21 September 2010

Renungan: Muktazilah berleluasa dalam masyarakat?


Ustaz Zainudin Hashim

Muktazilah adalah salah satu daripada mazhab pegangan akidah yang tidak selari dengan pendekatan ajaran baginda Rasulullah s.a.w., atau dengan lain perkataan, terkeluar dan menyimpang jauh daripada akidah 'Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah'.

Golongan mazhab Muktazilah diertikan menurut bahasa, mengasingkan diri daripada jamaah sedia ada, dari sudut sejarahnya, berlaku pertembungan antara seorang murid bernama Wasil bin 'Ataa' dan Amru bin 'Ubaid yang mempertikai pendapat gurunya Abu Hasan al-'Asy'ari khususnya dalam isu berkenaan dengan orang Islam yang buat jahat di dunia, nanti di akhirat tidak masuk syurga dan tidak pula masuk neraka, dia berada di tengah-tengah.


Golongan Muktazilah seperti yang disepakati ulama Ahlus Sunnah, menyifatkan golongan ini tidak termasuk dalam kategori kumpulan yang benar kerana banyak pandangannya bercanggah dan menyalahi pendapat-pendapat 'Ahlus Sunnah'.

Antara Muktazilah dan Ahlus Sunnah

Apapun apabila kita merujuk kepada realiti kehidupan masyarakat umat Islam hari ini, bukan sahaja dalam negara kita, malah di negara-negara Arab sekalipun, kita akan dapati, sebahagian besar orang awam masih tidak dapat memahami konsep golongan disebutkan.

Sebagai contoh, ramai individu umat Islam hari ini yang memahami maksud 'Muktazilah' sebagai golongan yang mengasingkan diri daripada jamaah yang memperjuang kebenaran, yang pada asalnya adalah daripada satu kumpulan sama.

Tetapi pada masa sama, mereka juga terlibat dalam pengasingan diri kerana menjauhkan diri daripada jamaah masjid atau surau yang komited dengan pengajian ilmu-ilmu fardu ain dan aktiviti lain. Walaupun duduk berdekatan masjid atau surau, mereka hanya disinggah pada acara-acara bermusim seperti sambutan Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Israk Mikraj atau menghadiri solat kedua hari raya Aidilfitri dan Adha.

Tidakkah tindakan mereka sama seperti golongan 'Muktazilah' yang mengasing dan menjauhkan diri daripada masyarakat setempat?

Sedangkan ilmu-ilmu yang dibincangkan di masjid-masjid atau surau-surau memberi banyak faedah kepada umum, malahan ia boleh menjadi sandaran atau rujukan kepada golongan ibu dan bapa bagi meneruskan agenda tarbiyah yang pernah dicetuskan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Ia juga termasuk dalam konteks pengabaian untuk berjemaah di surau-surau pejabat yang juga menganjurkan kuliah-kuliah ilmiah bagi memantapkan kefahaman kakitangan pihak tertentu.

Pandangan sempit istilah Ahlus Sunnat wa al-Jumaat

Umat Islam hari ini juga dilihat begitu cetek terhadap istilah Ahlus Sunnah wa al-Jamaah, yang memberi maksud setiap daripada perkataan itu bahawa ahlu bermaksud mahir atau pakar, sunnah ialah rujukan kedua selepas al-Quran dan jamaah adalah satu himpunan manusia yang bersatu untuk menegakkan kebenaran Islam.

Kesimpulannya, mereka adalah pakar dalam selok-belok hadis-hadis Rasulullah dan tidak sekali meninggalkan jemaah, kerana mereka faham bahawa kekuatan Islam dan bantuan Allah hanya pada berjemaah.

Tetapi fenomena untuk memahami maksud istilah berkenaan, disempitkan oleh individu umat Islam lantaran ketidak-hadiran mereka mengikuti kuliah-kuliah agama. Ini akan melahirkan individu Muslim yang bertindak bukan mengikut disiplin ilmu-ilmu agama. Justeru tidak hairanlah jika mereka hanya mengutamakan istilah sunat, hingga seseorang yang belum sunat tidak layak mengetuai solat jemaah.

Kanak-kanak yang belum bersunat juga tidak dibenarkan untuk bersama dengan saf orang-orang dewasa, yang hanya dihalangi oleh perkataan belum sunat. Begitu juga dengan persoalan Jumaat, di mana orang Islam akan berpusu-pusu untuk ke masjid pada hari Jumaat untuk melaksanakan tuntutan solat Jumaat, yang peliknya mereka tidak bersungguh untuk mendengar khutbah yang disampaikan oleh para khatib.

Pun begitu, habis selesai solat pada hari Jumaat, mereka hanya menunggu giliran Jumaat berikutnya untuk sekali lagi menunaikan solat. Begitulah rutin hidup mereka dalam sebulan, tanpa mengambil kira kepentingan untuk menghadirkan diri ke masjid atau surau mendengar kuliah, ceramah atau forum agama, sedangkan pihak AJK masjid tidak sekalipun memaksa mereka untuk membayar kuliah yang disertainya.

Begitulah fenomena istilah Aslus Sunat wa al-Jumaat yang difahami umum pada hari ini, mereka jadi pakar dalam perkara-perkara sunat tidak pada perkara wajib atau keutamaan seperti solat berjemaah, pengajian ilmu fardu ain, memperkasa program dakwah masjid, surau serta pendekatan yang boleh diterima bukan Islam untuk berjinak dengan Islam, sebagai agama untuk semua bangsa manusia.

Pun begitu, umat Islam hari ini juga pakar dalam soal Jumaat, iaitu begitu sensitif jika tidak menunaikan solat Jumaat, tanpa merasakan solat-solat fardu yang lain juga sama penting kedudukannya dengan solat Jumaat.

Justeru, apa yang diharapkan daripada umat Islam seluruhnya, hadirkan dalam diri kesedaran terhadap agama, agar disusuli pula sikap ingin berubah dan kahirnya menemui noktah penting dalam diri masing-masing.

Peningkatan yang merupakan kemuncak daripada penghayatan ilmu-ilmu agama, iaitu peningkatan cara berfikir, bertindak, membuat keputusan selari dengan tuntutan agama, peningkatan dalam beramal ibadat, dan yang paling penting sekali ialah peningkatan menjadi hamba Allah yang terbaik dalam segenap aspek kehidupan, itulah kaedah untuk mendekatkan diri hanya kepada Allah SWT. - lanh _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons