15 April 2010

Makan dan Minum Bersama Syaitan !


Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis bahawa Muhammad ibn 'Ubayd telah menceritakan kepada kami, 'Abdullah ibn Umar telah menceritakan kepada kami daripada Nafi' daripada Ibn 'Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Janganlah kamu makan dan minum menggunakan tangan kiri kerana syaitan makan dan minum menggunakan tangan kiri." (HR. Imam Ahmad)

Imam Ahmad meriwayatkan melalui hadis Ismail ibn Abu Hakim daripada Urwah daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang makan menggunakan tangan kiri, sesungguhnya dia makan bersama syaitan. Barangsiapa minum dengan menggunakan tangan kiri, sesungguhnya dia juga minum bersama syaitan." (HR. Imam Ahmad)


Imam Ahmad berkata bahawa Muhammad ibn Jaafar telah menceritakan kepada kami, Shu'bah relah memberitahu kepada kami daripada Abu Ziyad al-Tahan yang mendengar Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa beliau telah mendengar daripada Nabi SAW bahawa, "Baginda telah melihat seorang lelaki yang minum sambil berdiri. Lalu baginda menegur lelaki itu dengan bersabda, "Awas!" "Kenapa?", tanya lelaki itu dengan nada terkejut. Nabi SAW menjawab, "Adakah engkau suka jika engkau minum dengan seekor kucing betina?" "Tidak," jawabnya. Sambung Nabi SAW lagi, "Sesungguhnya ketika kamu minum tadi, ada makhluk yang lebih buruk daripada kucing telah minum bersama kamu iaitu syaitan." (HR. Imam Ahmad)

Imam Ahmad juga telah meriwayatkan bahawa 'Abd al-Razzaq telah menceritakan kepada kami, Ma'mar telah menceritakan kepada kami daripada al-Zuhriy daripada seorang sahabat daripada Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Jika seseorang yang minum sambil berdiri, tahu apa yang ada di dalam perutnya nescaya dia akan muntah kembali." (HR. Imam Ahmad)

Imam Ahmad berkata bahawa Musa telah menceritakan kepada kami, Ibn Lahiah telah menceritakan kepada kami daripada Ibn Zubayr bahawa beliau telah bertanya kepada Jabir, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya sendiri, lalu dia menyebut nama Allah SWT ketika dia masuk dan ketika dia makan, syaitan akan berkata (kepada kaumnya), "Kamu tidak dapat tinggal dan makan disini." Apabila lelaki itu masuk ke rumahnya tanpa membaca nama Allah SWT, syaitan akan berkata (kepada kaumnya), "Kamu dapat tinggal dan makan di sini." Jabir berkata, Ya! Benar katamu itu." (HR. Imam Ahmad)

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons