KITA perlu sentiasa bersyukur dengan kurnia Allah SWT kerana masih berpeluang menyambut tahun baru. Namun sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa merenung masa lalu bagi menginsafi dan memotivasikan diri. – Gambar hiasan
Umat yang tak menghargai, mengenal nilai masa tidak akan jadi manusia berjaya
JIKA kita memerhati penggantian angka dari 2009 kepada 2010 kita hanya melihat satu makna. Tetapi jika kita memerhati penggantian makna dari 2009 kepada 2010 kita akan melihat banyak angka. Ini sama seperti kita melihat atau membaca satu ayat al-Quran tetapi banyak di dalamnya pelbagai tafsiran.
Dari sudut perangkaan penggantian dari 9 kepada 10 adalah perkara yang tidak lazim bukan seperti penggantian angka sebelumnya. Jika penggantian angka sebelumnya adalah kepada angka baru seperti 1 menjadi 2 dan 8 menjadi 9, maka penggantian angka 9 menjadi 10 adalah satu titik mula kembali kepada asal. Sebelum ditemukan angka 0, permulaan angka adalah 1 dan diakhiri dengan 9. Ketika saintis Muslim menemukan angka 0 yang sama dengan ‘titik’ dalam perangkaan Hindi, maka pengiraan angka mempunyai wadah atau tempat. Penemuan saintis Muslim dalam sistem angka inilah era digital pada hari ini berhutang budi. 10 adalah angka keramat seperti pernah disentuh sebelum ini. Ia adalah permulaan dua digit yang berkesudahan pada angka 99 dan gabungan antara angka mati dan permulaan angka hidup.
2009 yang penuh dengan suka duka baru saja berlalu dan 2010 juga akan dipenuhi dengan suka duka juga baru saja menjelma. Yang telah berlalu tidak akan kembali dan yang akan datang kita belum tahu apa yang akan terjadi.
Untuk memikirkan apa yang akan kita lakukan pada masa hadapan adalah sesuatu yang dituntut agar kita selalu dimotivasikan untuk membuat perkara positif yang membawa faedah kepada kita. Tetapi, memikirkan apa yang telah berlalu kemudian terkongkong dengan imaginasinya, maka ia tidak akan membawa kepada sebarang perubahan bahkan ia akan memudaratkan diri sendiri.
Pada suatu hari Saidina Umar ibn al-Khattab sedang berkumpul dan berbincang dengan sahabatnya. Untuk memecahkan suasana perbincangan beliau berkata: “Berangan-anganlah kamu sekalian. Salah seorang daripada mereka berkata: “Aku berangan-angan seandainya rumah ini dipenuhi oleh emas untuk aku nafkahkannya di jalan Allah.” Lalu Umar berkata, “Berangan-anganlah kamu sekalian.” Yang lain pula berkata: “Aku berangan-angan sekiranya rumah ini dipenuhi dengan permata agar aku boleh mendermakannya ke jalan Allah dan bersedekah dengannya.”
Kemudian Umar berkata lagi: “Berangan-anganlah kamu sekalian.” Mereka lalu berkata: “Kami tidak tahu lagi apa yang harus kami katakan wahai Amirul Mukminin.” Umar berkata: “Aku justeru berangan-angan seandainya ada orang seperti Abu Ubaidah ibn al-Jarrah, Mu’az ibn Jabal dan Salim Mawla Abu Huzaifah agar aku dapat meninggikan kalimat Allah dengan bantuan mereka.” Lain yang dilihat oleh Khalifah Umar, lain pula yang dilihat oleh beberapa orang sahabatnya dan kedua-duanya tidak salah dari sudut pandang Islam. Oleh itu tidak ada acara saling salah-menyalahkan dalam sesi perbincangan itu. Yang ada hanyalah penambahan minda hadirin dengan hujah yang dikemukakan.
Saidina Umar tidak melihat kepada kebendaan dalam memajukan dakwah demi peninggian agama Islam, i’la kalimatillah. Yang beliau utamakan ialah sumber manusianya.
Manusia lebih penting daripada benda kerana benda diadakan Allah untuk kepentingan manusia. Kemanfaatan seseorang manusia dilihat tanda arasnya daripada kepanjangan umurnya yang digunakan untuk faedah alam sekitarnya. Selagi ia berbuat baik kepada persekitarannya, sebanyak itu pula dia mendapat kebaikan bahkan dilipatgandakan oleh Allah. Begitu pula sebaliknya, jika kejahatan mendominasi kepanjangan hidupnya maka keburukan pula yang akan diterimanya.
Ketika Rasulullah SAW ditanya: “Siapakah manusia terbaik?” Baginda menjawab: “Orang yang panjang usianya dan baik pula amalnya.” Baginda kemudian ditanya lagi: “Lalu, siapakah manusia terburuk?” Jawab Nabi: “Orang yang panjang usianya tetapi buruk amalnya.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Jika kita melihat penggantian 2009 kepada 2010 dari sudut sebutan angka saja, maka kita tidak akan melihat makna di dalamnya. Oleh itu kita mesti melihatnya dari sudut pandang makna kehidupan kita agar kita akan menghargainya kerana ia akan penuh makna. Makna yang paling menonjol ialah menghormati masa dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya agar tidak termasuk insan yang rugi.
Masa adalah anugerah adil yang dikurniakan Allah SWT kepada makhluknya. Sesiapa yang bersyukur yakni dengan menggunakan sesungguhnya maka Allah akan tambahkan nikmat-Nya, tapi barang siapa ingkar maka azab Allah amatlah pedih.
Pendakwah yang disebut sebagai ‘televangelist’ Muslim semasa, Amr Khalid dalam buku Ghayyir Nafsak (Rubah Dirimu) ada menulis bahawa apabila kita membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah sering bersumpah dengan masa. Tuhan sememangnya tidak akan bersumpah melainkan sesuatu itu penting dan mempunyai nilai berharga. Allah swt berfirman maksudnya: “Demi malam apabila menutupi (cahaya siang) dan siang apabila terang benderang.” (Surah al-Lail: 1-2) “Demi waktu Dhuha dan demi malam apabila telah sunyi.” (Surah al-Dhuha: 1-2) “Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (Surah al-Fajr: 1-2) “Demi matahari dan cahayanya di pagi hari dan bulan apabila mengiringinya.” (Surah al- Syams: 1-2) “Demi masa.” (Surah al-Ashr: 1) “Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah pada waktu senja.” (Surah al- Insyiqaq: 16)
Apakah yang menarik di sebalik masa ini hinggakan Allah bersumpah dengannya. Kembali kepada tujuan al-Quran diturunkan, maka Allah menginginkan kita supaya memerhatikan perkara ini agar mendapat pengajaran. Begitu banyak sumpah-Nya berkaitan dengan waktu. Maka umat yang tidak mengenal harga nilai masa tidak akan menjadi umat yang maju dan berjaya.
Ketika kita membaca: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia.” Hati kita pasti terkesan dengan sebutan umat terbaik akan tetapi keadaannya sangat menyedihkan. Pada asasnya, seseorang umat akan menjadi terbaik dan berjaya hanya jika mampu memanfaatkan kurnia Allah sebaik-baiknya dan tidak menyalahgunakannya. Maka apatah lagi bagi kita umat Islam. Dapatkah kita memahami betapa pentingnya masa yang sering kita sia-siakan?
Penemuan pertama kaum Muslimin awal masa keemasannya adalah jam. Pada waktu itu mereka mengembangkan dan meletakkannya di tempat awam dan di ruang istana. Mereka begitu membanggakannya. Mengapa? Sungguh mereka berjaya kerana memerhatikan masa. Sungguh agung umat ini.
Namun kini kita tidak begitu. Seorang yang taat beragama sepatutnya menghargai waktu dalam kehidupannya. Apatah lagi da’i yang mengajak manusia ke arah perjuangan Islam. Kisah berikut adalah kisah benar yang berlaku kepada seorang tokoh Muslim yang berjumpa dengan warga asing. Muslim itu terlambat beberapa minit. “Anda muslim?” tanya warga asing itu. “Ya.” “Anda solat?” tanyanya lagi. “Ya.” “Berpuasa pada Ramadan?” “Ya.” “Anda sudah menunaikan haji?” “Ya, tentu.” “Anda solat Jumaat tepat waktu?” “Sudah tentu.” “Sungguh aneh orang Islam. Agama mereka mengajarkan prinsip agung, sayang mereka tidak mengendahkannya.”
Amma ba’du, masihkah kita menjadikan penggantian tahun ini hanya sebuah penggantian angka saja dengan tetap mengutamakan foya-foya? Wallahu alam.