Oleh Dzulkarnain Taib
August 18, 2010
PETALING JAYA 18 Ogos - Rakyat negeri Selangor bakal menikmati perkhidmatan akses internet wireless (W-Fi) percuma dalam masa terdekat yang merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan Pakatan Rakyat merakyatkan informasi dan akses kepada maklumat serta mewujudkan rakyat celik IT.
Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengumuman akan dibuat oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khlaid Ibrahim tidak lama lagi dengan hanya membabitkan kos minima meliputi seluruh negeri sebanyak RM10 juta.
"Kita di Pakatan Rakyat berbincang mengenai wi-fi percuma yang sebenarnya tidak mahal. Kita pertikai kos yang ditetapkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional yang kita anggap terlalu tinggi.
"Saya kini sedang peneliti perancangan untuk menyediakan wi-fi secara percuma di Selangor yang yang kita anggap cukup rendah. Di Selangor yang kita kaji ia hanya melibatkan kos RM10 juta.
"Kalau ia hanya membabitkan RM10 juta di satu negeri, maka menjadi perkara yang tidak sukar untuk kerajaan (pusat) baru Pakatan Rakyat untuk laksanakan (diseluruh negara)," kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana tengahari tadi setelah memberikan keterangan kepada pegawai polis daripada ibu pejabat polis daerah Batu Pahat berhubung isu kain rentang provokatif.
Anwar juga berkata isu yang dibangkitkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk memberi sumbangan RM1,000 kepada setiap warga emas di Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menubuhkan kerajaan pusat juga tudak menjadi masalah besar.
"Isu ini juga tidak jadi masalah sekiranya wang negara tidak dicuri, rasuah dapat dibanteras, ketirisan tidak digunakan untuk memperkayakan segelintir kecil termasuk atas nama Melayu," jelas Anwar.