29 Januari 2010

‘Ujub, mengumpat, negara Islam, merokok, ASB dan ASN'.

Soalan: Tuan, bagaimanakah caranya kita mahu menghindarkan diri rasa ‘ujub? Apakah benar perasaan seperti ini boleh merosakkan semua amalan?
– Ahmad Abdul Majid, Besut.

Jawapan:
Untuk menhindarkan diri daripada ‘ujub antaranya:

1) Mempunyai ilmu pengetahuan yang boleh menilai mana yang baik dan mana yang buruk.

2) Menyedari dan menginsafi bahawa apa-apa kebaikan yang ada pada kita adalah dengan taufik hidayah Allah, tanpanya seseorang itu tidak dapat membuat apa-apa kebaikan.

3) Sentiasa bersyukur atas nikmat-nikmat Allah dan beristighfar kepadanya.


4) Mengetahui perangkap-perangkap syaitan yang sentiasa berusaha merosakkan amalan kebajikan seseorang.

5) Bertaqwa kepada Allah dan lain-lain.

Memang benar ‘ujub boleh merosakkan amalan kebajikan seseorang kerana:

1) ‘Ujub menghalang daripada mendapat taufik Allah dan hidayahnya.

2) Menghapuskan pahala amalan kebajikan, Nabi ‘Isa pernah bersabda kepada pengikut-pengikutnya, antara lain yang bermaksud :

"Sesungguhnya banyak lampu dipadamkan oleh angin, berapa ahli ibadah dirosakkan oleh ‘ujub."

Tolong tuan terangkan contoh satu persatu bagaimanakah bentuk niat, percakapan dan perbuatan yang boleh berlakunya ‘ujub ?
– Ahmad Abdul Majid, Besut.

Beberapa contoh yang boleh berlaku ‘ujub :

1) Lintasan dalaman: "Kalau tidak kerana aku lenganglah masjid ini" (merasakan dialah yang berperanan untuk memakmurkan masjid tersebut)

2) Kata-kata Qarun: "Kekayaan yang aku milik ini adalah hasil ilmu dan usahaku sendiri." (tanpa ada hubung kait dengan Allah).

3) Merasakan dialah yang paling layak dalam jawatan-jawatan tertentu.Dan lain-lain.

Apakah yang dimaksudkan dengan mengumpat. Dan apakah caranya yang perlu dilakukan bagi mengelak umpatan? Apakah anda umpat yang diizinkan oleh Islam?
– Juwairiyah Ismail,

Petaling Jaya, Selangor.

Menyebut keburukan seseorang yang tidak disukai olehnya. Untuk mengelak daripada mengumpat:

1) Hendaklah sentiasa bertaqwa kepada Allah dan merasai bahawa mengumpat adalah satu daripada dosa besar dan fasiq.

2) Menyedari bahawa orang yang mengumpat dilaknat oleh Allah.

3) Menyedari bahawa mengumpat adalah sifat yang keji, Allah gambarkan mereka seperti orang yang memakan daging saudaranya.

Ada beberapa bentuk mengumpat yang dibenarkan oleh Islam, ini bertujuan untuk sesuatu kebaikan atau menolak sesuatu keburukan atau kezaliman atau kemudaratan yang mana perkara-perkara itu tidak berhasil tanpa mengumpat, seperti:

1) Menyebut kezaliman seseorang kepada orang ynag bertanggungjawab, bertujuan mendapat pembelaan.

2) Mencegah daripada berlaku kemungkaran, seperti yang berlaku di antara Saidina Umar dan Saidina Uthman. Satu hari Saidina Umar mengucap salam kepada Saidina Uthman, Saidina Uthman tidak menjawabnya. Saidina Umar memberitahu peristiwa itu kepada Saidina Abu Bakar, Saidina Abu Bakar segera menemui Saidina Uthman bagi membetulkannya. Kalau tidak menjawab salam itu satu kemungkaran, maka apatah lagi maksiat-maksiat lain yang lebih besar itu perlu diajukan kepada pihak yang bertanggungjawab, dan ini adalah mengumpat yang dibenarkan.

3) Mengelak orang Islam daripada dizalimi, diberitahu kejahatan seseorang supaya orang lain tidak terpedaya dengannya.

4) Menyebut gelaran buruk seseorang, kalau tidak nescaya tidak dikenali, seperti Pak Hitam, Pak Panjang, Mamat Tempang, Pak Soh Buta dan lain-lain.

Bolehkah sesebuah negara itu dikatakan negara Islam sedangkan banyak kemungkaran dan maksiat serta murtad berlaku?
– Abdullah Sulaiman,

Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Negara Islam ialah sebuah negara yang sistem pentadbirannya berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah – yakni negara yang diperintah oleh orang Islam dan melaksanakan hukum-hukum Islam.

Mengenai banyak berlaku maksiat dan murtad di dalam negara tersebut tidak menafikan ianya sebagai negara Islam, tugas menyeru kepada kebaikan, mencegah daripada kemungkara mestilah diusahakan secara berterusan, ini satu daripada tugas penting bagi sesebuah kerajaaan Islam.

Apakah seseorang itu menjadi murtad sekiranya menyokong atau memilih kerajaaan yang jelas membiarkan murtad berlaku dengan seluas-luasnya.
– Insan ingin tahu,

Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Sebab-sebab yang menjadikan seseorang itu murtad ada diterangkan di dalam Kitab Mustika Hadith, bermula dari halaman 261 hingga 267, sila baca dengan teliti.

Apakah hukum ingkar dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan umpamanya fatwa bahawa rokok itu haram yang dikeluarkan pada 1985?
– Anti merokok, Dungun.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1985 telah mengenal pasti beberapa keburukkan akibat daripada merokok, diantaranya pembaziran, penagihan, mengugat kesihatan diri dan orang lain dan sebagainya, oleh itu Muzakarah tersebut mengeluarkan fatwa bahawa merokok itu Haram. Pada pendapat saya menjadi kewajipan kepada setiap muslim mematuhi fatwa tersebut.

Benarkah pembesar atau pemimpin negara dibolehkan untuk bersalaman dengan orang lain yang berlainan jantina?
- Jasmin Syahid Ali,
Kuala Lumpur.

Bersalam (bermusafahah) dengan orang-orang yang berlainan jantina adalah satu daripada masalah khilafiyah. Ulama’ Islam tidak sependapat tentang hukumnya.

Pendapat pertama : Harus ketika ketiadaan syahwat, dan tidak menimbulkan fitnah. Kalau dibimbangkan berlaku fitnah atau membangkitkan syahwat kepada kedua-duanya atau salah satunya maka bersalam seperti itu adalah Haram samada yang melakukannya itu pemimpin atau yang dipimpin.

Pendapat kedua : Haram, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku tidak bermusafahah (salam) dengan perempuan-perempuan." (yang bukan mahramnya). ‘Aisyah pernah berkata yang maksudnya: Tangan Rasulullah S.A.W. tidak pernah bersentuh dengan mana-mana tangan perempuan yang ajnabiah. Orang Islam yang beriltizam dengan agamanya adalah lebih baik berpegang kepada pendapat yang lebih cermat dan selamat. Wallahu A’lam.

Majlis Fatwa Negeri Selangor pernah mengeluarkan fatwa bahawa saham Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) itu haram. Jadi bagaimanakah pula dengan umat Islam di negeri lain?
- Anak Jati, Selangor.

Mengenai ASB atau ASN ini yang mustahak dibincangkan ialah dimanakah wang itu dilaburkan, di syarikat perniagaan yang halal maka halallah, sehingga ini belum ada penjelasan terperinci mengenai beberapa modalnya yang dilaburkan di dalam beberapa syarikat yang terlibat dengan riba’. Apa yang saya tahu bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan di dalam Muzakarahnya tanggal Januari 1985 mencadangkan supaya pihak ASN menarik balik pelaburannya di dalam syarikat-syarikat yang terlibat dengan riba’. Terpulanglah kepada umat Islam di Negeri ini samada ingin melibatkan diri di dalam saham tersebut atau tidak.

Apakah ucapan yang berkaitan dengan hukum, negara Islam, pemimpin Islam, undang-undang Islam dalam khutbah jumaat itu bercanggah dengan Islam kerana dianggap cakap politik seperti yang digembar-gemburkan? – Peminat Politik,
Kuantan, Pahang.

Islam adalah agama yang syumul, merangkumi seluruh kegiatan hidup manusia, akidahnya, syariatnya, termasuklah ekonomi, politik dan lain-lain. Memperkatakan perkara-perkara tersebut bertujuan difahami oleh orang-orang Islam dimana-mana sahaja termasuklah di dalam khutbah-khutbah jumaat adalah harus dan dilakukan secara yang berakhlak dan bijaksana. Mudah mudahan Allah memberi petunjuk kepada kita semua.

.............................................
Warta Darul Iman : Soal-Jawab bersama Mufti Terengganu Asy Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons