04 Mac 2011

Bencana sebagai balasan daripada Allah


Oleh : Datuk Abu Hassan Din Al Hafiz.

Apabila tiba musim hujan, langit akan mencurahkan airnya. Air pun mula melimpah di sana sini. Sehingga mengakibatkan banjir di tempat-tempat tertentu. Apabila musim kemarau melanda, bumi pun menjadi kering kontang.

Di sebalik kejadian yang dianggap lumrah oleh manusia ini, ada satu persoalan yang perlu difikirkan bersama. Mengapakah apabila tiba musim hujan, langit mencurahkan airnya tanpa henti-henti sehingga berlaku banjir besar yang memusnahkan segala-galanya. Akibatnya juga manusia yang tidak berdosa pun menjadi mangsa dan binatang ternakan turut mati.

Mengapakah juga musim kemarau yang berlaku berlarutan hingga segala parit dan anak sungai menjadi kering? Sementara itu langit langsung tidak menurunkan airnya dalam masa yang agak lama, panas membakar hingga tanaman dan tumbuhan di dunia musnah. Akibatnya manusia hidup dalam kehausan dan terseksa.


Pernahkah kita terfikir mengapakah apabila berlaku musim hujan di sana sini pada waktu yang sama ada kawasan yang kering kontang tanpa hujan? Orang ramai di kawasan itu pula hidup dalam kehausan kerana kemarau panjang terjadi secara tiba-tiba. Apakah ini juga dianggap sebagai lumrah?

Sebenarnya apabila banjir sudah sampai kepada had bahaya atau kemarau pula berlarutan sehingga bumi menjadi kering kontang, atau terjadinya kemarau di musim hujan maka hal ini tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara biasa. Hal ini adalah musibah, bala bencana dan keburukan, lebih-lebih lagi apabila sampai tahap merosakkan dan memusnahkan jiwa dan harta benda.

Bala atau bencana yang sering menimpa manusia sebenarnya adalah balasan daripada Allah S.W.T terhadap kesalahan yang dilakukan oleh manusia. Bala ialah balasan di dunia sebelum manusia menerima balasan di akhirat.

Di dalam surah Asy Syura ayat 30, Allah berfirman yang membawa maksud;

“Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (akibat perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa kamu.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa segala bala yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh dosa-dosa manusia. Sekiranya Allah itu tidak mempunyai sifat pemurah dan penyayang, sudah pasti setiap dosa yang dilakukan oleh anak Adam akan ditimpa bala dan musibah yang tidak putus-putus. Tetapi kerana Allah itu bersifat Maha Pengasih lagi Maha Pengampun maka banyak dosa-dosa manusia diampunkanNya tanpa dibalas dengan bala.

Setiap bala yang diturunkan dan setiap musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh dosa dan kesalahan manusia itu sendiri. Apabila Allah menurunkan balaNya, bala ini bukan sahaja menimpa mereka yang bersalah dan berdosa sahaja tetapi menimpa keseluruhan manusia. Hal ini dijanjikan oleh Allah seperti firmanNya dalam surah Al Anfal ayat 25 yang bermaksud:

“Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dan (yang membawa bala dan bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah maha berat azab seksaNya.”

Oleh itu apabila berlaku kemarau dan seumpamanya, Islam menganjurkan supaya manusia memperbanyakkan istighfar dan meminta ampun kepada Allah, berhenti dari melakukan dosa dan kesalahan, setelah itu barulah boleh memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan.

Dalam surah Hud ayat 52, Allah berfirman yang bermaksud;

“Dan wahai kaumku, mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang tersedia ada, dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa.”

Di dalam surah Nuh ayat 10 dan 11 Allah berfirman yang bermaksud;

“sehingga aku berkata (kepada mereka) pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya ia adalah maha pengampun (sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat yang mencurah-curah kepada kamu.

Di dalam dua ayat ini, dikaitkan soal beristighfar kepada Allah dan meminta ampun di atas segala dosa dan kesalahan. Setelah itu barulah Allah menurunkan hujan dari langit. Hal ini menunjukkkan seolah-olah langit ditahan daripada menurunkan airnya kerana dosa manusia yang terlalu banyak iaitu dosa meninggalkan apa yang disuruh atau melakukan apa yang dilarang.

Di dalam sebuah hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a yang bermaksud;

“Berkata Abdullah bin Umar, ketika saya bersama sepuluh sahabat daripada Muhajirin di sisi Rasulullah S.A.W tiba-tiba rasulullah S.A.W berpaling kepada kami lalu baginda bersabda, menegah suatu kaum daripada mengeluarkan zakat harta mereka, bererti mereka menegah langit daripada menurunkan hujannya, kalau lah tidak kerana binatang (yang tidak berdosa yang hidup melata di bumi) tentu hujan tidak akan turun ( sehinggalah mereka mengeluarkan zakat harta mereka).”

Oleh yang demikian sebagai peringatan kepada kita, jangan lah banyak melakukan dosa dan kesalahan andainya kita tidak mahu ditimpa bala bencana. Oleh kerana kita juga terlibat dengan bala bencana hasil daripada dosa dan kesalahan orang lain, maka adalah baik kita juga beristighfar meminta ampun kepada Allah. Kalaupun tidak dihilangkan terus bala itu, kita sekurang-kurangnya terhindar daripada keburukannya.

Dipetik dari Dewan Siswa – April 1991

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons