25 Jun 2010

Wahabi pada hemat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Wahabiah

Fahaman Wahabi yang tersebar di Arab Saudi dan beberapa daerah dalam dunia Islam ditaja oleh pemimpinnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ia adalah kesinambungan daripada aliran salaf yang dibawa oleh Imam Ahmad dan Ibnu Taimiyah. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab mendapat kekuatan apabila beliau bergabung dengan keluarga Ibnu Saud. Akhirnya, mereka berjaya mengambil alih kuasa di Semenanjung Arab dan membentuk kerajaan beraja Arab Saudi.

Fahaman Wahabi dengan tegasnya mengemukakan dua prinsip yang penting iaitu tauhid yang bersih dari sebarang syirik, dan menghalang sebarang bentuk bid’ah (ajaran baru). Halal dan haram diambil terus daripada sumber al-Quran dan hadis Nabi Muhammad. Sebarang perkataan sarjana Islam perlu dikaji semula, lalu mereka membuka kembali ruang mengeluarkan hukum dengan luas. Mereka menentang ziarah kubur wali-wali dan menganggap amalan ini membawa kepada syirik.


Namun, hukum berbeza apabila menziarahi kubur bagi tujuan mengambil pengajaran dan memperingati hari akhirat bukannya dengan tujuan berdoa kepada si mati atau bertawassul melalui orang yang sudah mati. Semasa mereka menguasai Mekah dan Madinah, mereka bertindak merobohkan bangunan-bangunan yang didirikan atas kubur-kubur para sahabat, para tabi’in dan tempat-tempat bersejarah yang dipuja secara melulu.

Mereka menentang perayaan seperti maulid (sambutan hari lahir) dan sebagainya yang tidak ada pada zaman Nabi Muhammad dan mengemukakan beberapa pendapat yang lebih keras daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Taimiyah. Fahaman ini disokong oleh gerakan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir, Syeikh Abdul Hamid bin Badis di Algeria, Syeikh Ahmad di Punjabi, India dan beberapa tempat lagi dunia Islam.

KESIMPULAN MAZHAB AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Kesemua mereka yang disebut di atas adalah daripada golongan Ahli Sunnah wal Jamaah. Walaupun terdapat pertelingkahan dan perselisihan yang keras dan tajam antara satu sama lain, namun pertelingkahan itu tidak tersasar daripada dasar-dasar akidah. Walau bagaimanapun, ia boleh membawa kesan-kesan buruk dalam hubungan sesama umat Islam. Perselisihan pendapat dan pentafsiran itu adalah perbezaan fahaman dalam mentafsirkan teks yang sama dan kadang-kadang kerana perbezaan masa dan tempat serta cabaran yang dihadapi dan keperluan hujah bagi menghadapi cabaran luaran.

Dengan kemudahan sumber-sumber rujukan dan hubungan yang ada pada zaman ini menghidupkan semula persefahaman sesama aliran. Pada masa yang sama ia tidak dihabiskan dengan pertelingkahan sesama sendiri tetapi lebih memberi tumpuan bagi menghadapi masalah pokok yang melanda umat Islam dan menentang musuh yang sebenarnya.

Kuliah Jumaat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
10 November 2006

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons