18 Mei 2010

Cara Islam selesai masalah masyarakat


Islam tangani kemelut sosial

Keluarga ialah institusi penting yang menjadi teras dan tunjang pengukuhan sesebuah masyarakat.

Umpama tiang penegak sebuah rumah, andai goyah tiang, sekilas dilanda badai pasti rumah bukan sahaja tersungkur tetapi akan musnah. Sementelah punah keluarga, berkecailah nusa dan bangsa!

Gejala sosial, termasuk penagihan najis dadah, minum arak, sumbang mahram, zina, keganasan rumah tangga serta pembuangan bayi yang semakin banyak dilaporkan tidak mustahil bertukar menjadi lumrah kehidupan masyarakat akhir zaman jika ia tidak ditangani dengan bijak mulai dari sekarang.


Justeru, di tengah-tengah fenomena yang dibimbangi akan terus mencemar kesucian institusi keluarga Islam negara, pendekatan agama dilihat sebagai jalan terbaik untuk menangani kemelut gejala sosial sebelum ‘retak menjadi belah’ dan ‘sebelum nasi menjadi bubur’.

Fahami Islam

“Umat Islam perlu diberi kefahaman apa dia Islam sebenarnya. Kita dulu faham Islam sebagai Ad’din, iaitu cara hidup tetapi perlu sedar ia meliputi pelbagai aspek bukan solat dan puasa sahaja.

“Ada orang bersolat tetapi dia tidak faham falsafah solat dan apa matlamat solat. Hal sama dengan puasa dan haji.

“Begitu juga membaca al-Quran. Kita membaca bertaranum, bertajwid lepas itu menghafal tetapi kita tidak mengkaji Quran untuk mengambil panduan daripadanya,” demikian menurut Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan di pejabat Ikim di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyusun masyarakat

Nik Mustapha menekankan bahawa agama Islam sebenarnya berperanan menyusun kehidupan manusia baik di peringkat individu dan masyarakat.

Beliau berkata, pada dasarnya dalam organisasi masyarakat, apa yang diperlukan ialah mewujudkan sebuah masyarakat yang berperadaban, serba berkemajuan, hidupnya aman serta mendukung keluhuran undang-undang.

“Bayangkan jika tidak ada peraturan jalan raya, jika lampu trafik rosak, huru-hara akan berlaku. .

“Dalam masa sama hidup kita mesti ada keceriaan, hobi, rekreasi kerana semuanya itu ialah sebahagian daripada keperluan hidup. Kalau kita memahami semuanya itu, barulah nampak hidup ini luas dan semua aspek kehidupan itu agama,” katanya.

Kemelut peradaban

Kemelut yang mengacau-bilaukan masyarakat hari ini lebih kepada kemelut peradaban bukan kemelut ekonomi, demikian pandangan Nik Mustapha.

Beliau merujuk kepada keadaan ekonomi Barat yang disandarkan kepada ideologi yang bercanggah dengan tabiat kemanusiaan, kehidupan masyarakat yang menganjurkan kepada kewujudan masyarakat yang permissive, bebas tanpa institusi keluarga yang sempurna.

“Macam mana tamadun Barat tak runtuh. Kehidupan mereka banyak kepincangan, perkahwinan mereka tolak. Berkahwin tidak mempunyai erti bagi mereka kerana kalau pun berkahwin, ada pasangan masih mengamalkan pergaulan bebas dengan lelaki atau perempuan lain.

“Akhirnya ramai memilih untuk bersekedudukan, tidak ada ikatan perkahwinan,” kata Nik Mustapha.

Menurutnya, umat Islam perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di dunia Barat dan membina kembali peradaban baru dengan meningkatkan kefahaman terhadap Islam.

Menjadi rapuh

Tekanan hidup dilihat sebagai antara faktor institusi keluarga menjadi rapuh. Tekanan hidup juga mendorong sesetengah orang membunuh diri!

Penghuni kota metropolitan Kuala Lumpur umpamanya bergelut dengan tekanan hidup amat hebat. Kos sara hidup begitu tinggi memaksa sesetengah warga kota terutama yang berpendapatan rendah melakukan lebih satu pekerjaan.

“Lepas balik jam 5, keluar balik kerja lagi sampai jauh malam semata-mata untuk membiayai keperluan hidup dan isteri juga turut terpaksa keluar bekerja. Di mana masa untuk anak-anak?

“Kita bercakap tentang kemuliaan hidup dunia dan akhirat. Macam mana hendak mulia kalau nak makan pun tak ada, hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kemuliaan di dunia termasuk aspek ekonomi,” kata Nik Mustapha.

Beliau turut menyentuh aspek keselamatan banyak menggugat kesejahteraan hidup masyarakat hari ini.

“Mengapa berlaku ragut? Sebab tak ada kerja. Jadi kena fikir. Sebab itu dalam Islam harta mesti mengalir. Dasar Kewangan mesti mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan menghapuskan kemiskinan. Sistem pendidikan juga perlu mampu menambah nilai kepada pekerjaan seseorang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan sistem penyusunan masyarakat yang tidak bersandarkan kepada nilai keadilan dan kasih sayang akan lahirkan kepincangan.

“Di sinilah pentingnya institusi keluarga yang akan mempengaruhi kelakuan dan penyusunan sesebuah masyarakat,” katanya. – Bernama

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons