03 September 2010

Kisah Dari Tanah Suci: Tiba-tiba Ibu Mariam telah berada dalam Masjidilharam


Abdul Wahab Mohd Noor

Ibu Mariam berasal dari Pahang. Mempunyai 12 anak. Tinggal di kampung yang kebanyakan penduduknya miskin. Dia bersama suami menoreh getah di kebun berbukit seluas dua ekar untuk meraih rezeki sekeluarga.

Bayangkanlah, berapa susah hidup di kala itu. Dia terpaksa memanjat bukit pada subuh hari, demi rezeki halal.


Walaupun hidup susah, Ibu Mariam Muslimat soleh. Tidak pernah tinggal solat lima waktu. Walau bagaimana sibuk, satu amalannya yang terpuji adalah istiqamah membaca kitab suci al-Quran pada setiap kali selepas solat fardu.

Orang kampung sayang padanya kerana beliau penyabar dan baik hati. Dua anak gadisnya mendapat didikan agama yang baik, hingga ke tingkatan enam Kuliah Abu Bakar, Pekan.

Apabila ada wang lebih, beliau suami isteri menabung di Tabung Haji. Bertahun-tahun, sedikit demi sedikit. Setelah terlalu sangat memerah tenaga di kebun getah atas bukit itu, suatu hari dia menderita sakit lutut, pada bahagian sendi.

Pelbagai ubat klinik telah dicubanya, malangnya lutut itu payah untuk sembuh. Mungkin badan beliau telah berat, jadi tulang sendi lutut tak mampu menampung.

Apabila telah cukup tambang, dibantu oleh dua anak yang bertugas sebagai ustazah, Ibu Mariam telah berjaya ke Makkah pada tahun 1995.

Dengan takdir Allah dan berkat doanya, sakit lutut beliau telah menjadi baik pada waktu menunaikan rukun-rukun haji. Boleh berjalan dan tak perlu pakai kerusi roda seperti pesakit lain. Dia dapat mengerjakan tawaf dan saei dengan mudah. Kesihatan beliau pun agak stabil di kota suci itu. Doanya untuk kesihatan dikabulkan Allah serta-merta.

Hotel sewaan Tabung Haji bagi kumpulan Muslimah Malaysia yang disertai Ibu Mariam agak jauh sedikit dari Masjidilharam. Calang-calang orang sakit lutut, cemas jua untuk ke masjid, memandangkan keadaan terlalu sesak dengan ratusan ribu jemaah.

Ibu Mariam tidak mahu melepaskan peluang keemasan untuk solat fardu di Masjidilharam. Fadilat solat di Masjidilharam adalah 100,000 kali ganda daripada masjid-masjid lain kecuali Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.

Fadilat solat di Masjid Nabawi adalah 1,000 ganda daripada solat di masjid biasa manakala di Masjid Al-Aqsa adalah 500 kali ganda daripada masjid lain.

Ketika berada di Makkah, Ibu Mariam tidak mahu terlepas solat waktu di Masjidilharam. Agak sedih juga, ada jemaah datang dari jauh-jauh dan banyak mengeluarkan wang, tetapi ketika solat sanggup membentangkan sejadah di atas jalan raya untuk solat sedangkan ruang di Masjidilharam masih boleh diisi.

Suatu hari ketika Ibu Mariam keluar dari bilik hotelnya untuk ke Masjidilharam, menyertai ribuan jemaah lain, berlakulah kejadian aneh itu.

Apabila sampai di pintu besar di tingkat bawah, dengan takdir Allah, Ibu Mariam mendapati dirinya telah berada dalam saf Muslimah di Masjidilharam secara tiba-tiba.

Kejadian luar biasa dan pertolongan ghaib dari Allah Rabbul-Ezzati ini, berlaku beberapa kali. Seperti kilat Ibu Mariam sudah berada dalam Masjidilharam. Sungguh hairan!!!

Perkara ini diceritakan kepada anaknya, si ustazah yang pergi bersama. Amat banyak cerita-cerita ghaib mengenai pertolongan Allah kepada jemaah haji.

Allah Taala telah menurunkan balasan-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang soleh, di dunia lagi termasuk di Tanah Suci lagi.

Jika seseorang jemaah berjaya mendapatkan haji mabrur, tiada balasan melainkan syurga-Nya di akhirat nanti. Amin. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-janji-Nya. - lanh _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons