada hari akhirat.

Ia diakhiri dengan Sirah Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul terakhir yang membawa kebenaran daripada Allah SWT menghadapi makhluk perosak yang sengan menghalang kemaraan kebenaran dengan pelbagai kaedah dan cara bagi memastikan ia tidak dapat sampai memasuki ruang hati-hati manusia ketika itu.

Sesungguhnya apa yang ditonjol dan ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. adalah satu sunnah dan tanggungjawab yang ditinggalkan kepada ummah ini seperti yang difirmankan oleh Allah menerusi ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Ayat di atas dengan jelas menuntut orang yang beriman menjalankan tugas dakwah dengan menyampaikan ajaran Islam kepada ummah khususnya umat Islam hari ini yang banyak disogokkan dengan unsur-unsur cara hidup yang negatif hingga terdapat di kalangan mereka yang masih belum mengenal Islam dengan baik seperti yang dikehendaki oleh Islam.

Sirah Rasulullah menjadi pegangan dan rujukan kepada golongan pendakwah/dai'e kerana ia adalah sumber pelaksanaan Islam secara praktikal, ia terbukti bagaimana baginda Rasulullah s.a.w. mempraktikkan Islam dalam bentuk pentadbiran sebuah negara Islam di kota Madinah, begitu juga dengan hal-hal yang lain seperti aspek kejiranan, kemasyarakatan, perekonomian, politik dan lain-lain, kesemuanya dibuktikan secara praktikal.

Pada masa yang sama, kerja-kerja dakwah tidak terlepas daripada menerima segala macam ujian bagi mematangkan tahap emosi, tekanan diri, tidak mudah berputus asa, bersedia menerima tohmahan yang direka-reka oleh mereka yang tidak senang dengan Islam walaupun ia datang daripada mereka yang bernama Islam.

Menurut Ustaz Mustafa Masyhur dalam risalahnya bertajuk 'Zad ad-Du'ah' / 'Bekalan para pendakwah' ada menegaskan, bahawa mana-mana individu yang mewarisi kerja-kerja dakwah seperti yang ditampilkan oleh baginda Rasulullah mesti melalui ujian sama ada dilabelkan dengan pemecah belah masyarakat, pengganas dan lain-lain, ia tidak lebih daripada menguji tahap kecergasan minda dan sanubari dan mematangkan kesungguhan untuk terus berdakwah.

Apa yang disebut oleh Ustaz Mustafa ada kebenarannya, kerana untuk meraih syurga Allah SWT bukanlah satu perkara yang mudah, ia terpaksa dilalui dengan ujian yang pernah disabdakan oleh baginda Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: "Golongan paling dahsyat menerima ujian Allah adalah para anbiya dan kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama/pendakwah)."

Keadaan ummah hari ini

Apa yang dapat disaksikan pada hari ini ialah, keadaan ummah hari boleh disifatkan sebagai separuh tenat, khususnya dari sudut kefahaman mengenai agama Islam itu sendiri. Terdapat masih ramai lagi ummah yang tidak mengenal Islam pada bentuk yang sepatutnya mereka perlu tahu.

Persoalan majlis perkahwinan yang masih kabur pelaksanaannya, hubungan ipar duai dari sudut aurat dan adab, penglibatan dalam aspek sukan, hiburan melampau dan banyak lagi yang memperlihatkan kecetekan cara berfikir mereka lantaran tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu agama. Pada masa sama mereka jadi juara dalam mengendalikan program-program hiburan dengan pengendalian yang cukup mantap, tetapi ia berlaku pada urusan yang bersifat keagamaan.

Remaja-remaja perempuan yang mendedahkan aurat begitu berleluasa khususnya di kalangan anak-anak orang Islam. Ia bagaikan mereka seolah-olah tidak mempunyai kedua ibu bapa yang sepatutnya menasihati mereka, membonceng motosikal dengan penunggang lelaki ke hulu dan ke hilir tanpa matlamat hidup yang jelas.

Justeru, bagi ahli-ahli gerakan Islam, ia merupakan satu tugas besar serta tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Kerahan tenaga perlu digiat dan dilipat-gandakan bagi menyelamat mereka yang telah tersasar matlamat hidup mereka yang sebenar, kelas-kelas fardu ain perlu juga digandakan peranannya dan mencari kaedah bagaimana ummah/masyarakat berminat untuk datang mendengar kuliah, ceramah, forum dan sebagainya dengan menggunakan bahan teknologi terkini bagi menarik perhatian mereka.

Jika tugas dakwah tidak disampaikan, dikhuatiri ummah akan hanyut dalam arus kebendaan yang menjanjikan seribu pembohongan untuk berjaya, kerana kejayaan sebenar adalah menyampaikan 'amar makruf nahi mungkar' seperti dijelaskan dalam ayat di atas.

Sahutlah para pendakwah daripada kalangan ahli gerakan Islam, seruan Allah menerusi ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Kita tidak akan mencapai status ummah yang baik melainkan dengan menjalankan tugas menyelamatkan manusia melalui program amar makruf nahi mungkar, kerana ia adalah program yang diperakui oleh Allah berbekalkan pengetahuan mendalam mengenai ilmu-ilmu alat seperti Sirah, ulum al-Quran, fiqh, akidah, mantiq, tafsir, hadis dan lain-lain.

Para pendakwah berusaha untuk merintis jalan mempelbagaikan teknik dakwah yang mudah sampai kepada golongan sasaran yang akhirnya meyakinkan mereka bahawa Islam adalah agama yang memimpin manusia ke jalan kebenaran untuk mendapatkan rahmat Allah sekali gus disediakan bagi mereka tempat yang kekal abadi di dalam syurga. - lanh _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons