Muhamad bin Abdullah Putra Heights
Sabtu 10 Jamadil Awal 1431/ 24 April 2010 jam 8.45 pagi
Semua mannusia tidak lepas dari ujian. Bezanya, adalah bentuk ujian itu, kesamaannya ialah, semua ujian itu menyempitkan hati.
Di dalam al-Quran Allah menyatakan bahawa:-
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Surah al-ankabut ayat 2-3
Hari ini, Khamis 22 April 2010,jam 2-5 saya menyempurnakan rakaman program “Tanyalah Ustaz” di Sri Pentas bertajuk “Dugaan Ilahi”
Bersama saya kala ini ialah para Muslimah dari Gombak yang menjadi penonton di Studio.
Di dalam al-Quran, terdapat 10 jenis ujian yang Allah berikan kepada manusia. Kita kongsikan isi penting bagi perbincangan kita kali ini.
Ujian-ujian yang Allah kenakan kepada manusia.
1. Ujian Bencana (al-Baqarah ayat 214)
2. Ujian Sakit (al-Baqarah ayat 214)
3. Ujian Kemiskinan (al-Baqarah ayat 115)
4. Ujian Kesenangan (al-Zumar ayat 49)
5. Ujian Kehilangan (Saad ayat 34)
6. Ujian Di Datangkan Orang Menzalimi Dan Menganiyai (al-Baqarah ayat 49)
7. Ujian Tarikan Maksiat (Surah Taha ayat 85)
8. Ujian Ketaatan Pada Perintah Allah (Surah al-Saffat ayat 106)
9. Ujian Dianugerahkan Kelebihan (Surah Dukkan ayat 33)
10. Ujian Hati (Surah al-Anfal ayat 28)
Sepuluh ujian ini adalah untuk Allah lihat, adakah kita ingin tangani segala ujian susah dan senang ini selaras dengan apa yang diajarkan oleh Allah pada kita.
Sesungguhnya, jangan kita angan-angankan kita akan dapat masuk ke syurga sebelum Allah datangkan ujian kepada kita. Dalam al-Quran Allah nyatakan bahawa:-
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (gempa)
Surah al-Baqarah ayat 214
Dan satu yang perlu kita yakini bahawa, Allah tidak meletakkan sesuatu ujian yang tidak sanggup kita tanggung.
Setiap ujian adalah sesuai dengan diri kita. Dan minta Allah untuk Dia memberika jalan keluar pada segala permasalahan kita. Kerana, hanya Dia yang dapat memberikan kita jalan keluar pada segala permasalahan hidup kita.
Firman Allah:-
Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar (bagi segala permasalahannya) - Surah al-Talaq ayat 2
“Ilmu Pelita Hidup”
Al-faqir Ila Rabbihi