Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi dan petang, Allah akan sediakan baginya tempat dalam syurga setiap kali beliau berkunjung pada waktu pagi dan petang. (riwayat Bukhari)
Para Ahli Jawatankuasa masjid boleh memain peranan lebih mengimarahkan masjid. Untuk tujuan itu, kita perlukan penambahbaikan keseluruhan organisasi masjid. Antaranya:
1. Kepemimpinan masjid perlu diwakili sekurangnya-kurangnya seorang yang berkelayakan dan mempunyai idea-idea bernas yang boleh dipraktikkan oleh semua.
2. Menubuhkan Biro Pengimarahan Masjid untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan masjid.
3. Menubuhkan Jawatankuasa Pemantau dan Penilai aktiviti pengimarahan masjid untuk mengesan kepincangan dan kelemahan seterusnya melakukan tindakan pembetulan, penambahbaikan dan tindakan pencegahan.
4. Menyediakan prasarana, infrastruktur dan kemudahan di masjid dengan lebih menarik dan mesra-jemaah untuk penggalakkan aktiviti pengimarahan masjid.
5. Aktiviti pengimarahan masjid perlu diperbanyakkan dan lebih berfokus agar berlaku peningkatan jemaah sekali gus memeriahkan masjid.
6. Mempelbagaikan aktiviti pengimarahan masjid untuk menarik minat para remaja, belia dan golongan muda agar mendekati masjid.
7. Menjalin hubungan dan jaringan dengan agensi-agensi kerajaan dan badan berkanun serta NGO untuk sebarang aktiviti pengimarahan masjid sama ada dari sudut pengimarahan ataupun penajaan dan penganjuran bersama.
8. Memberi sokongan dan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk sebarang aktiviti pengimarahan masjid.
Masjid juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti pendidikan untuk memantapkan modal insan, pembangunan sosial, menyemarakkan semangat keusahawanan, pengumpulan dana infak dan wakaf untuk membasmi kemiskinan sama ada di peringkat kampung, daerah, wilayah dan negeri.
Masjid dapat merealisasikan agama Islam sebagai agama kesejahteraan dan keharmonian sejagat tanpa mengira darjat, keturunan dan status.
Usaha pengimarahan masjid melibatkan banyak perkara seperti aktiviti kerohanian, keagamaan, pembangunan sahsiah, kecemerlangan akademik komuniti serta pembangunan dan kemajuan agama dan masyarakat Islam setempat.
Masjid juga seharusnya dipergunakan untuk kemajuan sosial, komuniti, masyarakat dan ekonomi ummah. Imej masjid mestilah sentiasa dipelihara secara bersistematik. Inisiatif dan kreativiti diperlukan dalam menjana usaha pengimarahan masjid. Pengurusan dana dan tabung secara profesional, telus, cekap dan berintegriti agar dapat memantapkan kekuatan ekonomi ummah dan mengelakkan pergantungan kepada pihak yang tidak berkaitan.
Masjid perlu secara kolektif bersama-sama masyarakat setempat mengamalkan konsep satu masjid satu produk secara strategic alliance dengan agensi kerajaan. Bantuan agensi-agensi kerajaan lain perlu dilakukan untuk khidmat nasihat, bantuan kewangan dan seumpamanya.
Pihak berkuasa perlu mengadakan kempen besar-besaran seperti ‘Cinta Masjid’, ‘Jom ke Masjid’ dan ‘Sayang Masjid’ untuk menggalakkan kehadiran beramai-ramai ke masjid dengan kerjasama media cetak dan media elektronik.