03 September 2010

Isu video intip MB Selangor: Beberapa individu dikenalpasti


oleh Edi Suleiman

SHAH ALAM 2 Sept - Beberapa individu telah dikenalpasti melalui rakaman video kamera intip yang ditemui tersembunyi di pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, awal bulan lalu.

Setiausaha politik kepada Tan Sri Khalid, Faekah Husin dalam satu sidang media yang diadakan pagi tadi berkata individu yang dikenalpasti bertugas di tingkat sama dengan pejabat Menteri Besar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam.


"Hasil daripada siasatan dalaman yang dijalankan, terdapat beberapa wajah dan suara individu yang dapat dikenalpasti di rakaman video berkenaan, bagaimanapun kita tidak mahu memberikan butiran lajut (mengenai individu terbabit) buat masa ini.

Ada diantara mereka memang sepatutnya berada di kawasan berkenaan manakala ada juga yang dikenalpasti tidak sepatutnya berada di bilik terbabit," katanya kepada wartawan.

Beliau menambah pasukan bertindak yang ditubuhkan bagi menyiasat isu kewujudan video kamera intip berkenaan akan menemui Menteri Besar esuk untuk menentukan tindakan susulan yang bakal diambil.

Faekah berkata, pasukan bertindak terbabit memerlukan kebenaran menteri besar sebelum mereka meneruskan langkah menemubual mereka yang dikenalpasti dalam rakaman video terbabit.

Menurutnya lagi, individu terbabit perlu disoal siasat untuk mengenal pasti dalang yang merancang meletakkan video kamera berkenaa di dalam pejabat menteri besar.

"Siasatan awal yang dijalankan oleh pasukan bertindak berkenaan telah menjurus kepada kesimpulan bahawa dalang yang terbabit dengan perbuatan itu adalah percubaan 'nakal' membabitkan politik," tambah Faekah lagi.

Beliau juga mengesahkan telah menemui tiga pegawai polis pagi tadi dan seterusnya lagi mengesahkan bahawa tiada siasatan telah dijalankan oleh pihak polis kerana setakat ini tiada sebarang laporan polis telah dibuat.

Tan Sri Khalid, 10 Ogos lalu telah mendedahkan bahawa beliau telah menemui sebuah video kamera intip di pejabatnya.

Menurutnya video kamera terbabit telah diletakkan dalam keadaan tersorok di sebalik langsir tingkap pejabatnya yang terletak di tingkat 21 Bangunan SUK.

Menurutnya lagi, kewujudan video kamera terbabit disedari beliau selepas ia mengeluarkan bunyi amaran kehabisan bateri.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons