03 September 2010

Mais: Larangan bukan Islam masuk ruang solat liputi semua


Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Larangan ke atas bukan Islam memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor tidak terhad kepada Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang kini berhadapan dengan kontroversi.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menegaskan larangan dikenakan ke atas Teo menerusi surat amaran, yang diterima wakil rakyat itu semalam, merangkumi semua orang bukan Islam di Selangor termasuk wakil rakyat dan ahli-ahli politik.


Setiausaha Mais Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata larangan itu perlu dipatuhi demi menjaga kesucian dan kehormatan masjid dan surau.

“Dalam surat amaran yang diberikan Teo, kita melarang beliau daripada memasuki ruang solat masjid dan surau di negeri ini.

“Kalau beliau mahu buat program boleh buat di kawasan luar ruang solat... keputusan kita tegas,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Selain itu, beliau berkata larangan daripada memasuki ruang solat itu juga turut melibatkan semua orang bukan Islam termasuk wakil rakyat sama ada dari Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN).

“Semua orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki ruang solat masjid dan surau. Mereka hanya boleh memasuki kawasan lain tetapi dengan syarat mesti ikut peraturan yang ditetapkan.

“Kalau ada pihak pengurusan masjid dan surau yang membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat kita akan ambil tindakan terhadap mereka kerana melanggar arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Mohammed Khusrin juga menegaskan jika masih ada wakil rakyat bukan Islam memasuki ruang solat tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.

“Kita tidak ada undang-undang untuk dikenakan kepada orang bukan Islam yang memasuki masjid dan surau tetapi jika secara berterusan ia dilakukan kita akan ambil tindakan lain termasuk membuat laporan polis,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai surat amaran yang dihantar kepada Teo kerana dikatakan menyampaikan sumbangan dan memberikan ucapan di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral pada 22 Ogos lalu.

Dalam surat amaran itu, Mais meminta supaya beliau tidak lagi memasuki ruang solat masjid dan surau di Selangor.

Mais juga menekankan arahan tersebut dikeluarkan atas titah perintah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Namun Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan Teo.

Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Dewan Rakyat tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

Selain itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan, sikap menghalang bukan Islam memasuki masjid atau surau bertentangan dengan semangat keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dicapai awal tahun ini.

Perkasa meminta kerajaan mengadakan undang-undang baru menghalang bukan Islam memasuki masjid dan surau.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons