21 Mac 2010

Perkemas fungsi Baitulmal


Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

Peristiwa penderaan dan pembunuhan kanak-kanak, mengahwini budak perempuan bawah umur dan bertambahnya penglibatan wanita Islam dalam kegiatan pelacuran merupakan gejala sosial yang perlu dikaji dan dilihat dalam perspektif lebih luas.

Faktor yang menyebabkan berlakunya gejala tersebut perlu dikaji secara teliti supaya ia dapat dibendung. Kemiskinan, perubahan corak kehidupan masyarakat Islam yang lebih mirip kepada konsep kehidupan individualistik, perhubungan kekeluargaan yang semakin tandus dan kegoncangan institusi perkahwinan merupakan faktor utama yang menyebabkan gejala sosial dan penderaan terhadap kanak-kanak semakin bertambah.


Hasil kajian yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar berkaitan pelacuran di kalangan wanita Islam jelas menunjukkan bahawa kemiskinan dan tekanan akibat kehidupan tanpa pembelaan mengheret wanita-wanita Islam ke kancah pelacuran.

Hasil temuduga dan pertemuan pelajar tersebut dengan para pelacur Islam menunjukkan bahawa 100 peratus daripada wanita yang melibatkan diri dalam pelacuran berhubung kait dengan permasalahan kewangan, tidak mempunyai latar belakang agama dan hanya mempunyai pendidikan sekolah rendah serta wanita-wanita yang kematian suami dan diceraikan tanpa mendapat sebarang nafkah untuk membiayai anak-anak.

Hasil kajian juga menunjukkan bahawa 43 peratus daripada pelacur terdiri daripada wanita kematian suami dan 83 peratus adalah wanita yang diceraikan tanpa mendapat sebarang nafkah untuk anak-anak.

Ini menunjukkan bahawa kegiatan maksiat, jenayah dan penyiksaan kanak-kanak dalam pelbagai bentuk berpunca daripada tekanan hidup yang berunsurkan kewangan. Permasalahan itu tidak akan dapat diatasi walaupun pelbagai undang-undang berkaitan dengan dosa peribadi dan jenayah diperkenalkan jika permasalahan kemiskinan dan dakwah secara komprehensif dan berkesan tidak dijadikan agenda untuk mencegah kemungkaran. Psikologi masyarakat yang miskin perlu dikaji dan difahami sebelum menunjukkan sikap penghinaan dan cemuhan.

Lumrah kehidupan manusia di dunia adalah jika perut kosong dan badan semakin terkulai, maka mereka tidak akan memikirkan tentang Tuhan. Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya, “Aku takut umatku lapar kerana kelaparan itu menyebabkan mereka kufur“. Bagi mengatasi permasalahan kemiskinan dan kelaparan, maka Islam menggariskan pelbagai perundangan berhubung kait dengan kewangan dan harta benda. Zakat dijadikan sebagai rukun Islam di mana institusi zakat merupakan sumber kewangan yang utama untuk mengatasi masalah kemiskinan dan kelaparan.

Sejarah menunjukkan bahawa umat Islam amat prihatin terhadap peranan Baitulmal dalam mengendalikan urusan kemiskinan dan kelaparan umat Islam.

Berdasarkan sabda Rasulullah SAW dan fakta sejarah, maka individu-individu yang mengendalikan urusan Baitulmal perlu bertanggungjawab memantau dan menunjukkan sikap prihatin terhadap permasalahan kemiskinan. Dalam konteks struktur pentadbiran Malaysia masa kini, usaha untuk menghapuskan kemiskinan tegar adalah tidak sukar jika dibandingkan dengan negara-negara Islam yang miskin. Sistem pentadbiran negara Malaysia lebih sistematik jika dibandingkan dengan negara Islam yang miskin.

Penubuhan institusi Baitulmal bagi pengurusan hal ehwal orang miskin hasil daripada kutipan zakat daripada umat Islam mampu untuk mengendalikan kes kemiskinan tegar di kalangan umat Islam. Kerajaan menggalakkan umat Islam supaya memotong gaji bulanan mereka untuk pembayaran zakat dan selebihnya untuk pembayaran cukai hasil pendapatan.

Baitulmal boleh dianggap sebagai agensi terpenting untuk membasmi kemiskinan jika setiap individu yang terlibat dalam agensi tersebut memahami peranan dan tugas mereka mengendalikan urusan kutipan wang zakat. Kemiskinan sepatutnya tidak wujud jika Baitulmal dan kerajaan seiring menunjukkan sikap proaktif dalam penghapusan kemiskinan tegar.

Sikap terlalu menyempitkan peranan Baitulmal yang dibatasi dengan sempadan negeri adalah punca utama di mana hasil kutipan zakat tidak dapat disalurkan kepada keseluruhan umat Islam dalam negara. Umat Islam di negeri-negeri miskin seperti Kelantan, Kedah dan lain-lain kurang mendapat pembelaan daripada Baitulmal kerana hasil kutipan zakat tidak semewah Baitulmal dalam negeri yang kaya seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Keterbatasan dalam pengagihan wang zakat kepada penduduk di luar wilayah negeri sepatutnya tidak dijadikan polisi bagi institusi zakat dalam negara. Ini disebabkan populasi penduduk Malaysia tidak tertumpu kepada wilayah di mana mereka dibesarkan.

Mereka berpindah dari satu negeri ke negeri lain untuk melaksanakan tugas kerajaan dan menyumbang wang zakat kepada Baitulmal dalam negeri tersebut. Wang yang disumbangkan kepada institusi zakat adalah hasil daripada potongan gaji daripada kerajaan.

Hakikatnya, wang zakat yang disumbangkan kepada Baitulmal di Selangor dan Wilayah Persekutuan adalah milik semua negeri kerana sebahagian besar daripada hasil kutipan zakat itu adalah sumbangan daripada masyarakat Islam dari penduduk negeri-negeri lain yang berhijrah ke wilayah tersebut.

Berdasarkan itu maka pengagihan wang zakat daripada Baitulmal yang mewah kepada penduduk Islam di negeri miskin adalah bertepatan dengan konsep universal Islam.

Mengagihkan kekayaan Baitulmal daripada negeri kaya kepada negeri miskin merupakan salah satu sistem pentadbiran negara Islam yang diamalkan oleh khalifah Islam masa silam. Khalifah Umar al-Khattab mengagihkan kekayaan daripada Baitulmal dalam wilayah-wilayah yang kaya kepada wilayah yang miskin ketika menghadapi inflasi yang tinggi semasa pemerintahan beliau. Tindakan begini adalah untuk memastikan bahawa tidak ada umat Islam dan rakyat dalam negaranya kelaparan dan menderita.

Konsep persaudaraan Islam dan kemanusiaan jika dipupuk dan disulami dalam pemikiran dan nurani umat Islam, ia mampu menghasilkan umat Islam yang berfikiran universal serta sanggup berkongsi kekayaan dan kemewahan.

Oleh itu, agihkan kekayaan Baitulmal dari negeri kaya kepada negeri miskin supaya umat Islam dapat menghindarkan diri daripada terjebak dalam kancah maksiat dan kemungkaran.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons