28 Januari 2010

Perancis perluas tegahan pemakaian purdah.

Jawatankuasa Parlimen gesa wanita Islam elak kawasan awam

PARIS: Sebuah jawatankuasa Parlimen Perancis yang mahu larangan memakai purdah dikenakan ke atas wanita Islam semalam turut mencadangkan agar larangan itu dikuatkuasakan di kawasan kemudahan awam, termasuk hospital dan terminal pengangkutan.

Pada masa sama, jawatankuasa itu turut mengesyorkan agar sesiapa menunjukkan ‘amalan agama radikal’ tidak diberi kad penduduk dan kewarganegaraan.

Laporan setebal hampir 200 halaman itu mengemukakan kaedah terperinci bertujuan menghalang wanita Islam daripada memakai purdah di Perancis. Bagaimanapun, tiada gesaan agar pemakaian purdah dianggap sebagai jenayah.


Namun, jawatankuasa 32 anggota daripada pelbagai parti itu memberi amaran bahawa larangan sepenuhnya pemakaian purdah boleh menimbulkan masalah lebih besar dan mungkin melanggar perlembagaan.

Ungkapan digunakan dalam laporan itu dipilih dengan berhati-hati bagi mengelak bantahan dan dakwaan diskriminasi oleh penduduk Muslim di Perancis yang kini dianggarkan lima juta orang, bilangan penduduk Islam terbesar di Eropah Barat.

Penduduk Islam sebelum ini sudah membuat bantahan mengenai pemakaian purdah atau penutup muka, manakala perbahasan berterusan mengenai identiti kebangsaan Perancis menyebabkan penduduk Muslim beranggapan mereka menjadi sasaran kerajaan.

Jawatankuasa itu, bagaimanapun, gagal mencapai persefahaman bentuk tindakan dan langkah boleh diambil, kecuali persetujuan bersama bahawa pemakaian purdah tidak dikehendaki di Perancis. – AP

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons