15 September 2010

'Guru bawa kitab, anak murid berlenggang'


Sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah warga kota, sering berkunjung ke masjid atau surau berhampiran dengan rumah mereka, untuk mengikuti kelas-kelas pengajian agama atau lebih dikenali dengan istilah kelas-kelas 'Fardu 'Ain' yang melibatkan pengajian seperti ilmu fiqh, akidah, tafsir, hadis dan sirah Nabi.

Penganjuran kelas-kelas berkenaan di kota lebih mendapat tempat dan bercambah berbanding dengan masjid atau surau di kampung-kampung. Begitu juga dengan bilangan para ustaz yang bukan sahaja di kalangan warga emas seperti pada era enam puluhan dan tujuh puluhan, malah mereka yang �fresh� sebagai graduan agama, sama ada dari universiti-universiti tempatan mahu pun luar negara.


Mereka juga boleh dianggap menyerlah dalam bidang dan pengkhususan masing-masing, tambahan pula pengetahuan mendalam mengenai program ICT yang kebanyakannya mahir tentangnya.

Apa yang hendak dibincangkan di sini, bukanlah mengenai tahap atau kecekapan pengajaran para graduan berkenaan yang rasanya tidak perlu untuk dipertikai, kerana sesungguhnya mereka benar-benar mampu membawa pengajaran pada tahap yang boleh dianggap memuaskan.

Tetapi perbincangan tertumpu mengenai sikap para peserta (golongan yang duduk belajar) yang kadang-kadang sudah mencecah lebih 10 tahun, namun apa yang mengecewakan mereka seolah-olah hanya mahu menjadi golongan pendengar setia sambil penghujung hayat.

Yang menjadi pelik, para ustaz yang mengajar datang dengan membawa segala keperluan seperti kitab yang menjadi sandaran dalam pembelajarannya, ada ketikanya membawa komputer riba dan alat pancar (LCD) untuk dipertontonkan kepada umum alat kemudahan alat bantu mengajar, tetapi golongan pendengar ini dengan tindakan selamba datang tidak bersungguh, sama ada bawa kitab ke, kertas kosong ke, mereka datang berlenggang seolah-olah macam nak pergi tonton Akademi Fantasia.

Mereka sering diingatkan oleh ustaz-ustaz yang datang ke tempat mereka agar bersungguh untuk belajar, sekurang-kurangnya bawa kitab sebagai bahan rujukan di rumah, tetapi kata-kata guru mereka tidak diendahkan, mereka lebih rela untuk memilih cara mendengar daripada mencatat sesuatu yang disampaikan.

Apakah mereka boleh jamin diri mereka sendiri, bahawa apa yang mereka dengan dapat dirakam dalam minda, 10 noktah penting yang disampaikan tidak mungkin dapat diingat jika tidak dicatat, sedangkan Imam as-Syafie yang dikenali sabagai tokoh ulama yang serba alim pun mencatat maklumat daripada gurunya iaitu Imam Malik, akhirnya bukan 10 noktah itu terlupa, malah satu daripadanya pun sukar untuk dingati semula.

Cuba bayangkan, kalau 10 tahun ilmu-ilmu agama dapat digarap dengan baik, maka seseorang itu sudah tidak perlu lagi menjadi golongan pelajar, malah dia sudah boleh menaikkan tarafnya pula sebagai golongan pelapis yang mewarisi ilmu-ilmu berkenaan untuk disampaikan pula kepada yang berhak menerimanya.

Justeru, para ustaz yang mengajar mereka satu ketika dahulu boleh menumpukan perhatian kepada bidang-bidang yang lebih mencabar untuk kebaikan negara, agama dan masyarakat dalam satu penglibatan yang tidak pernah terlintas sebelum ini, seperti mengetuai tugas yang lebih praktikal sebagai pegawai penguatkuasa agama dan sebagainya.

Apapun ia bermula daripada sikap acuh-acuh masyarakat untuk perkasakan diri mereka dengan ilmu-ilmu dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada era siber yang lebih mencabar integriti mereka sebagai insan bernama muslim untuk menjalankan tugas utama mereka di dunia ini dengan berdakwah, iaitu menyeru manusia untuk menerima Islam sebagai cara dan pegangan hidup yang sempurna._

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons