Oleh: ustnik
"Timbul isu ’sebatan syariah’. ( Antara artikel berkaitan: Hukuman sebat syariah tidak seperti sivil, ENAKMEN 9 TAHUN 2004, sebat, Negeri ada hukuman sebat tetapi tidak kuat kuasa, Malaysia anjur sidang hukuman sebat wanita). Adakah ia benar-benar menurut syariah dalam disiplin perundangannya yang sebenar atau ia hanya satu sandaran kepada syariah dalam keadaan induk perundangannya adalah sekular? Justru, kelihatanlah seakan-akan ’sebatan syariah’ itu adalah kehendak sebenar syariah, dan tanpa disedari syariah telah dikambinghitamkan dan diberi persepsi buruk oleh mereka yang sedia jahil tentang hukum-hakam syariah Islam seperti SIS dan yang sepertinya.
Perlu difahami, sebatan untuk kesalahan minum arak adalah 40 atau 80, bukan 6. Hukuman kesalahan seks haram atau istilah fiqh yang lebih tepat ialah zina pula adalah rejam bagi mereka yang sudah berkahwin, dan sebat 100 kali bagi mereka yang belum berkahwin.
Syariah pula bukan hanya menghukum. Hukuman adalah salah satu komponen atau elemen dalam keseluruhan syariah yang mesti dilaksanakan oleh pemerintah. Syariah mesti dilaksana secara holistik. Dengan kata lain, segala peluang, ruang, jalan yang boleh membawa kepada berlakunya jenayah seks haram dan lain-lain jenayah mesti ditutup.
Benarlah Allah yang berfirman, maksudnya ‘Jangan kamu hampiri zina’. Allah tidak menyebut ‘Jangan berzina’. Justru, disko, pub, kelab malam, rumah urut haram untuk pelacuran, majalah lucah/porno dan semi lucah, pertunjukan fesyen mendedahkan aurat, drama, filem yang mengajak secara halus kepada perlakuan seks dan lain-lain yang membawa kepada zina mesti dibendung. Sekali lalu, Islam begitu rigid apabila dilaksanakan. Semuanya tidak boleh. Benar, ia rigid bagi mereka yang mahu menjadikan hawa-nafsunya sebagai Tuhan. Ia rigid bagi golongan mahu bebas tanpa batas agama dan fitrah kemanusiaan. Tetapi sebaliknya, ia mudah diterima oleh mereka yang punya fitrah yang baik dan mahu melihat masyarakat yang sihat.
Dalamasa yang sama, jalan-jalan memudahkan perkahwinan dan urusannya mesti dilakukan. Ini termasuklah bantuan kewangan kepada mereka yang benar-benar mahu berkahwin sedangkan mereka tidak mampu. Begitu juga perbelanjaan perkahwinan.
Tentang arak, Islam memandang tinggi kepada kedudukan akal manusia. Dengan akal, ia membezakan manusia dari binatang. Oleh itu, Islam mengharamkan arak dan segala yang memabukkan. Tempat menjual arak dibatas kepada bukan Islam sahaja. Ini dari segi kesalahan zina dan minum arak. Belum lagi dibincang jenayah rogol, ragut, rompak dan lain-lain. Kalau dicari sistem dan cara mahu menurunkan indeks jenayah, maka kembalilah kepada sistem yang telah ditunjuk oleh syarak. Tak perlu meraba-raba mencari jalan penyelesaian dalam suasana cerah dan terang, petunjuk dari Nabi SAW yang kemudian dikembangkan dalam disiplin ilmunya oleh para ulama. Kalau masih was-was, tanyalah kepada ramai pakar syariah di IPT tempatan.
Syariah juga bukan hanya pada kesalahan jenayah. Syariah juga mesti berlaku perlaksanaannya dalam sistem ekonomi dan kewangan. Kerajaan nampaknya boleh menerima sistem kewangan Islam. Bank konvensional boleh menerima sistem kewangan Islam. Bayangkan, sistem kewangan Islam boleh bernafas di celah-celah sistem kapitalis yang begitu mencengkam. Apa jadi kalau sistem kewangan Islam itu yang lebih dominan? Atau keseluruhan sistem ekonomi Islam itu yang dilaksanakan?
Sebenarnya, kalau secara holistik, kewangan konvensional berasaskan riba mesti dihapuskan. Riba hanyalah lanjutan dari satu bentuk muamalat jahiliah yang dikosmetikkan semula agar kelihatan cantik, tetapi sebenarnya menghancurkan sistem ekonomi dan kemanusiaan secara keseluruhan. Islam menawarkan pelbagai instrumen dalam sistem kewangannya yang saya yakin ia jauh lebih dinamik dan berdaya maju dari apa yang disangka oleh sesetengah pihak.
Politik juga mesti berasaskan syariah. Dengan kata lain, politik pentadbiran mesti punya ruh syariah. Keadilan berasaskan syariah dalam pentadbiran negara, sistem perundangannya dan kehakimannya.
Mahkamah Syariah di zaman kita hanya melaksanakan sebahagian dari tuntutan syariat sebenar secara keseluruhan. Ibarat seorang buta meraba seekor gajah, terpegang ekornya lalu dikatakan gajah itu seperti tali. Atau yang memegang kaki, lalu dikatakan gajah itu seperti tiang. Demikianlah ’sebatan syariah’. Orang-orang yang buta tentang syariah begitu ramai di zaman sekular ini. Mereka melihat syariah dari aspek yang terlalu sempit. Keluasan dan kerahmatan dari syariat Islam terpinggir.
Dalam kita menyambut MaulidurRasul, kedatangan Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat kepada sekalian alam ini tertutup oleh kejahilan dan keengganan manusia kembali kepada syariah yang dibawa oleh Baginda SAW. Mereka lupa, terlupa, jahil atau dijahilkan di sebalik sistem jahiliah yang diwarisi dari Barat, sedangkan syariah telah pernah berlangsung di bumi Tanah Melayu ini sebelum penjajahan berlaku dan sebelum negara ini diserahkan kepada parti nasionalis Melayu untuk diperintah.
(Bahan berkaitan: kuliah kebagusan undang2 Islam, kuliah kesalahan jenayah