06 Oktober 2010

Selangor Telus: Dialog Dengan Mahasiswa


Sebagai golongan intelektual yang bakal menjadi pewaris generasi mendatang, siswa sering diperkatakan. Anihnya, walaupun mereka sudah cukup matang, mereka tidak diberi ruang dan peluang yang sewajarnya. Mereka disekat dan dikenakan syarat. Pada ketika tertentu mereka digula-gulakan bahawa siswa sepatutnya diberi kebebasan berpolitik dan dalam masa yang lain mereka dilarang dari terlibat dalam politik. Mereka diintip dan ditangkap jika terlibat. Mereka digantung dari pengajian dan yang lebih serius boleh dibuang dari pengajian. Mereka diacah dengan kebebasan, tetapi sebenarnya terikat dengan AUKU. Mereka berdepan dengan amalan `double standard`. Bagi pelajar luar Negara boleh berpolitik, bahkan boleh menubuhkan Kelab Umno, tetapi tidak boleh terlibat dalam politik bagi pelajar dalam Negara.


Kerajaan negeri Selangor cuba membawa perubahan dan ketelusan dengan siswa dari universiti-universiti dan pengajian tinggi di Negara ini, khususnya bagi pelajar-pelajar dari Selangor, lantaran itu pada malam 1 Oktober Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan mengadakan Dialog Mahasiswa Mengenai Pentadbiran Negeri Selangor Sempena Sambutan Idul Fitri bertempat di Dewan Annex, Tingkat Dua Bangunan Dewan Negeri Selangor mulai jam 5.00 petang hingga 10.00 malam.

Walau bagaimana kehadiran yang pada asalnya mendapat pengakuan untuk hadir seramai 120 orang, tetapi yang hadir sebenarnya hanya seramai 74 orang sahaja. Berbagai alasan dikemukakan antaranya ada peperiksaan, universiti bercuti dan yang lebih mengejutkan jawapan dari pentadbir universiti. Siswa perlu membuat permohonan dan mendapat keizinan dari Kementerian Pengajian Tinggi terlebih dahulu. Rupanya mahasiswa diperlakukan sebagai anak-anak Sekolah menengah. Kalau demikian tidak perlulah dibicarakan soal hak mahasiswa, kebebasan berpolitik, autonomi dan soal AUKU. Mereka masih dilayan sebagai anak-anak Sekolah menengah. 74 yang hadir adalah dari Unisel, Universiti Malaya, Inspen, Master Skill, Madinah University, MSU, Universiti Multi Media. Teramai daripada mereka ialah dari Unisel. Beberapa pengajian tinggi di bawah kerajaan negeri Selangor sendiri nampaknya tidak hadir.

Sebelum dialog dibuka Dr. Halimah Ali selaku Exco Penganjur menerangkan tentang pendemokrasian (merakyatkan) Ilmu dan Ekonomi Negeri Selangor yang maklumat tidak banyak sampai kepada siswa oleh kerana terbatasnya saluran maklumat kerajaan negeri dan mendapat sekatan dari media perdana yang menyokong kerajaan pusat dan menyekat maklumat dari kerajaan negeri. Pendemokrasian Ilmu ialah seperti Hadiah Masuk Universiti, Tabung Warisan Anak Selangor, Pinjaman Tanpa Faedah, Bantuan Anak-Anak Pekerja Ladang, Bantuan Pelajar Miskin, Kelas Tuisyen Percuma dan Bantuan Sekolah-Sekolah Rakyat.. Manakala Pendemokrasian Ekonomi ialah Konsep Memasyarakatkan Ekonomi Selangor (MES) dan Kebajikan, seperti Air Percuma yang digunakan di bawah 20 cubic meter sebulan, Skim Warga Mas,, Hasil Batuan Untuk Rakyat, Pusat Krisis Sehenti dan Bantuan Pekerja Ladang.

Semasa dialog, ada antara siswa yang masih takut dan tidak berani menyatakan nama dan dari institusi yang mereka datang, walaupun sebahagian besar menyebutkan nama. Mereka menimbulkan persoalan seperti masalah remaja, cadangan guru al-Qur`an di Selangor dibayar elaun, gesa Unisel memperbaiki pentadbiran dan komunikasi, mau diberi perhatian tentang khidmat Masyarakat (OPKIM), masalah pentadbiran Air Selangor, mengapa kegiatan selalu dilakukan di UNISEL dan KUIS (kerana ini milik negeri), Universiti Multi Media tidak mempunyai masjid, masalah sosial pelajar di UNISEL, persoalan sekatan PPTN, Yayasan Selangor, JKKK dan JKKKP mengelirukan pentadbiran, masalah elaun guru Kafa, soal penubuhan Cawangan Universiti Madinah di Selangor dan AUKU. Walaupun apa yang ditimbulkan oleh para siswa tidaklah merupakan soal-soal yang berat-berat, mereka mendapat saluran melahirkan isi hati mereka dan mengharapkan perhatian dari pihak yang berkuasa.

Dialog seperti ini memberi faedah kepada para siswa dan juga pihak Kerajaan Negeri. Cuma pendekatan harus dibuat secara lebih teratur, berkertaskerja dan mempunyai topic-topik terpilih dan dibentang oleh perwakilan-perwakilan pelajar. Dialog janganlah berakhir begitu saja, tetapi keputusan diambil tindakan dan memberi kepuasan bagi semua pihak.

Sekian.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons