02 September 2010

Memahami konsep kepimpinan (Siri 2): Membentuk rakyat lebih Islamik dengan pemerintahan Islam


Ustaz Zainudin Hashim

Islam memandang serius pelaksanaan hukum-hukum syariat Islam seperti yang termaktub dalam al-Quran dari sudut akidah, ibadat, hala tuju hidup sebagai golongan Muslimin, penampilan diri dengan akhlak-akhlak terpuji, mendirikan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat, mengerjakan haji, memperkasa undang-undang kehakiman Islam, melaksanakan sistem politik, ekonomi serta kewangan Islam, mewujudkan persekitaran Islam yang meraikan semua pihak agar terus berada dan berkekalan dalam melaksanakan segala tuntutan ajaran agama Islam dan banyak lagi.

Justeru, kepimpinan yang berpaksikan Islam sahaja yang mampu mempertahan, mengamal dan melaksanakan tuntutan tersebut.


Perkara ini disandarkan kepada satu kaedah Usul Fiqh yang pernah disebut oleh Imam as-Suyuti dalam kitabnya 'Al-Asybah wa an-Nazoir' yang berbunyi: "Tidak sempurna matlamat pembuat undang-undang Syariat (Allah) dalam meletakkan peraturan hukum Syariat-Nya bagi menjamin kebaikan manusia di dunia dan di akhirat melainkan dengan adanya kepimpinan."

Dalam satu lagi kaedah, beliau (Imam as-Suyuti) menjelaskan: "Dengan adanya kepimpinan, maka umat akan bersatu-padu dan berusaha untuk menangkis sebarang fitnah dan perpecahan di kalangan mereka." Iaitu kepimpinan yang menjalankan program dakwah dan jihad yang bersungguh-sungguh hingga rakyat berada dalam kehidupan yang penuh dengan semangat untuk berjuang, berbakti dan berkorban hanya untuk Islam.

PAS mendepani parti-parti politik lain dalam memimpin ummah sebagai warganegara. Kepimpinan/imamah wajib dibentuk bagi melaksanakan dua tanggungjawab besar iaitu untuk memelihara agama dan menguruskan siasah dunia.

Memelihara agama bermaksud menjaga, mengembang, mempertahan dan melaksanakan syariat agama dalam semua bidang hidup sama ada yang mengenai peribadi, keluarga, masyarakat an negara bahkan dunia secara keseluruhannya.

Sementara menguruskan siasah dunia bererti mengendalikan urusan pentadbiran, pemerintahan dan pembangunan yang melibatkan soal-soal kehidupan, pembangunan material, kemajuan dan peradaban berasaskan kepada nilai-nilai agama dan prinsip-prinsip syariat.

Dasar-dasar ini adalah dasar-dasar yang berkaitan kepimpinan negara dan ummah.

Lantaran penting dan besarnya tanggungjawab kepimpinan ini iaitu kepimpinan yang mengabungkan tanggungjawab keagamaan dan keduniaan yang tidak boleh dipisahkan maka Islam meletakkan syarat-syarat tertentu agar amanah kepimpinan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menepati matlamatnya, kerana seorang pemimpin dalam Islam bukan sahaja bertanggungjawab kepada umat bahkan bertanggungjawab kepada Allah SWT. "Mereka yang apabila kami kukuhkan mereka di bumi mereka mendirikan sembahyang dan memberikan zakat dan mereka menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mereka mencegah daripada berbuat yang mungkar dan kepada Allah jualah akibat daripada segala urusan." (al Hajj : 41)

Ulama teras pembangunan negara dan ummah

Tidak syak lagi berdasarkan elemen sejarah, bahawa golongan ulama telah banyak membantu bagi menaikkan kehormatan negara, bangsa dan ummah seluruhnya, ia dapat dilihat dari sudut peranan, tugas, tanggungjawab serta sumbangan mereka yang mendepani barisan hadapan ketika membangun negara dan ummah sekali gus.

"Tidak banyak negara Islam yang dapat meletakkan para ulama’ di dalam arus perdana pembangunan negara dan memberi pengiktirapan terhadap peranan mereka."

Jelas ungkapan di atas merupakan pandangan mantan Ketua Pengarah IKIM yang merasa dukacita kerana pihak berkuasa tidak meletakkan peranan ulama atau tidak diberi tugas sepatutnya dalam menyumbang bagi pembangunan negara, malah peranan mereka tidak diperakui penting, inilah faktor yang dikenal pasti berlakunya kepincangan dalam pentadbiran negara oleh mereka yang tidak mendapatkan pandangan ahli-ahli agama dalam kerajaan.

Justeru, terdapat program atau aktiviti yang dirancang oleh pihak tertentu menyanggah aspek agama Islam lantaran mereka menyisihkan ulama daripada berperanan sebagai penasihat mereka, maka negara tidak mendapat restu Allah dan akhirnya mengundang pelbagai bencana alam yang tidak terduga seperti banjir kilat di negeri Johor pada akhir 2006 lalu dan banyak lagi, sama-samalah kita fikirkan, selagi kita tidak kembali kepada Islam yang sebenar, selagi itulah kita akan terus dihukum oleh Allah SWT.

Negara makmur kerana pemimpin menyanjungi ulama

Allah berfirman menerusi ayat 15 surah Saba' yang bermaksud: "Negara kamu adalah negara yang baik dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Pengampun."

Untuk sampai kepada sebuah negara yang benar-benar makmur dari sudut pandangan rakyat jelata adalah apabila para pemimpin bekerjasama dengan para ulama yang merupakan pewaris Nabi-Nabi dalam segenap agenda pembangunan negara, iaitu pembangunan yang berpaksikan akidah tauhid kepada Allah, inilah harapan setiap rakyat untuk menikmati keharmonian dan kemakmuran dalam negara.

Sejarah telah membuktikan sejak negara Malaysia mencapai kemerdekaan kali ke-50 tahun yang diterajui oleh para pemimpin yang tidak berapa cenderung kepada tuntutan ajaran agama Islam sebenar, maka berlaku banyak kepincangan, mereka bukan menjadi hamba kepada rakyat, malah rakyat ditipu dan diperbodoh-bodohkan dan mereka menguasai rakyat hingga sanggup menangkap, melokap, mendera pemikiran mereka yang tidak bersetuju dengan dasar ekonomi atau pembangunan yang tidak sama sekali berpaksikan Islam.

Majlis-majlis ilmu disekat, tazkirah juga menerima nasib yang sama, penyampaian khutbah bukanlah lahir dari pandangan atau cetusan idea para khatib, mereka hanya membacanya yang terkadang-kadang teragak-agak atau gagap, pokoknya para ilmuan, ulama dan mereka yang sepatutnya dikedepankan, dihalang hingga rakyat tidak berpeluang menjadi muslim yang baik kerana tidak dibekalkan dengan ilmu-ilmu yang baik, malah tidak menjadi ummah yang berpotensi dan terbaik untuk dilahirkan kepada segenap manusia sejagat.

Marilah kita mentelaah satu kisah berkenaan dengan penghormatan para pemimpin terhadap golongan ulama, ia terjadi pada satu ketika dahuli di zaman kegemilangan pemerintahan Islam, di mana oara pemerintah dan ketua-ketua negara, masing-masing berlumba-lumba untuk memuliakan golongan ulama, sama ada mereka terdiri daripada pakar ilmu fiqh, akidah, sirah dan sebagainya. Mereka diminta ke istana khalifah adalah untuk menyemak sistem pemerintahan para pemimpin adakah selari dengan tuntutan agama Islam, setelah itu mereka diberi ganjaran hadiah sebagai mengenang jasa dan bakti mereka.

Malah terdapat juga di kalangan ulama’ yang diundang khas oleh sesebuah negara tertentu untuk melakukan tujuan yang sama seperti di atas iaitu meneliti sistem perjalanan pemerintahan yang dilaksana di negeri berkenaan.

Tindakan positif yang ditunjukkan oleh para pemerintah itu telah membuahkan hasil yang baik, terutamanya rakyat mendapat banyak faedah dari aspek keterbukaan para pemimpin mereka yang sanggup berganding bahu dengan golongan ulama’ bagi membangun negara, iaitu yang mencapai status negara baik dan Allah menyanjungi dan merahmati negara berkenaan. - lanh _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons