25 September 2010

Peperangan Uhud - Ghazwah Uhud


Ghazwah Uhud berlaku pada hari Sabtu, 15 Syawal, tahun ke-3 hijrah.

Sebab berlaku ghazwah ini Quraisy ingin menuntut bela terhadap kekalahan dalam Ghazwah Badar. Mereka membuat persiapan sehingga mereka benar-benar bersedia untuk memerangi Rasul s.a.w. di Madinah.

Mereka keluar dalam angkatan tentera seramai 3,000 pejuang, tidak termasuk bilangan tentera Ahabisy. Dalam angkatan ini terdapat 700 tentera berbaju perisai dan 200 pahlawan berkuda. Bersama mereka juga, 17 orang wanita termasuk Hindun binti 'Utbah, isteri Abu Suffian. Bapanya telah terbunuh dalam Ghazwah Badar.


Quraisy bergerak sehingga sampai ke tengah-tengah wadi menghala ke Uhud (sebuah bukit
tinggi yang terletak dua batu di utara Madinah) bertentangan dengan Madinah.

Mengikut pendapat Rasul s.a.w. dan beberapa orang sahabat, orang Islam tidak perlu keluar menghadapi mereka. Bahkan orang Islam hendaklah bertahan di dalam kota Madinah. Sekiranya orang musyrik menyerang mereka, orang Islam akan menghalang mereka. Namun sebahagian pemuda-pemuda Islam serta sesetengah Muhajirin dan Ansor bersemangat untuk keluar dari Madinah dan meiawan orang musyrik di tempat perhimpunan mereka. Khususnya mereka yang tidak turut serta dalam Ghazwah Badar dan tidak memperolehi kemuliaan berperang dalam ghazwah tersebut.

Lantaran itu, Rasulullah s.a.w. telah beralah kepada pendapat mereka. Baginda masuk ke dalam rumah, memakai baju perisai, seraya meletakkan dinding perisai di belakang tubuhnya dan memegang tombak di tangan. Kemudian Baginda keluar menemui orang Islam dengan menggantung pedangnya di leher. Mereka yang mencadangkan kepada Baginda untuk keluar berperang di luar Madinah telah menyesal, kerana mereka menjadi sebab memaksa Baginda melakukan tindakan yang bertentangan dengan pendapat peribadi Baginda. Mereka berkata kepada Rasul s.a.w.: "Kami tidak seharusnya menyalahi pendapat kamu. Oleh itu, buatlah apa yang kamu mahu, atau kamu duduk di sini sekiranya kamu mahu."

Maka Rasul s.a.w. menjawab kepada mereka dengan sabda Baginda:
“Tidak wajar bagi seorang nabi, apabila dia memakai baju perisainya untuk dia menanggalkannya semula, sehinggalah Allah memberikan hukuman antaranya dan musuhnya.”

Kemudian Baginda bersama kira-kira 1,000 orang Islam telah berangkat keluar Madinah termasuk 100 tentera berbaju perisai dan 2 pahlawan berkuda.

Ketika orang Islam berhimpun untuk keluar, Rasul s.a.w. melihat satu kumpulan Yahudi mahu turut keluar bersama Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua orang munafik. Rasul s.a.w. bertanya: "Adakah mereka telah Islam?" Mereka berkata: "Tidak wahai Rasulullah."
Baginda bersabda:
“Suruh mereka pulang. Kita tidak meminta pertolongan orang musyrik untuk memerangi orang musyrik.”
Di pertengahan jalan, Abdullah bin Ubai bin Salul bersama 300 orang munafik Kaum yang dihubungkan kepada sebuah bukit di sebelah bawah Makkah yang dipanggil "Habisy". Mereka
merupakan sekutu Quraisy menarik diri daripada turut serta membantu orang Islam berperang. Oleh itu, bilangan orang Islam hanya tinggal 700 orang. Kemudian Rasul s.a.w. meneruskan perjalanan sehingga sampai ke medan Uhud. Baginda menjadikan tenteranya membelakangi bukit Uhud dan menghadap tentera musyrik. Baginda telah membariskan tentera Islam, melantik seorang ketua bagi setiap pasukan. Baginda juga memilih 50 orang pemanah yang diketuai oleh Abdullah bin Jubair al-Ansori, untuk melindungi bahagian belakang orang Islam daripada serangan balas tentera musyrik dari arah belakang. Baginda berpesan kepada mereka:
"Lindungi belakang kami supaya mereka tidak datang menyerang kita dari arah belakang. Hujani mereka dengan anak-anak panah. Kuda tidak dapat melawan panah. Kita akan terus menang selagimana kamu tetap tidak berganjak daripada tempat kamu. Ya Allah, aku bersaksikan Engkau dalam menghadapi mereka ".

Dalam riwayat lain, Baginda berpesan kepada mereka:
"Jika kamu melihat kami dilanggar garuda (kiasan kepada kebinasaan yang cukup teruk), jangan kamu tinggalkan tempat kamu ini sehingga aku kirim utusan kepada kamu. Sekiranya kamu melihat kami mengalah-kan kaum (musyrik) itu atau kami menewaskan mereka dan mereka terbunuh, jangan kamu tinggalkan tempat kamu sehingga aku hantar utusan kepada kamu."

Kemudian, bermulalah peperangan. Allah telah membantu orang Islam menentang musuh-musuh mereka. Orang Islam telah membunuh sebilangan mereka. Pihak musuh kemudiannya melarikan diri. Oleh itu, orang Islam sibuk memungut harta rampasan perang yang mereka dapati di kem orang musyrik. Para pemanah di belakang mereka melihat perkara tersebut. Mereka berkata: "Apa yang kita akan buat sedangkan Allah telah memenangkan Rasul-Nya?" Mereka terfikir untuk meninggalkan posisi masing-masing untuk memperolehi habuan rampasan perang. Lantas, ketua mereka, Abdullah bin Jubair memperingatkan mereka tentang pesanan Rasul s.a.w.. Namun, mereka menjawab bahawa peperangan telah tamat dan tidak perlu lagi untuk kekal di tempat mereka, Hanya Abdullah berserta 10 orang lain enggan meninggalkan posisi masing-masing.

Khalid bin al-Walid (sebagai ketua sayap kanan angkatan orang musyrik ketika itu) melihat para pemanah telah meninggalkan posisi mereka di belakang tentera Islam, lantas berpatah balik menyerang hendap dari arah belakang.

Khalid bin al-Walid (sebagai ketua sayap kanan angkatan orang musyrik ketika itu) melihat para pemanah telah meninggalkan posisi mereka di belakang tentera Islam, lantas berpatah balik menyerang hendap dari arah belakang.

Angkatan tentera Islam tidak menyedari serang hendap melainkan setelah pedang-pedang menyerang mereka di sana sini. Ikatan barisan Islam menjadi kacau bilau. Ketika itu juga, tersebar khabar angin bahawa Rasul s.a.w. telah terbunuh. Sebahagian mereka telah lari pulang ke Madinah.

Orang musyrik dapat sampai kepada Rasul s.a.w.. Batu-batu yang mereka lontar mengenai Baginda sehingga Baginda jatuh pengsan, mukanya luka, kedua lututnya bercalar, bibir bawahnya berdarah dan topi di kepalanya pecah. Dua cincin rantai topi itu telah terbenam masuk ke pelipis Baginda. Orang musyrik bertambah ramai menyerang Rasul s.a.w. untuk membunuh Baginda. Baginda s.a.w. tetap bertahan bersama-sama sekumpulan orang mukmin, antara mereka ialah: Abu Dujanah yang bertindak menjadi perisai Rasulullah s.a.w.. Dia melindungi Baginda daripada anak-anak panah orang musyrik.

Anak-anak panah itu telah menembusi belakang tubuhnya. Antara mereka lagi, Saad bin Abi
Waqqas. Beliau telah memanah pada hari tersebut kira-kira 1,000 anak panah. Antaranya lagi, Nasibah Ummu 'Umarah al-Ansoriyyah. Dia meninggalkan tugas memberi minum tentera yang cedera, untuk bertempur menggunakan pedang dan memanah demi mempertahankan Rasulullah. Dia terus bertempur sehinggalah sebatang anak panah hinggap mengenai tengkuknya, menyebabkan luka yang dalam. Bersama-sama Nasibah juga, suami dan dua orang anaknya yang turut serta mempertahankan Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk mereka: “Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.” Lantas Nasibah berkata: "Doakan kepada Allah supaya kami menemanimu di syurga." Lantas Baginda berdoa: "Ya Allah, jadikan mereka teman-temanku di syurga." Nasibah r.ha. berkata selepas itu: "Aku tidak mempedulikan lagi bencana yang menimpaku dalam urusan dunia." Baginda s.a.w. telah berkata berkenaan Nasibah: "Aku tidak menoleh ke kanan dan he kiri pada hari Ghazwah Uhud, melainkan aku melihatnya berperang di hadapanku". Pada hari tersebut, Nasibah mendapat 12 luka, sama ada akibat tikaman tombak mahupun tetakan pedang.

Pada saat-saat genting itu, Ubai bin Khalaf telah cuba untuk sampai kepada Rasul
s.a.w. bertujuan membunuh Baginda. Dia bersumpah tidak akan berpatah balik. Maka Nabi
s.a.w. mengambil sebatang tombak daripada sahabat yang bersama Baginda, lalu
merejamnya ke leher Ubai. Rejaman tersebut menyebab kematiannya. Ubai bin Khalaf juga
merupakan satu-satunya orang yang dibunuh oleh Nabi s.a.w. dalam semua ghazwah Baginda.

Kemudian Baginda s.a.w. dapat berdiri dan bangun dipangku oleh Tolhah bin Ubaidillah. Baginda memandang ke arah orang musyrik dan ternampak sekumpulan daripada mereka berada di atas bukit. Lantas Baginda menghantar sahabat menghalau mereka turun seraya berkata:
"Tidak sepatutnya mereka berada lebih tinggi daripada kita. Ya Allah, tiada kekuatan bagi kami metainkan dengan Kamu".

Pertempuran telah berakhir. Abu Suffian menyatakan kelegaan hatinya dan hati orang
musyrik yang lain, setelah berjaya menebus kekalahan mereka dalam Ghazwah Badar dengan
kata-katanya: “Hari ini merupakan bayaran bagi hari Badar.”

Di antara mereka yang terbunuh dalam peperangan ini ialah Hamzah, bapa saudara
Rasul s.a.w.. Hindun, isteri Abu Suffian telah mengkelar-kelar mayatnya, membelah
jantungnya dan mengunyahnya. Dia merasa kepahitan jantung itu, lalu memuntahkannya.

Rasul s.a.w. merasa amat sedih melihat keadaan Hamzah, lantas berkata:
“Sekiranya Allah memenangkan aku ke atas Quraisy di sesuatu tempat, aku
akan kelar 30 orang lelaki daripada mereka.”
Namun selepas itu Allah melarang daripada mengelar mayat.
Bilangan orang Islam yang terbunuh dalam pertempuran ini ialah kira-kira 70 orang,
sementara jumlah orang musyrik yang terbunuh ialah 23 orang.

Sumber : Sirah Nabawiyyah oleh Mustafa Siba'ie.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons