27 Jun 2010

Sifat ulama’ penegak kebenaran


Oleh Mohd Hariri Mohamad Daud

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Muliakanlah ulama kerana sesungguhnya mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang memuliakan ulama sesungguhnya mereka memuliakan Allah dan Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Iman Khatib dari Jabir)

Ulama adalah golongan yang menguasai dan memahami secara terperinci ilmu teras Islam serta memahami Islam seperti yang difahami generasi para sahabat dan mereka mampu menyelesaikan masalah berkaitan perkara agama. Definisi ini diberikan Abdul Karim Khatib dalam kitabnya Tafsir Al qurani lil Quran.

Imam Muhammad bin Ahmad Qurtubi dalam tesisnya Jami’ Liahkam al-Quran pula menyebut, golongan ulama adalah manusia yang takut kepada kudrat Allah.


Al-Quran secara tegas menjelaskan ketinggian martabat golongan ulama antaranya perintah Allah supaya manusia memberikan ketaatan kepada mereka dalam firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman taatilah Allah, taatilah rasul dan orang yang memerintah urusan kamu (ulil amri).” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Ibnu Abbas dan Imam Ibnu Qayyim berpendapat maksud (ulil amri) pada ayat ini ialah ahli fikah dan ahli agama (ulama).

Istilah ulama disebut dua tempat dalam al-Quran, pertama, dalam firman Allah yang bermaksud: “Tidakkah mereka yang musyrik sedar akan kebenaran dan tidaklah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendeta agama Bani Israel mengetahui kebenaran al-Quran.” (Surah Asy-Syuara’, ayat 197)

Kedua, firman Allah bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada kalangan hamba-Nya hanya orang yang berilmu, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun.” (Surah Fathir, ayat 28)

Imam Muhammad Ar Razi Fakhruddin mentafsirkan ayat surah Faathir, menyebut sesungguhnya orang alim lebih tinggi darjatnya daripada ‘abid (ahli ibadah). Kemuliaan seseorang itu terletak kepada ketakwaan kepada Allah dan ketakwaan itu datang melalui ilmu yang benar.

Ketinggian dan kemuliaan kedudukan seorang ulama ialah penguasaan ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Mereka juga cermin dan pemimpin umat menegakkan agama Allah, tegas menegakkan yang hak dan menyanggah perkara batil yakni bertentangan dasar agama.

Ulama sumber rujukan umat menetapkan sesuatu hukum. Tanpa ulama seluruh umat manusia akan menghadapi kesukaran apabila berdepan persoalan yang memerlukan penyelesaian hukum. Selain itu, ketinggian ilmu ulama mencerminkan ketakwaan kepada Allah.

Said Hawwa dalam kitabnya ‘al-Assasu fi-Tafsir (1985) mengupas pendapat Ibnu Mas’ud yang menyatakan ulama bukanlah semata-mata orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi juga orang yang ‘khasyyah’ (takut dan cinta yang tinggi) kepada Allah.

Pada zaman keagungan Islam, peranan dan komitmen ulama sangat luas merangkumi pelbagai aspek kehidupan. Selain pakar dalam bidang akhlak, akidah dan syariah, mereka juga cendekiawan serta ilmuwan yang tiada tolok bandingnya dalam bidang sains dan teknologi.

Wujudkah apa yang disebut ulama jahat? Rasulullah menyebut dalam hadisnya bahawa ada orang yang berilmu, mengetahui halal haram, mengetahui hak dan batil, memahami al-Quran serta al-Hadis tetapi sanggup mencampur-adukkan perkara hak dengan batil.

Inilah dikatakan ulama yang menyeleweng. Rasulullah pernah ditanya seorang sahabat, “Apakah amal perbuatan yang paling utama? Baginda menjawab: Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu jika kamu melakukan kesalahan. Sahabat berkenaan bertanya lagi: Manusia yang bagaimana yang paling buruk? Baginda menjawab: Ulama yang selalu membuat kerosakan.” (Hadis riwayat Jamaah)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rosaknya agama disebabkan tiga perkara iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh tetapi mahu berijtihad.” (Hadis riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons