AKTIVIS membawa sepanduk menggesa Israel dan Mesir menamatkan sekatan terhadap Gaza, perkembangan yang tidak mendapat perhatian di Amerika sedangkan mencetuskan kemarahan umat Islam.
Kajian dapati dasar kerajaan AS kunci utama tangani golongan radikal
WASHINGTON: Ancaman golongan Muslim-Amerika yang dikategorikan sebagai radikal sebenarnya sengaja diperbesar-besarkan, menurut kajian penyelidik Universiti Duke dan Universiti Carolina Utara.
Malah, hanya sekumpulan kecil saja warga Muslim-Amerika berpendirian keterlaluan atau radikal sejak serangan 11 September 2001 di New York dan Washington.
Ia menyenarai 139 individu dikategorikan ‘pesalah keganasan Muslim-Amerika’ yang radikal di Amerika sejak kejadian itu, kadar 17 orang setahun.
Angka itu ‘kecil berbanding kejadian jenayah ganas lain di Amerika,’ menurut kajian berkenaan yang bertajuk ‘Pengajaran Anti-Keganasan Muslim-Amerika.’
Untuk masuk senarai berkenaan, seseorang itu mestilah orang dikehendaki pihak berkuasa, pernah ditahan, didapati bersalah atau membunuh berkaitan keganasan sejak 11 September, 2001 � selain tinggal di Amerika lebih setahun sebelum ditangkap.
Daripada 139 pesalah terbabit, kurang satu pertiga berjaya melaksanakan rancangan keganasan serta kebanyakannya berlaku di negara luar, kata laporan itu.
“Majoriti pertubuhan Muslim-Amerika dan individu yang kami temu bual dengan tegas menolak ideologi ekstremis yang mewajarkan keganasan bagi mencapai matlamat politik,” kata David Schanzer, Profesor Madya Sekolah Dasar Awam Sanford Duke dan pengarah Pusat Keganasan dan Keselamatan Dalam Negeri Triangle.
Malangnya, selepas kejadian 11 September dan serangan pengganas di tempat lain di dunia, tanggapan Muslim Amerika akan menjadi radikal menjadi ‘kebimbangan utama pihak berkuasa’ yang diperbesarkan dengan publisiti mengenai penahanan Muslim-Amerika seperti tembakan di Fort Hood, Texas, apabila 13 orang terbunuh.
Ahli psikiatri tentera, Mejar Nidal Hasan, seorang Muslim yang dilahirkan di Virginia, dituduh dalam kejadian berkenaan.
Kejadian lain termasuk tuduhan ke atas lapan lelaki Somalia-Amerika berhubung usaha merekrut pemuda dari Minneapolis, Minnesota, untuk bertempur bagi pihak al-Shabaab, pergerakan Somalia yang berperang dengan kerajaan negara Afrika itu.
Namun, masyarakat Muslim-Amerika sendiri turut memainkan peranan besar untuk mengurangkan anggota radikal itu apabila sering mengutuk keganasan, menurut kajian berkenaan.
“Masyarakat Muslim-Amerika sentiasa aktif bagi menghalang amalan radikal,” kata Charles Kurzman, profesor sosiologi di UNC.
“Hanya 36 daripada 136,000 kejadian pembunuhan membabitkan warga Muslim Amerika sejak tragedi 11 September,” katanya. – Agensi