10 Mei 2010

Mesra Alam...


Manusia diciptakan Allah untuk menghuni alam semesta ini, sekali gus bertindak sebagai khalifah-Nya untuk mentadbir dan memelihara kesejahteraan alam yang terbentang luas ini. Untuk itu, manusia telah dilengkapkan Allah dengan sumber wahyu Ilahi, kelebihan akal fikiran dan juga sumber alam sekeliling supaya manusia dapat menelusuri jambatan hidup yang penuh liku ini dengan jayanya.

Perlu diinsafi bahawa penciptaan alam semesta yang terbentang luas ini juga adalah sebahagian daripada wasilah atau medium yang akan mendekatkan diri seseorang kepada Allah selain daripada sumber wahyu dan akal manusia. Alam ini sebenarnya diciptakan Allah untuk memberi khidmat dan manfaat bagi kemudahan umat manusia sejagat. Walau bagaimanapun, di sebalik kejadian alam ini terdapat pelbagai rahsia dan khazanah yang sewajarnya disingkap serta didedahkan oleh manusia sebagai satu peringatan dan pengajaran yang berguna. Oleh itu, tidak dapat tidak kajian mendalam, pemerhatian yang jitu dan berfikir tentang fenomena alam ini perlu dikerah dan dipergiatkan dalam usaha untuk menimba pengetahuan, maklumat dan jawapan yang terpendam di dalamnya.


Justeru, di dalam al-Quran, terdapat banyak rangkaian ayat suci yang menyeru umat manusia supaya memerhati, merenung dan memikirkan tentang kejadian-kejadian dan fenomena-fenomena yang berlaku di sekeliling alam ini. Namun, yang pastinya kesemua hakikat tersebut sebenarnya merupakan antara tanda-tanda tentang kewujudan Pencipta Yang Maha Agung. Ini dapat dilihat melalui firman Allah yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya. (Surah Yunus, ayat 101)

Berdasarkan kepada maksud ayat suci di atas, jelas bahawa Allah menyeru umat manusia supaya melihat dan memerhati apa yang terdapat di langit dan di bumi. Seruan tersebut diisytiharkan Allah kepada umat manusia seluruhnya supaya mereka dapat mengetahui akan kebesaran Allah dan juga mengakui akan kewujudan-Nya sebagai Pencipta Yang Maha Esa di alam semesta ini.

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Surah Ali Imran, ayat 190)

Ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa Allah mencipta segala kejadian alam ini selain daripada untuk kepentingan umat manusia sejagat, malah turut bertujuan untuk mengajak manusia supaya dapat berfikir dan mengambil iktibar tentangnya. Oleh itu, hanya orang-orang yang berfikiran waras dan matang sahaja yang akan mengemukakan berbagai-bagai pertanyaan tentang kejadian yang berlaku dalam alam ini dan akhirnya jawapan hanya akan menjelma apabila manusia menggunakan akalnya untuk memikirkannya.

Sejak kebelakangan ini, kejadian banjir kilat, tanah runtuh, tsunami, kemarau, hujan lebat dan lain-lain lagi musibah telah mewarnai pentas kehidupan manusia. Akibatnya, bencana yang berlaku telah menyebabkan kemusnahan tempat tinggal di samping telah meragut beberapa nyawa manusia. Justeru, umat manusia merasa betapa pedihnya berhadapan dengan bencana alam yang menimpa sehingga kadang-kadang timbul persoalan mengapa alam ini sudah tidak lagi mesra bagi umat manusia.

Sehubungan itu, Allah telah menegaskan melalui firman-Nya yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Surah al-Rum, ayat 41)

Jelas di sini bahawa semua bencana alam dan musibah yang menimpa adalah berpunca daripada kesilapan dan kesalahan manusia itu sendiri. Bukannya alam yang menjadi punca kepada semua bencana tersebut. Bukan pula hujan yang bersalah yang menyebabkan berlakunya banjir yang besar dan jangan pula disalahkan pada angin yang menderu.

Sebaliknya, jika diselidiki secara mendalam bahawa semua bencana alam yang berlaku pada hakikatnya adalah kerana perbuatan manusia sendiri. Manusia dewasa ini sudah tidak lagi mesra alam. Sungai di seluruh Malaysia kini sudah tercemar teruk akibat perbuatan manusia yang gemar membuang sampah sembarangan dan juga kilang-kilang yang turut membuang sisa-sisa toksik ke dalam air sungai, dan akhirnya menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada pencemaran sungai dan juga berlakunya banjir di kawasan terbabit.

Begitu juga bukit bukau dan hutan hijau yang menjadi penyeri alam semesta kini telah hilang serinya kerana manusia begitu rakus menggondol bukit bukau sehingga menjadi rata demi pembangunan dan mengaut keuntungan segera manakala pokok-pokok yang merimbun akhirnya tumbang kerana pembalakan haram yang semakin berleluasa oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Akibatnya, berlakulah tanah runtuh dan banjir besar kerana tidak ada lagi bukit yang mampu menadah dan menyerap air hujan dan tidak ada lagi pokok-pokok yang mengukuhkan lagi kedudukan tanah di bumi. Pendek kata, manusia sudah tidak lagi mesra dan mencintai alam sekitar yang dikurniakan Allah untuk maslahah kehidupan manusia.

Oleh itu, sudah menjadi kewajipan setiap manusia untuk memelihara dan menjadi mesra alam. Alam semesta ciptaan Allah ini telah dihiaskan indah dengan kelengkapan dan prasarana kemudahan yang tiada tolok bandingnya dengan bentuk buminya yang mendatar, dipancarkan pula air dari bumi agar tumbuh-tumbuhan dan haiwan dapat membiak dan meneruskan perjuangan hidup yang masih jauh. Allah berfirman maksudnya: Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), Dia mengeluarkan dari bumi itu airnya dan tumbuh-tumbuhannya. Dan gunung ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi sebagai pancang pasak yang menetapnya); (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (Surah al-Nazi’at, ayat 30 - 33)

Demikianlah antara kejadian-kejadian alam yang diciptakan Allah yang sewajarnya menjadi objek kajian penyelidikan, pemerhatian dan bahan berfikir setiap individu yang mengakui dirinya beriman kepada Allah supaya dia dapat mendekatkan dirinya kepada matlamat sebenar penciptanya iaitu beribadat kepada Allah. Dengan kesepaduan antara wahyu, akal dan alam semesta akan memantapkan lagi keyakinan seseorang mukmin akan kebesaran Ilahi di samping bertanggungjawab untuk memelihara dan mencintai alam semesta untuk mencipta kehidupan yang harmoni, meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan sejati di akhirat.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons