28 April 2010

Eropah kena virus Islamophobia


MELIHAT wanita Islam memakai burqa atau purdah di Belgium ialah seperti mencari kedai arak di Arab Saudi.

Namun, Belgium dijangka menjadi negara Eropah pertama menguatkuasakan pengharaman burqa dan pakaian Islam lain yang menutup sepenuhnya tubuh dan muka wanita.

Dua jirannya, Perancis dan Belanda juga mungkin menguatkuasakan larangan sama.

“Terdapat sokongan daripada semua pihak awam mengenai larangan ini,” kata ahli Parlimen Belgium, Leen Dierick.

Dierick adalah antara ahli jawatankuasa Hal Ehwal Dalaman Belgium yang menyokong cadangan pengharaman burqa pada 31 Mac lalu.


Inisiatif itu dijangka diluluskan pada Julai ini dan akan dilaksanakan di semua tempat awam, termasuk di jalanan.

Simbol-simbol Islam membimbangkan masyarakat Eropah yang mendakwa ia mengikis identiti kebangsaan.

Ini diburukkan lagi dengan aduan bahawa penduduk imigran merompak peluang pekerjaan rakyat tempatan ketika banyak negara Eropah dilanda kemelesetan ekonomi terburuk.

Ancaman ke atas beberapa kartunis dan artis berhubung penyiaran lukisan Nabi Muhammad SAW juga dianggap membimbangkan dan tidak menepati nilai-nilai Barat yang menyanjung kebebasan bersuara.

Baru-baru ini, rakyat Switzerland mengundi untuk mengharamkan pembinaan menara masjid.

Sejak kebelakangan ini, projek-projek pembinaan menara azan dan masjid di kebanyakan negara Eropah, termasuk Switzerland, Perancis, Itali, Austria, Greek, Jerman dan Slovenia mengundang bantahan daripada penduduk tempatan.

Lebih parah, sesetengah bantahan tersebut berakhir dengan rusuhan sama ada di pihak penyokong atau penentang.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy adalah antara pemimpin Eropah yang cenderung menyokong larangan pemakaian burqa.

Beliau berpendapat pakaian hijab merendahkan maruah kaum wanita.

Situasi dihadapi Perancis berbeza dengan Belgium dan Denmark yang jelas mengaitkan isu tersebut dengan keselamatan awam.

Belgium ketika ini menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan di bandar-bandar negara itu untuk menguatkuasakan larangan burqa.

“Penguatkuasaan dilakukan kerajaan tempatan berbeza-beza. Ia berkaitan keselamatan awam iaitu keperluan menunjukkan muka di tempat awam. Ini tiada kaitan dengan kebebasan agama,” kata Dierick.

Larangan burqa dikemukakan Belgium itu menjelaskan pandangan sebenar ahli-ahli politik di seluruh Eropah berhubung sikap dan dasar mereka terhadap kelompok imigran dan minoriti, terutamanya penduduk Islam.

Seorang ahli Parlimen Belgium, Filip Dewinter berkata, ahli politik arus perdana menyokong larangan burqa kerana bimbang sokongan rakyat beralih kepada parti haluan kanan, Flemish Interest yang kini menguasai 17 daripada 150 kerusi Parlimen.

“Kami adalah kumpulan pertama yang mencadangkan pengharaman burqa. Kini, Parlimen mengundi untuk menguatkuasakan larangan itu yang dirangka oleh parti konservatif kerajaan,” katanya.

Pelajar dan editor laman web Islam Belanda, ‘We’re Staying Here’, Umar Mirza berkata, sentimen terhadap penganut Islam dan imigran di Belanda kini semakin buruk sepanjang 10 tahun lalu.

“Usaha mengetepikan pandangan penganut Islam terlalu kuat berbanding menumpukan kepada penyelesaian,” katanya.

Aktivis pertubuhan hak asasi wanita, Maryam H’madoun berkata, mengharamkan burqa di Belgium sangat mudah kerana majoriti wanita Islam di negara ini tidak memakainya.

Pada tahun lalu, pihak berkuasa bandar raya Brussels mendenda 29 wanita kerana memakai pakaian jenis burqa.

Pihak berkuasa tempatan sudah lama melarang burqa tetapi undang-undang baru akan menguatkuasakan larangan tersebut di peringkat kebangsaan.

Pada Januari lalu, kerajaan Denmark mengeluarkan kenyataan mendakwa burqa dan niqab bertentangan dengan nilai-nilai negara itu.

Bagaimanapun, Copenhagen menangguhkan larangan tersebut selepas mendapati hanya segelintir daripada 5.5 juta penduduk Denmark yang memakai burqa.

Mereka yang memakai niqab pula dianggarkan sekitar 200 orang.

Naib Presiden Eksekutif Islam Belgium, Isabelle Praile berkata, penganut Islam menghadapi persepsi negatif akibat cubaan kerajaan untuk menguatkuasakan larangan burqa.

“Ia memberi gambaran mengenai ketakutan terhadap mereka yang menganut Islam. Ini adalah Islamophobia,” katanya.

Menurutnya, isu-isu ekonomi, kos sara hidup dan perumahan adalah perkara yang perlu ditekankan berbanding pengharaman burqa.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons