26 Ogos 2010

Tafsir Al-Maidah, ayat 75-76: Para nabi hanya lelaki


Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Ini adalah maqam yang tinggi yang dikurniakan kepada Mariam a.s. Ayat ini menjadi dalil kepada jumhurul ulama (kebanyakan ulama) bahawa nabi dan rasul itu adalah lelaki bukan perempuan.

Kecuali pendapat Ibnu Hazmin al-Andalusi (ulama dari Sepanyol yang mujtahid). Beliau berpendapat bahawa orang perempuan juga menjadi nabi kerana terdapat dalil yang membenarkan pendapat tersebut.

Al-Quran telah menyebutkan bahawa beberapa orang perempuan telah menerima wahyu dari Allah termasuk ibu kepada Nabi Ishak, ibu kepada Nabi Musa a.s. dan Mariam, ibu kepada Nabi Isa a.s.


Ibnu Hazmin berkata apabila menerima wahyu bererti orang itu menjadi nabi. Bagaimanapun jumhurul ulama mengatakan bahawa nabi hanyalah daripada kalangan lelaki, tidak daripada kalangan perempuan.

Dan Allah Ta'ala menegaskan dalam ayat ini bahawa ibunya (ibu nabi Isa a.s.) membenarkan Allah, tidak disebut ‘waummuhu nabiyyah’ (ibunya nabi), walaupun disebut menerima wahyu. Ini adalah hujah yang kuat.

Perkataan wahyu bukan sahaja ditujukan kepada Siti Mariam, bahkan ditujukan kepada binatang.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan Tuhan kamu telah mewahyikan kepada lebah." (Surah an-Nahl:68) Jika dikira ayat ini menjelaskan bahawa, lebah juga menjadi nabi kerana menerima wahyi daripada Allah.

Bagaimanapun mana boleh lebah menjadi nabi kerana ia binatang yang suka menyengat manusia.

Justeru lebah tidak boleh menjadi nabi walaupun al-Quran menyebut Allah telah mewahyikan kepadanya.

Memang Allah Ta'ala mewahyikan kepada lebah supaya mencari bunga dan madu serta membuat sarang di bukit-bukau, di pohon kayu dan rumah-rumah manusia.

Lebah pula berupaya pulang ke sarang walaupun jauh perjalanannya dengan wahyi daripada Allah.

Lebah hanya menerima wahyu dari Allah bukannya menjadi nabi dan bukan setiap yang menerima wahyu itu mesti menjadi nabi.

Oleh itu Siti Mariam, ibu kepada Nabi Isa a.s. bukan nabi kerana Allah menyebut siddiqoh (yang membenarkan Allah) bukan nabiyyah (Nabi).

Mereka adalah seorang manusia beriman yang tergolong daripada kalangan orang yang diberi nikmat oleh Allah sebagaimana disebut di dalam Suratul Fatihah.

Allah juga menjelaskan siapakah manusia yang diberi nikmat di kalangan manusia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Orang yang diberi nikmat itu terdiri daripada nabi-nabi dan orang yang membenarkan Allah, para syuhada dan orang-orang yang soleh." (Surah an-Nisa': 69)

Siddiqin adalah orang yang mempunyai martabat yang tinggi termasuk Abu Bakar as-Siddiq r.a. dan Sayidatina Mariam a.s.

Disebut di dalam ayat ini 'Siddiqoh' (yang membenarkan Allah dan rasulnya). Siti Mariam percaya bahawa anaknya menjadi rasul serta percaya kepada janji-janji Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Adalah kedua-duanya memakan makanan (seperti kamu)." (Surah al-Maidah: 75)

Nabi Isa a.s. dan Siti Mariam a.s. memakan makanan seperti roti sama seperti manusia lain. Jadi, Tuhankah mereka jika serupa dengan manusia lain?

LBagaimana kamu kata Isa a.s. Tuhan sedangkan dia makan, minum dan buang air sama seperti manusia lain.

Dia hanya manusia yang diutuskan sebagai rasul dan menerima wahyu daripada Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: "Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan." (Surah Al-Maidah: 75)

Lihatlah di sini juga dimaksudkan dengan fikirlah. Ertinya lihat dan fikirlah bagaimana Kami terangkan kepada mereka akan ayat (tanda-tanda daripada Allah) sama ada tanda-tanda yang dibaca ataupun tanda-tanda yang dilihat oleh mereka sendiri.

Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada menerima kebenaran yang jelas nyata itu). (Surah Al-Maidah: 75)

Lihatlah keterangan dan kenyataan daripada Allah. Sesungguhnya pendapat yang mendakwa Nabi Isa a.s. sebagai tuhan adalah satu dakwaan yang bohong.

Firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w.) Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain daripada Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat?" (Surah Al-Maidah: 76)

Adakah kamu sembah yang lain daripada Allah yang tidak boleh memberi mudarat dan memberi manfaat kepada kamu?

Yang memberi manfaat dan memberi mudarat adalah Allah SWT. Firman Allah yang bermaksud: "Dan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahi." (Surah Al-Maidah: 76)

Maha mendengar dan Mengetahui segala apa yang diucapkan oleh kamu daripada sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar perkara. – lanh _

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons