17 September 2010

Tepati janji dan persoalaannya dalam Islam


Ustaz Zainudin Hashim

Islam telah mengajar penganutnya agar sentiasa memperlihatkan kematangan dalam segenap tindak-tanduk, ini termasuk cara penampilan diri, cara bermuamalah, berpendidikan, berkeluarga, berpolitik, berekonomi, berjiran, bersahabat, tidak kurang juga pengamalan kepada akhlak-akhlak terpuji seperti menepati janji.

Ini kerana orang yang memungkiri janji termasuk dalam katogeri manusia yang dilabelkan sebagai talam dua muka, tindakan itu dilarang keras oleh baginda Rasulullah s.a.w., justeru mereka yang terbabit dalam kategori ini jelas disebut sebagai golongan munafik, wal 'iyazu billah.


Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: Empat ciri jika seorang Muslim itu memilikinya, maka dia menjadi seorang munafik tegar melainkan selepas itu dia meninggalkannya: "Jika diberikan sesuatu amanah dia cabulinya, jika dia bercakap dia berdusta, jika dia berjanji dia memungkirinya dan jika dia bertelingkah dia celupar."

Jelas daripada apa yang ditegaskan Nabi melalui hadis tersebut di atas, membayangkan kepada kita betapa memungkiri janji adalah satu perbuatan negatif yang melayakkan seseorang Muslim itu digelar munafik, apa yang membimbangkan kita ialah golongan munafik ditempatkan Allah di bawah sekali dalam api neraka, tempat yang paling dekat dengan api yang membakar.

Sesungguhnya apabila seseorang Muslim itu mampu menunaikan sesuatu janji terhadap saudara Muslimnya yang lain, maka sebenarnya dia telah melakukan satu tuntutan agama yang amat besar dalam hidupnya, malah dia berhak mendapat naungan daripada Allah dalam segenap aktiviti kehidupan hariannya sebagai Muslim yang baik.

Bagi membuktikan kesahihan kenyataan di atas, berikut disebut satu kisah benar berhubung nilai seseorang Muslim yang berusaha untuk menunaikan janjinya seperti yang disebut oleh Syeikh Taha Abdullah al-'Afifi dalam kitabnya 'Wasiat-wasiat Rasulullah':

Terdapat seorang lelaki beriman pada zaman silam yang amat memerlukan wang untuk berbelanja dan mahu meminjam sejumlah wang daripada orang lain, namun si pemiutang tidak dapat membawa seorang saksi dalam urusan peminjaman wang. Walau bagaimanapun pemberi hutang itu reda dan sedia untuk memberikan sejumlah wang yang diminta dan berkata bahawa cukuplah Allah sebagai saksi.

Dengan niat yang baik kerana Allah, pemiutang berjanji pada dirinya sendiri akan membayar hutang-hutangnya bila ada wang yang mencukupi untuk berbuat demikian, niat baiknya itu dibantu Allah dan memperkasa dirinya untuk sedia membayar.

Dengan niat baik untuk membayar, maka Allah SWT memudahkan urusannya berbuat demikian, satu hari dia bertekad untuk bertemu dengan pemberi hutang bagi melunaskan segala hutangnya, tiba-tiba takdir Allah mengatasi segala-segalanya, jambatan yang menghubungkan dua kampung dan memisahkan antara pemiutang dan pemberi hutang roboh akibat banjir besar, kerana takut jika dia (pemiutang) tidak menunaikan janji, maka dia telah meletakkan sejumlah wang yang dipinjam dahulu dalam sebatang kayu berlubang dan tertulis padanya daripada pemiutang kepada pemberi hutang, kayu itu pun dihanyutkan ke dalam sungai dan dia terus berdoa semoga hutang-hutang yang dilunaskannya diselamatkan Allah.

Kehendak Allah mengatasi segala-segalanya apabila pemberi hutang yang jarang turun ke sungai tiba-tiba muncul di situ dan mendapati ada sebatang kayu yang dihanyutkan tertulis namanya daripada pemiutang, beliau bersyukur kepada Allah atas pertolongan-Nya.

Walau bagaimanapun pemiutang masih dibelenggu keadaan sugul sama ada hutangnya sampai ataupun tidak, setelah jambatan itu dibaiki, pemberi hutang terus mencari pemiutang di kampung bersebelahan bagi mengkhabarkan berita baik itu, masing-masing gembira dan bersyukur kepada Allah kerana niat baik untuk menunaikan janji dikabulkan Allah.

Daripada kisah benar di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menepati janji itu boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian:

1-Menunaikan janji terhadap Allah

Ia lebih kepada janji seorang muslim itu untuk melaksanakan segala hukum Allah dalam al-Quran seperti hukum-hukum hudud, qisas, mendirikan solat, puasa, zakat, haji agar tidak dilabelkan Allah sebagai orang munafik.

2- Menunaikan janji terhadap Rasulullah

Iaitu berjanji untuk mengikut segala tunjuk ajar baginda, menghidupkan sunnah-sunnahnya bagi meraih tempat terbaik di sisi Nabi pada hari kiamat.

3- Menunaikan janji terhadap kedua ibu bapa

Untuk menjadi anak-anak yang solih semasa kehidupan keduanya ataupun selepas kematian mereka.

4- Menunaikan janji sesame manusia

Menepati waktu ketika berjanji dengan tidak melewatkan masa, kerana kelewatan masa akan menjejas kredibilitinya begitu juga dalam perkara berhutang, hendklah dia berniat untuk melunaskannya dan niatnya itu akan ditunaikan Allah.

5- Menunaikan janji pada diri sendiri

Berjanji untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik, bukan sahaja sebagai seorang Islam, malah berusaha untuk meningkatkan diri untuk menjadi insan yang beriman dan seterusnya bertakwa kepada Allah dalam tingkah lakunya, ibadatnya, seluruh hidupnya, matinya adalah hanya untuk Allah SWT sahaja.

Antara janji pemimpin Umno dan Pakatan Rakyat menurut perspektif Islam

Dalam kesempatan ini, penulis tidak bercadang untuk mengheret semua pembaca dalam kancah politik yang tidak berkesudahan masalah dan ironinya.

Tetapi apa yang penulis mahu sebut dalam perbincangan ini, ialah mengajak semua pembaca untuk berfikir sejenak beberapa perkara yang berlaku sejak akhir-akhir ini, sekurang-kurangnya ia dapat diselesaikan apabila dihubungkan dengan persoalan agama

Terdapat laporan di dada-dada akhbar atau siaran berita televisyen yang menyebut mengenai kenyataan pemimpin-pemimpin Umno yang menyalak bagaikan anak kehilangan ibu dan ayah, khususnya serangan bertubi-tubi mereka terhadap pemimpin Pakatan Rakyat yang didakwa kononnya tidak menepati janji pada pilihan raya.

Mungkin serangan kenyataan itu ada kebenarannya yang perlu dilihat sebagai satu teguran positif atau ancaman peribadi.

Tetapi ia perlu juga dilihat pada sudut yang lain, apakah teguran itu benar-benar ikhlas ataupun ia agenda politik tersembunyi, yang menegur sudah puluhan tahun menjawat jawatan penting dalam kerajaan dan banyak sungguh apa yang dijanjikan masih tidak tertunai malah menambahkan lagi kesusahan terhapa rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Abdul Razak seperti dilaporkan Berita Harian 26 Februari 2008, iaitu dua hari selepas penamaan calon ada menafikan bahawa kenaikan harga barangan tidak akan berlaku selepas pilihan raya, tetapi kenyataannya benar-benar meleset, sekarang ini harga tepung, beras dan keperluan asas lain sudahpun dinaikkan dengan pelbagai alas an yang direka cipta.

Itu dari sudut membebankan rakyat sebagai pengguna, belum lagi dilihat pada perkara-perkara yang tidak ditunaikan, sebagai wakil-wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya mereka tidak hadir ke parlimen untuk mengikuti perbahasan yang membeitkan isu rakyat hingga ditegur oleh Perdana Menteri dan akan diambil tindakan jika mengulangi perbuatan.

Apa yang penting untuk dimuhasabah, janganlah pemimpin-pemimpin Umno dan BN yang berpuluh-puluh memerintah mencari kelemahan pihak lain di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang hanya baru mentadir tidak sampai pun dua bulan sudah diselongkar kelemahan mereka.

Sedangkan banyak kebajikan lain yang telah dipersembahkan ke peringkat rakyat, terdapat di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat yang menyerahkan seluruh elaunnya untuk rakyat, ada yang hanya memperuntukkan separuh sahaja yang mesti dilihat sebagai satu yang positif berbanding pemimpin BN yang tidak berbuat demikian malah terlibat dalam kancah rasuah, menggelapkan wang tertentu dan banyak lagi.

Persoalan tidak menepati atau memungkiri janji tidak hanya berkaitan dengan golongan pemerintah yang sudah lama memerintah, malah ia juga termasuk para pemerintah yang baru ditabalkan sebagai krtua sesebuah negeri, yang pasti apabila agama diletakkan paling tinggi dalam segenap urusan pentadbiran, dan rakyat secara tidak langsung terpimpin ke arah satu kehidupan yang berasaskan kebaikan mutlak.

Apapun bila setiap tindakan yang kita buat disandarkan kepada agama, pasti ia akan dipancari dengan roh Islam termasuklah dalam isu menepati janji sesama manusia. - lanh

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons