13 Jun 2011

Mujahid: PAS bantu taklimat pemilihan masjid Pulau Pinang


KUALA LUMPUR, 13 Jun — PAS Pulau Pinang akan membantu kerajaan negeri memastikan taklimat yang tepat dan betul kepada akar umbi mengikut semangat yang ada dalam Tatacara Pemilihan Qariah sebelum tarikh pemilihan yang akan berlangsung 18 Jun ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, PAS sedaya upaya menggerakkan aktiviti penerangan itu kepada 200 masjid yang ada di negeri itu supaya qariah lebih memahami kaedah baru yang menjurus kepada matlamat menyelamatkan institusi masjid daripada kongkongan politik pihak tertentu.

“PAS Pulau Pinang kesal terhadap Umno yang secara tidak bertanggungjawab menimbulkan pelbagai provokasi dan sekali gus menggugat proses kerajaan negeri untuk menyatukan umat Islam melalui pemilihan jawatankuasa masjid yang lebih telus,” kata beliau dipetik Harakah Online.

Mujahid berkata, PAS akan membantu memberikan taklimat ke akar umbi supaya umat Islam tidak keliru dengan dakyah jahat.

Katanya, bagi menghilangkan pengaruh politik kepartian, maka kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengikuti pendekatan yang dipakai sebelumnya kerana ia tidak telus, banyak masjid tidak mengadakan mesyuarat agung, tiada laporan aktiviti, kunci kira-kira dan tiada notis pemberitahuan kepada qariah tentang pemilihan jawatankuasa qariah baru.

Akibatnya, kata beliau, masjid menjadi lesu dan tidak bermaya maka kerajaan negeri Pakatan Rakyat berhasrat melibatkan ahli qariah dalam menentukan perjalanan dan pengurusan masjid di Pulau Pinang.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu berkata, ia dibuat dengan telus apabila notis dibuat awal dan pengisytiharan calon untuk jawatan pengerusi sehingga pemeriksa kira-kira seramai 15 orang.

Kata beliau, walaupun baru mendapat peluang menentukan jawatankuasa qariah, kerajaan negeri Pakatan Rakyat cuba untuk membuat perubaan sedikit demi sedikit untuk mengimbangi keperluan mengikut peruntukan Jawatankuasa Qariah dan Pegawai Masjid Negeri (Pindaan 2003).

“Kenapa Umno cuba kaitkan perkara yang tidak releven seperti mengatakan DAP campur tangan terhadap pemilihan jawatankuasa sedangkan ia mengikut saluran betul mengikut kaedah jawatankuasa qariah dan Pegawai Masjid Masjid Negeri Pindaan 2003.

“Lagipun semuanya melalui peruntukan yang ada dalam enakmen pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang Seksyen 104 (10)(b), “ katanya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons