23 Jun 2011

KONSEP KEPIMPINAN DALAM ISLAM


Ustaz Zainudin Hashim

Tazkirah Jumaat | Aspek kepimpinan dalam Islam merupakan satu pendekatan bagi merealisasikan segala tuntutan Allah SWT yang termaktub dalam al-Quran dan ajaran baginda Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam hadis atau sunnahnya.Pelaksanaan kepimpinan menurut tuntutan al-Quran dan ajaran Sunnah baginda Rasulullah s.a.w disifatkan sebagai antara perkara utama yang mesti dilakukan oleh setiap insan bernama muslim, kerana tanpanya segala tuntutan kedua-dua sumber syariat itu tidak akan terlaksana dengan sempurna.

Sehubungan itu, baginda Rasulullah ada menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud daripada Abu Said dan Abu Hurairah : “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah mereka memilih salah seorang menjadi ketua (pemimpin).” Hadis riwayat Abu Daud dengan sanadnya yang Hasan.

Jelas daripada apa yang ditegaskan dalam hadis di atas, menunjukkan kalau orang Islam yang berada dalam keadaan musafir pun perlu memilih ketua bagi menghalakan perjalanan yang betul dan diredai Allah, apatah lagi mereka berada dalam keadaan bermukim dalam satu negara, daerah atau kawasan, sudah tentu memilih ketua (pemimpin) itu adalah menjadi lebih wajib bagi menentukan hala tuju rakyat dengan pelaksanaan hukum-hukum syariat Islam.

Ia tidak lain adalah untuk menjalankan segala amanah Allah seperti undang-undang Hudud, Qisas dan Ta’zir yang tersedia ada dalam al-Quran, kerana matlamat utama penciptaan manusia di muka bumi ini adalah menjalankan amanah tersebut.

Allah SWT menegaskan perkara ini menerusi ayat 72 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah(tugas atau urusan keagamaan) kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, akhirnya ia dipikul oleh (makhluk yang bernama) manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi amat bodoh.”

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, baginda Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika amanah (urusan dan tugas keagamaan itu) hilang (kerana tidak dilaksanakan), maka tunggulah akan berlakunya kiamat, salah seorang sahabat bertanya – Bagaimana amanah itu boleh hilang (kerana tidak dilaksanakan)? Rasulullah menegaskan: “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan berlakunya kiamat.” Hadis riwayat Imam Bukhari dengan sanad yang sohih.

Apabila terdapat pemimpin umat Islam yang dipilih oleh rakyat, mengabaikan tanggungjawab serta tugas untuk mendaulatkan Syariat dan hukum-hukum Allah dengan mengenengahkan peraturan ciptaan manusia seperti Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya, maka umat seluruhnya terseret kepada satu hala tuju hidup yang tidak berpaksikan kebenaran Islam yang akhirnya mengundang mereka kepada satu keadaan yang hina di sisi Allah SWT.

Justeru, tidak ada alasan kepada manusia muslim untuk tidak menjalankan amanah tersebut, kerana di atas pundak merekalah Allah menyerahkan tugas pelaksanaan urusan keagamaan, keengganan mereka untuk berbuat demikian akan menerima akibat yang buruk pada hari Kiamat, ini kerana Allah SWT telah membekalkan kepada mereka rujukan utama iaitu al-Quran yang menjadi mukjizat hingga berlakunya hari pembalasan.

Negara terbentuk dengan acuan yang disediakan para pemimpin

Apabila terdapat pemimpin yang cenderung kepada pendekatan fahaman selain Islam seperti yang dijelaskan di atas, maka mereka berusaha untuk menjadikan rakyatnya juga pengikut setia kepada pendekatan fahaman mereka walaupun ia tersasar jauh daripada kebenaran Islam.

Ia dapat dilihat jika pemimpin yang mentadbir negara merupakan pengamal kuat kepada fahaman Sekularisme yang memisahkan antara agama dan negara, maka mereka akan berusaha untuk mencorak dan menjadikan negara yang ditadbir itu beraliran fahaman tersebut, jika ia Sekularisme, maka akan disekularkan semua termasuk segala perancangan bagi membangun negara, tidak kurang juga rakyat dipalitkan sama agar percaya, menganut dan berpegang teguh kepada Sekularisme.

Perlu dinukilkan penjelasan di sini, berhubung satu riwayat yang dipetik oleh Imam at-Tabari dalam kitabnya ‘Tarikh at-Tabari’, kata-kata yang dipetik daripada salah seorang Nabi yang berbunyi : Pegangan agama rakyat (orang ramai) bergantung kepada pegangan para pemimpin mereka.

Selanjutnya Imam at-Tabari membuat perbandingan perbezaan pentadbiran negara yang pernah berlangsung di zaman pemerintahan Umawiyah, iaitu dari khalifah yang keenam al-Walid Bin Abdul Malik, khalifah yang ketujuh, Sulaiman Bin Abdul Malik dan khalifah yang kelapan iaitu Saidina Omar bin Abdul Aziz.

Ia menggambarkan bagaimana terdapat perbezaan yang ketara di antara corak pemerintahan ketiga-tiga khalifah di atas, di zaman khalifah al-Walid, beliau amat menitik-beratkan persoalan pembangunan kebendaan, maka rakyatnya turut terpalit dengan banyak bertanya dan bercakap tentang pembangunan, apabila tampuk pemerintahan beralih tangan kepada khalifah Sulaiman, beliau lebih suka memperkata soal keseronokan dan makan minum, maka rakyatnya diheret sama memperkata tentang keseronokan apabila bertemu di antara sama lain.

Berbeza dengan saidina Omar Bin Abdul Aziz, beliau mempunyai agenda serta wawasan yang tidak serupa dengan khalifah-khalifah sebelumnya yang kurang bercakap tentang aspek keagamaan, beliau amat menitik-beratkan persoalan agama dari segenap sudut, hingga rakyat yang dipimpinnya saling bertanya antara satu sama lain mengenai tentang Islam, al-Quran, penghafalan hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w, ibadat fardu dan sunat dan sebagainya.

Beliau turut terpanggil untuk menyeru para pemimpin dari pelbagai bangsa di dunia untuk menerima islam dengan baik, kerana beliau merasakan ia adalah menjadi tanggungjawabnya yang akan ditanya di hadapan Allah SWT.

Bagaimana pula dengan para pemimpin negara, yang kita sama-sama dapat saksikan saban hari dengan pelbagai tindakan yang mungkin menyebabkan ramai di kalangan penganut agama lain tidak berminat untuk berjinak apatah lagi memeluk Islam?

Tidakkah mereka merasa berdosa dengan tidak menunjukkan contoh teladan yang pernah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w agar ramai di kalangan rakyat negara ini menerima Islam dengan baik?

Apakah mereka masih mahu mengekalkan pangkat dan jawatan, sedangkan apa yang mereka lakukan itu tidak menepati Sirah Rasulullah s.a.w?

Persoalan pemimpin wanita yang tidak bertudung kepala (hijab) dianggap kecil dosanya, para menteri yang terlibat dengan mengaut kekayaan sepanjang bergelar menteri, penglibatan meluluskan premis-premis judi yang keterlaluan, amalan rasuah atau politik wang, jatuh menjatuh antara satu sama lain menjadi perkara biasa, sedangkan perkara itu mempunyai impak yang besar kepada rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan pegangan agama.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons