05 Februari 2010

Abai ajaran al-Quran punca umat Islam berpecah

Oleh Mohd Shukri Hanapi

PERPADUAN adalah tuntutan agama dan nilai diperlukan dalam menghadapi rintangan serta cabaran. Saat ini banyak dugaan melanda sama ada serangan dunia luar atau daripada umat Islam sendiri. Sepatutnya umat Islam berpadu tenaga menangani masalah ini.

Perpaduan adalah keperluan utama bagi mempertahankan kedudukan ummah. Oleh itu, sebagai benteng untuk menyekat penguasaan musuh terhadap kekayaan umat Islam dari segi sumber alam dan ilmu pengetahuan, kekuatan semangat bersatu padu perlu dikembalikan.

Secara teorinya, perpaduan bukan sukar diwujudkan. Al-Quran dan hadis menggariskan cara mewujudkan perpaduan. Namun, secara praktiknya, untuk mewujudkan perpaduan terpaksa menghadapi pelbagai masalah terutama sikap umat Islam sendiri.


Penerimaan umat Islam terhadap al-Quran sebagai asas perpaduan ummah masih menjadi persoalan besar. Meskipun Rasulullah SAW menjelaskan asas perpaduan sebenar umat ialah al-Quran dan hadis, namun umat Islam masih bergantung kepada nilai Barat.

Mereka teragak-agak untuk mendapatkan petunjuk daripada al-Quran, walaupun al-Quran sudah menjelaskan ia adalah kitab petunjuk yang tidak patut diragui sesiapa pun. Firman Allah bermaksud: “Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan, padanya petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Ketiadaan pegangan dan kepatuhan secara mutlak terhadap ajaran dan hukum al-Quran, menyebabkan umat Islam kehilangan arah. Dalam beberapa keadaan tertentu mereka boleh disifatkan orang yang separuh beriman.

Perkara paling penting perlu diberi perhatian berhubung al-Quran dalam konteks perpaduan ummah ialah kedudukannya sebagai asas perpaduan. Ia jelas dilihat pada sifatnya dan ajaran yang terkandung dalamnya.

Antara yang paling penting ialah sifatnya sebagai sumber asas pegangan hidup seluruh umat Islam. Berhubung perkara ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku sudah tinggalkan di kalangan kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, (iaitu) al-Quran dan al-Sunnah Rasul-Nya.” (Hadis riwayat Imam Malik)

Jelas perpaduan ummah yang dicita-citakan umat Islam boleh dicapai dengan senang jika berpegang teguh dengan al-Quran dan hadis. Dengan bersikap sedemikian mereka sudah di jalan benar. Secara tidak langsung, perpecahan sesama sendiri yang berlaku sekarang tidak akan timbul.

Sifat sebagai asas pegangan hidup seluruh umat Islam diperoleh daripada al-Quran atas kedudukannya sebagai kitab petunjuk kepada seluruh umat manusia. Perkara ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus.” (Surah al-Isra’, ayat 9)

Orang yang berpegang teguh dengan ajaran al-Quran bererti ia sudah menerima petunjuknya sebagai asas atau perlembagaan hidup yang tunggal dan unggul. Sehubungan itu, Allah berfirman bermaksud: “Dan tidak patut bagi lelaki Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang Mukmin apabila Allah dan Rasul-Nya sudah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) mengenai urusan mereka. Siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia sudah sesat secara nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 36)

Di samping berpegang teguh bahawa al-Quran itu perlembagaan hidup bersifat tunggal dan unggul, penerimaan itu juga harus menyeluruh, bukan menerima dalam sesetengah perkara dan menolak dalam perkara lain.

Sikap seperti ini sudah ditegur dan diingatkan Allah. Firman-Nya bermaksud: “Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang bertaubat demikian daripadamu melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat.” (Surah al-Baqarah, ayat 85)

Antara sebab utama berlaku perpecahan umat Islam pada hari ini ialah kegagalan mereka menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup yang tunggal dan unggul. Suatu perkara yang mendukacitakan, apabila ada umat Islam menafikan peranan al-Quran dan ada pula yang menerimanya secara berpilih mengikut kesesuaian cara hidupnya.

Ini bererti penyatuan ummah pada dasarnya lebih banyak terhenti atas kejayaan atau sebaliknya menjadikan al-Quran sebagai perlembagaan hidup yang tunggal.

Kepekaan terhadap hubungan antara al-Quran dan perpaduan umat disedari generasi pertama Islam dulu, sehinggakan mendorong mereka mengambil langkah membukukan ayat suci al-Quran dalam mushaf dan menentukan hanya satu mushaf yang diiktiraf iaitu mushaf Uthman.

Seperti tercatat dalam sejarah Islam, langkah seperti itu diambil antaranya bertujuan menjamin kesatuan ummah dengan mengelak perpecahan pendapat yang mendalam antara mereka berhubung susunan ayat suci al-Quran dan tatacara membacanya.

Peperangan yang sedang sengit berlaku suatu ketika dulu antara golongan Saidina Ali Abi Talib dan Mu‘awiyah dapat dileraikan dan gencatan senjata boleh dilakukan serta-merta apabila al-Quran ditonjolkan sebagai asas penyelesaiannya.

Meskipun sejak mula Saidina Ali mengesyaki ada sesuatu di sebalik tawaran gencatan senjata yang dibuat Mu‘awiyah, beliau tetap menerimanya demi menghormati al-Quran sebagai asas perdamaian dan penyatuan semula ummah.

Ini kerana al-Quran dihayati dengan sempurna dan peranannya sebagai sumber ilham dan petunjuk kepada semua kegiatan hidup diterima. Bagaimanapun kepekaan ini kemudian menjadi semakin lemah sehingga sampai kepada peringkat al-Quran diabaikan.

Al-Quran tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang boleh memainkan peranannya menyatukan seluruh umat Islam kerana tidak lagi menjadi sumber ilham dan petunjuk bagi kehidupan masyarakat Islam.

Oleh itu, usaha perlu dilakukan supaya wahyu dalam kitab Allah itu menjadi titik pertembungan yang menyatukan semua umat Islam dan semoga kesatuan yang dicapai membolehkan umat Islam dan Islam menghadapi setiap cabaran yang datang dalam satu semangat.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons