26 Februari 2011

Berapa Lama Masa Diambil Syaitan Untuk Merosakkan Amalan Manusia?


Imam Nawawi rhohimahullahi ta'ala ada mencatatkan dalam kitab Bustanul 'Arifin (Taman Orang-orang Yang 'Arifin Beliau) satu perkara berkaitan usaha syaitan untuk merosakkan 'amalan manusia biarpun masa yang diambil adalah tidak singkat. Berikut ialah catatannya:

Berkata Syeikh Ahmad bin Abi al-Huwara di dalam kitab Zuhud: Aku telah mendengar sebahagian daripada sahabat kami, kalau tidak salah dia ialah Abu Sulaiman ad-Darani rhadhiyallahu 'anhu berkata:


Sesungguhnya bagi iblis itu ada seorang syaitan yang bertugas untuk merosakkan amalan seorang ahli 'ibadat yang mungkin mengambil masa 20 tahun lamanya. Tugasnya adalah menggoda ahli itu sehingga ia bercerita kepada orang lain yang ia melakukan sesuatu amalan dalam rahsianya. Maka syaitan ini akan merasa puas hati kalau boleh ia menjadikan pahala ahli 'ibadat itu menurun daripada tingkatan sirr (rahsia) kepada tingkatan jahr (nyata).

Catatan penulis blog ini:

Tahap kedudukan syaitan yang datang menyerang dan menghasut manusia adalah bersesuaian dengan tahap iman dan amalan manusia tersebut. Jika manusia yang digoda itu ialah seorang 'alim dan kuat imannya, maka syaitan yang ditugaskan untuk menghasutnya bertahap "jeneral" / pegawai atasan.

Bagi manusia yang lemah imannya, cukup sahaja jika sebiji bola digunakan untuk memperdayakan mereka. Sebagai contoh, manusia seramai satu stadium meninggalkan solat wajib kerana semata-mata untuk menyaksikan perlawanan bola sepak tersebut.

(Penulis merujuk kepada contoh yang diberikan Tuan Guru Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki hafizahullah)

Mudah-mudahan kita semuanya dipelihara Allah daripada segala tipu daya syaitan.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons