18 April 2010

Bersekedudukan punca gejala sosial


Oleh ZUHAYATI YAZID

SEJAK akhir-akhir ini saban hari masyarakat disajikan dengan segala macam laporan mengenai kebejatan sosial di kalangan anak muda sehingga tercetus pelbagai polemik dan konflik. Penagihan dadah, pergaulan bebas, seks luar nikah, buang bayi dan sebagainya merupakan sebahagian daripada natijah daripada kemusnahan akhlak sebilangan golongan muda ini.

Satu lagi gejala yang semakin menular ialah bersekedudukkan iaitu pasangan kekasih yang tinggal serumah tanpa sebarang ikatan yang sah sehingga melahirkan anak-anak luar nikah.


Gejala-gejala ini seolah-olah menggambarkan masyarakat hari ini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal dan batas-batas agama dalam membuat sebarang tindakan.

Ramai yang berasa cemas kerana impak yang ditinggalkan bagaikan suatu kerosakan yang sukar untuk dibaik pulih.

Terbukti apabila Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim baru-baru ini mendedahkan bahawa jumlah anak tidak sah taraf yang didaftarkan meningkat kepada 17,303 di seluruh negara sepanjang tahun lalu iaitu purata 47 orang sehari.

Bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun 2008 seramai 16,541 manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Angka tersebut meliputi anak-anak yang lahir di luar perkahwinan atau anak luar nikah.

Sebab itu dalam situasi ini Islam memandang berat kesalahan zina sebagai antara dosa besar kerana ia mendatangkan pelbagai keburukan.

Kesannya ditanggung dalam tempoh lama, sedangkan nikmatnya sekejap. Angka tersebut juga bagaikan memberi ‘isyarat’ kepada masyarakat keseluruhan bahawa ia bukan isu yang harus dipandang ringan. .

Gejala sosial adalah suatu gejala yang telah mengakibatkan berlakunya ketidaktentuan sistem kemajuan dan ketamadunan sesebuah negara.

Ketua Wanita Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Harlina Halizah Siraj, tidak menolak bahawa peningkatan angka tersebut hasil daripada gejala bersekedudukkan yang kini semakin berleluasa di kalangan masyarakat terutama golongan muda.

Malah ada antara pasangan melakukan tanpa segan silu seakan tidak takut dengan hukuman atau balasan terhadap perbuatan keji itu.

Namun jelasnya, mereka yang berbuat sedemikian sebenarnya tidak berfikir panjang sebaliknya hanya mahu menikmati keseronokan semata-mata.

Mereka sanggup berbuat apa saja asalkan kenikmatan duniawi dicapai tanpa memikirkan kesan dan akibat perbuatan tersebut.

Dalam hal ini, golongan tersebut perlu membuat penilaian kesan daripada perbuatan mereka itu.

”Sekiranya melahirkan anak luar nikah, keadaan ini menjadi lebih parah memandangkan status anak yang dilahirkan itu tidak mendapat sah taraf menyebabkan hak anak itu dinafikan,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya lagi, tindakan tersebut akan menyebabkan anak yang dilahirkan akan berasa rendah diri dan sekali gus menjejaskan kehormatan diri anak tersebut.

“Hal ini akan menyebabkan anak berkenaan berasa dirinya dipandang hina oleh masyarakat ekoran kesilapan ibu bapa mereka sedangkan anak itu sendiri tidak bersalah,” ujarnya lagi.

Menjelaskan lagi isu berkenaan, Dr Harlina memberitahu, pasangan yang tinggal bersama tanpa ikatan perkahwinan ini sebenarnya tidak mampu merasai nikmat sebenarnya bahagia berumah tangga.

”Mungkin pada fizikal mereka nampak bahagia namun hakikatnya mereka tidak boleh menandingi kebahagiaan yang hakiki seperti dalam perkahwinan yang sah.

“Malah wujud perasaan kurang selesa pada diri masing-masing ekoran tindakan salah yang mereka lakukan,” katanya.

Katanya, Islam adalah agama yang adil dan memberikan kemudahan kepada penganutnya.

Restu

”Sekiranya mereka tidak boleh berkahwin secara normal kerana sebab tertentu seperti tidak mendapat restu oleh ibu bapa, tidak mencapai had umur yang sewajarnya atau sebagainya, kita mempunyai tempat yang boleh memberi nasihat untuk berkahwin secara sah,” katanya.

Yang penting tegasnya, mestilah berkahwin secara sah dan berdaftar.

Tegasnya lagi, Allah SWT menjadikan kehidupan manusia di dunia ini berpasangan lelaki dan perempuan bermula daripada Nabi Adam dan Hawa lagi.

”Undang-undang yang tertua sekali bagi manusia adalah undang-undang perkahwinan dan kekeluargaan. Undang-undang ini berkembang. Ia memberi dasar yang mesti dipatuhi oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat,” katanya.

Menjelaskan lagi, Dr. Harlina berkata, dalam perkahwinan ada tiga perkara penting yang harus dititik beratkan iaitu kasih sayang, hubungan suami isteri dan juga komitmen.

Pasangan yang tinggal bersama tanpa sebarang ikatan yang sah sebenarnya mahukan keseronokan semata-mata tanpa mahu memikul tanggungjawab serta komitmen.

Beliau memberitahu, dalam al-Quran sendiri telah menjelaskan umatnya yang berkahwin akan dibukakan pintu rezeki terhadapnya.

Malah jiwa akan menjadi lebih tenang daripada hanya berlakon menjadi suami isteri.

Sementara itu, Kaunselor di Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Noraniza Mohd. Noor berkata, jika gadis atau wanita tersebut bertegas demi maruah dirinya permasalahan ini mampu diatasi.

”Biarpun wanita dilahirkan lemah namun tidak seharusnya mereka mengikut segala kehendak dan telunjuk lelaki demi membuktikan rasa cinta dan kasih terhadap seseorang,” tegasnya.

Bagaimanapun beliau yang juga pensyarah di institusi tersebut memberitahu, tindakan yang tidak bermaruah dengan bersekedudukkan bersama seorang bukan muhrim itu hanyalah merugikan masa sahaja.

”Bukan sekadar merugikan masa tetapi hidup juga tidak diredai oleh Allah, malah dosa pasangan bersekedudukkan turut ditanggung ibu bapa mereka termasuk masyarakat jika membiarkan perbuatan terkutuk itu terus berlaku,” katanya.

Sementara itu pengamal perubatan cara Islam, Datuk Dr. Amran Kasimin pula, menjelaskan, punca utama yang menyebabkan seseorang itu terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral adalah kerana tidak ada didikan agama.

Apabila hal seperti itu berlaku, seseorang tidak akan takut kepada balasan Allah.

”Faktor utama yang boleh menyekat seseorang daripada melakukan kejahatan ialah iman yang membolehkan seseorang itu takutkan Allah.

”Dengan iman, seseorang itu akan sentiasa dalam kawalan Allah, menyebabkan segala tindak-tanduknya mempunyai sempadan yang tidak boleh dilangkaui,” katanya.

Katanya, tabiat manusia apabila dia bernafas hendak melakukan sesuatu dia akan berusaha seberapa boleh untuk melaksanakan hasratnya.

Dia boleh mengawal dirinya ketika diperhatikan, dikurung dan sebagainya.

Walaupun demikian apabila terlepas daripada kawalan, kerana lalai, ia akan bertindak lebih cepat daripada orang yang mengawal tadi.

Sebaliknya, orang yang beriman kepada Allah SWT merasakan dirinya sentiasa dalam kawalan Allah sama ada di tempat terang ataupun dalam kepekatan malam.

”Anak-anak yang tidak mempunyai didikan agama lumrahnya lahir daripada keluarga yang tidak mementingkan agama. Ini terjadi kerana keluarga itu sendiri tidak memahami keperluan agama.

”Keadaan menjadi lebih buruk apabila ketua keluarga lebih menumpukan perhatian dan menghabiskan tenaga untuk mencari nafkah. Akibat daripada sikap ibu bapa seperti ini, anak-anak akan lebih cenderung dipengaruhi oleh orang sekeliling seperti teman-teman sebaya dan sebagainya,” tegasnya lagi.

Anak-anak seperti ini merasakan bahawa diri mereka ada suatu kekosongan yang mesti dipenuhi, yang wujud pada diri setiap orang, iaitu kasih sayang.

Bagaimanapun tegasnya lagi, kes-kes keruntuhan moral yang melibatkan bersekedudukkan ini ialah kerana keberanian pasangan perempuan menerima ajakan temannya tidur bersama.

”Apabila seorang perempuan itu berani dibawa balik ke rumah lelaki di tengah malam, atau ke hotel, sama ada dengan paksaan, separuh paksa atau mungkin dengan kerelaan diri, perempuan tersebut seumpama terjebak dalam perangkap.

“Malah, mereka yang terlibat sering tunduk dengan pujuk rayu terutamanya janji-janji untuk berkahwin.

”Cara menawan pasangan perempuan melalui pujuk rayu, tipu helah dan janji-janji manis seperti inilah yang paling banyak berlaku, yang berakhir dengan persetubuhan haram ataupun zina,” katanya.



 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons