22 April 2010

Suasana Alam Akhirat (48) - Surah Al-Mutaffifin

Hayatilah bacaan surah ini


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum. Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.

Hari ini dituliskan tentang suasana hari akhirat yang digambarkan dalam surah 83 yakni al-Muthaffifin (orang-orang yang curang/menipu dalam timbangan dan sukatan) mulai ayat 1 hingga 21.


Dalam tafsir Ibnu Katsir dan Ahmad Sonhadji, sebabnya ayat ini diturunkan ialah semasa Nabi Muhammad saw sampai di Madinah didapati orang2 Madinah menyukat dan menimbang dengan cara yang amat buruk. Salah seorang peniaga yang bernama Abu Juhainah mempunyai dua jenis alat sukatan dan alat timbangan, satu besar dan satu lagi kecil. Jika menyukat barangan untuk dibeli oleh dirinya sendiri daripada orang lain dia gunakan sukatan yang besar, sebaliknya jika dia menjual barangannya kepada orang lain digunakan timbangan yang kecil. Jadi dengan ini dia yang mendapat untung manakala orang lain yang berurus niaga dengannya mendapat kerugian.

Dalam ayat pertama ada perkataan al-muthaffifin. Kalimah itu berasal daripada kata akar thaffafa yang bermaksud mengurangi atau menambah.

Oleh itu Allah menurunkan ayat-ayat ini sebagai peraturan dalam proses jual beli atau urus niaga sesama manusia.

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), (1) Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) daripada orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, (2) Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi. (3) Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)? (4) Pada hari (kiamat) yang amat agung/ besar (huru-haranya), (5) Hari berdiri manusia untuk menghadap Tuhan sekalian alam? (6)




Allah mengancam dengan kecelakaan besar (Neraka Wail) yang amat panas kerana cara mereka berniaga seperti di atas tadi adalah tidak betul. Allah mengingatkan mereka bahawa mereka akan dibangkitkan semula pada hari akhirat dan akan mendapat balasan atas apa yang mereka kerjakan. Di Padang Mahsyar nanti mereka akan merasa panas teriknya matahari jarak sejengkal di atas kepala, manakala peluh mengikut kadar amalan masing-masing, ada yang sampai ke buku lali, ada yang sampai ke lutut dan ada pula sampai ke lubang hidung. Demikianlah dahsyatnya hari kiamat, dan inilah yang dinamakan yaumul 'Adzim (hari yang agung/besar)(1-6)

Tidak sepatutnya (mereka melakukan perbuatan yang salah itu dan melalaikan hari akhirat)! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berdosa itu (didaftarkan) dalam "Sijjiin". (7) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: Apa dia "Sijjiin" itu, (8) Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata, (yang menghimpunkan amalan orang-orang yang berdosa). (9)

Allah mengingatkan bahawa perbuatan menipu dalam perniagaan seperti ini adalah perbuatan yang derhaka kepada Allah swt. Oleh itu janganlah dilakukan. Amalan menipu ini akan dicatatkan ke dalam kitab yang disimpan di tempat yang diberi nama "sijjin". Sijjin ini terambil daripada kata as-sijn yang bererti tempat yang sempit. Kitab ini mencatat segala amalan buruk manusia yang derhaka. (7-9)

Perintah menyuruh menyukat dan menimbang dengan adil ini juga disebut dalam ayat 35 surah al-Isra'.

"Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik-baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). (Al-Isra' [17] : 35)

Dalam surah al-An'am juga Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu) dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya). (Al-An'am [6] : 152)

Dinyatakan dalam tafsir Ibnu Katsir bahawa Allah swt telah membinasakan kaum Nabi Syu'aib dan menghancurkan mereka kerana telah menipu dalam hal timbangan dan sukatan.

Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan. (10) Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan. (11)

Sungguh dahsyat siksa terhadap orang-orang yang derhaka ini iaitu orang-orang yang mendustakan adanya Hari Pembalasan, lebih-lebih lagi orang-orang yang tidak menghiraukan langsung tanggugjawabnya terhadap agama. (10 - 11)

Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka! (12) (Sehingga) apabila dia dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berkata: Ini ialah dongeng orang-orang dahulu kala! (13) Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. (14) Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya. (15)

Orang-orang yang mendustakan hari kiamat ini adalah orang-orang yang engkar lagi sesat. Mereka banyak melakukan maksiat dan dosa. Apabila dibacakan ayat-ayat dan keterangan kepada mereka, mereka akan mengatakan bahawa itu adalah dongengan semata-mata. Allah mengingatkan bahawa al-Quran bukanlah dongengan tetapi disebabkan perangai mereka itu amat buruk, terbit daripada hati mereka yang telah berkarat dan mati disebabkan banyak melakukan dosa, mereka tidak lagi dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Allah mengingatkan, janganlah engkar dan melakukan perkara-perkara yang dilarang, kelak di akhirat tidak akan mendapat rahmat dan keredhaan Allah. (12-15)

Kemudian, sesungguhnya mereka akan menderita bakaran Neraka. (16) Akhirnya dikatakan (kepada mereka): Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu. (17)
Orang-orang yang tidak mendapat keredhaan Alah swt ini kaan dimasukkan ke dalam neraka. Dan mereka akan menderita dengan siksa bakaran api yang amat dahsyat. Dan malaikat akan mengatakan kepada mereka; "Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu". (16-17)

Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam "Illiyyiin". (18) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Illiyyiin" itu? (19) Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata, (20) Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya. (21)

Amalan orang-orang yang yang taat melakukan amal soleh (Abrar) dicatat ke dalam kitab yang tersimpan di tempat "Illiyyin" yakni berlawanan dengan kitab bagi orang-orang yang derhaka iaitu kitab yang tercatat amalan ahli Abrar. Kata "Illiyyin" ini terambil daripada kata al-'uluww iaitu setiap yang semakin naik dan meninggi akan semakin besar dan luas. Kitab ini disaksikan oleh malaiakat yang hampir dengan Allah.

InsyaAllah sambung lagi untuk ayat 22 hingga akhir surah.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons