02 September 2010

Kriteria pemimpin dalam Negara Islam (Siri 2)


Ustaz Zainudin Hashim

Dalam siri 1 yang lalu, penulis ada menyebut tujuh kriteria penting yang perlu ada dalam setiap diri pemimpin yang benar-benar dituntut Islam sebagai salah satu cabang daripada tuntutan agama yang menjadi kewajiban ke atas mereka melaksanakannya.

Justeru, persoalan kepimpinan bukanlah satu perkara remeh, kerana mereka akan dihadapkan di hadapan mahkamah Allah pada hari kiamat. Baginda Rasulullah sendiri pun pernah menolak permohonan seorang sahabat bernama Abu Dzar yang bersedia dicalonkan sebagai pengganti baginda selepas kewafatannya, namun baginda dengan tegas menyatakan: Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah, seseiapa yang mengabaikan amanah itu, akan menyesal pada hari kiamat.


Berikut sambungan dari kriteria yang diperlukan seorang pemimpin berjiwa Islam:

8- Bersifat pemaaf

Menurut sesetengah sarjana Islam terdahulu: Tidak ada yang lebih hebat dan kuat yang dimiliki seorang pemimpin itu melainkan dia sentiasa memaafkan orang lain (khususnya rakyat yang dipimpinnya), apabila rakyat sudah sebati dan dapat menerimanya sebagai pemimpin yang suka memaafkan orang lain, maka mereka akan sentiasa bersangka baik terhadapnya, mereka akan terus memberikan sokongan padu yang tidak berbelah bagi.

Golongan pemaaf, apatah lagi di kalangan pemimpin, akan mendapat tiga faedah dari tindakan positifnya itu:

- Akan mendapat pujian daripada Allah SWT kerana dia bersifat dengan sifat ketuhanan yang Maha Pemaaf.

- Dosanya akan diampunkan oleh Allah kerana dia suka memaafkan orang lain.

- Allah akan memuliakan orang yang suka memaafkan orang lain, kerana ia adalah sebahagian daripada sifat yang mesti dimiliki oleh golongan pemimpin. Sehubungan itu, baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan: "Tidak berkurangan sedekah daripada harta, tidak pula Allah menambahkan kepada seorang hamba yang suka memaafkan orang lain melainkan dia akan dimuliakan Allah, seseorang itu yang bertawaduk kerana Allah, tidak lain akan diangkat kedudukannya di sisi-Nya." Hadis sohih.

- Pemimpin yang suka memaafkan rakyatnya atas kesalahan yang sedikitpun tidak menjejas agamanya, maka dia diganjari pahala dan menjadi contoh teladan yang baik.

9- Bersikap lembut sepanjang masa

Pemimpin yang berjaya merupakan role model kepada rakyat untuk membawa mereka ke satu hala tuju hidup yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah.

Pancaran daripada tarbiyah kedua-duanya akan menjadikan mereka manusia yang sentiasa berlembut dalam semua keadaan, apatah lagi menghadapi rakyat yang mempunyai pelbagai kerenah, justeru mereka dipilih rakyat agar dapat menjalankan tugas, peranan serta tanggungjawab berorientasikan kebenaran kedua-dua sumber di atas.

Sehubungan itu, Allah SWT menegaskan menerusi ayat 159 surah ~Ali Imran yang bermaksud: "Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka, sekiranya kamu bersikap keras lagi kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dar sekeliling kamu. Oleh itu maaf dan ampunkanlah mereka serta bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu (mengenai keselamatan negara dan sebagainya)."

Ayat di atas menunjukkan hubungan intim antara pemimpin negara dengan rakyatnya yang tidak boleh ditinggalkan tanpa perbincangan atau mendapatkan pandangan mereka, apatah lagi ia boleh membawa keselamatan, keharmonian, kebaikan dan keamanan semua pihak.

Rasulullah s.a.w. pernah menegaskan dalam satu hadisnya: "Mahukah aku beritahu kamu golongan yang diharamkan masuk neraka atau neraka tidak mahu menerimanya - iaitu golongan yang berlemah lembut." Hadis riwayat Imam at-Tirmizi daripada Ibnu Mas’ud.

10- Peramah dan berakhlak mulia

Ia merupakan salah satu ciri sifat terbaik lagi terpuji yang mesti ada pada golongan pemimpin, bukan bersikap peramah ketika memancing undi atau meraih simpati untuk menang dalam pilihan raya dan sebagainya, mereka tidak ada apa-apa kepentingan melainkan mahu menampilkan diri dengan akhlak yang pernah ditonjolkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Sayidatina Aishah r.a. berkata, aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ya Allah! Mana-mana pemimpin yang berlaku kasar dalam urusan umatku, maka berlaku keraslah Engkau terhadapnya, dan mana-mana pemimpin yang berlaku baik, peramah dan berakhlak mulia, maka berlaku baiklah terhadapnya." Hadis sohih.

Dalam riwayat yang lain, pemimpin yang bersikap keras dan sebagainya, mereka dilaknat oleh Allah SWT. Hadis riwayat al-Munziri daripada Abu Uwanah dalam sohihnya.

11- Teguh pendirian

Antara sifat atau ciri terbaik yang mesti dimiliki oleh golongan pemimpin ialah teguh dalam pendiriannya terhadap sesuatu perkara, tanpa cenderung kepada pihak tertentu melainkan setelah dibuktikan kebenarannya, mereka tidak mudah percaya kepada satu pihak tanpa mendengar pihak yang lain, mereka tidak mudah dipengaruhi kerana ia akan membawa kepada keretakan dalam masyarakat.

12- Tunai dan tepati janji

Tunai dan tepati janji adalah salah satu keutuhan akhlak golongan pemimpin yang terpenting dalam mentadbir sebuah negara.

Bagi pemimpin yang mengingkari janji khususnya terhadap rakyatnya akan membawa padah yang berpanjangan, kerana dianggap sebagai orang yang mencabuli hak asasi mereka, justeru tidak layak memimpin dan terpaksa menanggung risiko, apatah lagi rakyat yang sering mengikuti kelas pengajian Islam yang menjelaskan bahawa salah satu ciri orang-orang munafik ialah mengingkari janji yang telah dibuat.

Malah termasuk dalam katogeri janji ini, ialah bercakap serupa dengan apa yang dibuat.

Faktor yang dikenal pasti boleh menjatuhkan kedudukan seorang pemimpin adalah pengetahuan atau makluman rakyat mengenai dirinya yang sering tidak menunai dan menepati janji terhadap urusan pentadbiran negara, malah melingkupkan sumber pendapatan negara untuk kepentingan peribadi.

13- Bersikap benar

Apabila pemimpin yang sering berkata benar dan sentiasa berada dalam kebenaran, sebenarnya mereka semakin hampir dengan kedudukan para Nabi yang bersifat dengan kebenaran dalam segenap bicara, tingkah laku, tindakan, teladan dan sebagainya.

Apabila terdapat pemimpin yang mula berbohong dengan rakyatnya dengan pelbagai alasan yang tidak dibenarkan oleh hukum Syara' (seperti melakukan penipuan bagi mengekalkan jawatan dengan apa cara sekali pun, walaupun matlamat tidak menghalalkan cara), ia merupakan satu bencana dan aib yang besar mencerminkan sikap mereka sebenar terhadap pegangan agama.

Sehubungan itu, baginda Rasulullah s.a.w.bersabda: "Tiga golongan di mana Allah SWT tidak akan bercakap dengan mereka pada hari Kiamat, tidak pula memandang kepada mereka dan tidak akan menerima mereka, bagi mereka azab yang amat pedih, mereka itu adalah orang tua yang berzina, pemimpin (pemerintah) yang berbohong dan orang miskin yang sombong." Hadis Sohih riwayat Salman dan Abu Hurairah.

14- Menyimpan rahsia

Ia tersangat penting dalam urusan pentadbiran negara, melibatkan para menteri, wakil-wakil rakyat, ahli Parlimen dan mereka yang memegang jawatan tertinggi dalam masyarakat, ia bukan sekadar penting malah menjadi wajib ke atas mereka semua.

Kerana:

- Ia membuktikan seseorang yang sanggup menyimpan rahsia itu adalah orang yang bersifat mulia kerana tidak mudah membocorkan rahsia yang dipegangnya.

- Akan terselamat daripada perancangan orang yang memang menaruh dendam terhadapnya, baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: "Lakukan segala tugasan atau hajat kamu dengan berahsia, kerana sesuatu yang baik itu sering dimusuhi."

- Apabila sesuatu urusan dilakukan dengan berahsia, maka tidak akan ada orang yang cuba menggagalkannya. - lanh _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons