23 Januari 2010

Masjidil Aqsa: Fizikal.


Assalamualaikum wa rahmatullah

Tulisan ini adalah asalan dari karya dan usaha Maszlee Malik, pejuang Malaysia yang mahu rakyat Malaysia memahami isu Palestin sebenarnya. Dipetik dari buku Peluru Lawan Batu: Konflik Palestin & Israel.

Gambaran Masjidil Aqsa

Ia bermula dengan intifadhah Al Aqsa. Rentetan dari peristiwa ini, kaum Muslimin mula mengambil berat mengenai Masjidil Aqsa. Ia merangkumi binaan, kubah, laluan, menara dan pintu.


Perluasan yang dilakukan telah disempurnakan dan keluasannya digandakan untuk menampung jamaah yang sentiasa mengerjakan solat. Ia tetap dipanggil Masjidil Aqsa tanpa menghiraukan puak Yahudi.

Batasan Masjidil Aqsa dan Pintu-pintunya

Al Haram Al Quds Asy Syarif banyak menggabungkan kesan-kesan sejarah Islam. Masjid As Sakhrah dan Al Aqsa dikelilingi pagar-pagar sepanjang 474 meter ke timur, barat 490 meter, utara 321 meter dan selatan 283 meter. Keluasannya 140,900 meter persegi.

Pintu-pintu Masjidil Aqsa

Pintu-pintu Masjidil Aqsa dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu pintu yang terbuka dari utara ke barat dan pintu yang tertutup dari barat ke timur.

Pintu-pintu yang terbuka dari sebelah utara ke barat ialah, Pintu Al Asbat, Pintu Hittah, Pintu Syaraf Al Anbiya’ atau Pintu Al ‘Atm, Pintu Ad daudiyah atau pintu Al Malik Faisal, Pintu Al Ghawanimah (mereka menamakannya pintu Al Khalil atau pintu Al Walid), Pintu An Nazhir (dinamakan juga pintu ‘Alauddin Al Bashir atau pintu Al Habs atau pintu Mikael), Pintu Al Hadid (dinamakan juga pintu Arghun), Pintu Al Qaathanin, Pintu Al Mutawadha’ (dinamakan juga pintu Mutahharah), Pintu Al Silsilah (dinamakan juga pintu Daud) dan Pintu Al Mugharibah (dinamakan juga pintu Al Nabiy).

Manakala pintu yang tertutup terdiri daripada empat, iaitu sebelah barat dinamakan Pintu As Sakinah. Di sebelah timur pula, Pintu Ar Rahmah, Pintu At Tawbah dan Pintu Al Jana’iz.

Kubah di Masjidil Aqsa

Terdapat 10 kubah di Masjidil Aqsa, iaitu Kubah Al Silsilah, Kubah Al Mi’raj, Kubah An Nabi (Mihrab Nabi), Kubah Al Qubah An Nahwiyah, Kubah Yusuf, Kubah Asy Syeikh Al Khalili, Kubah Al Khadr, Kubah Yusuf Agha, Kubah Musa dan Kubah Sulaiman.

Laluan di Masjidil Aqsa

terdapat banyak laluan, antaranya:

Laluan Syu’lan, ditingkat paling bawah ke As Sakhrah dan beberapa meter dari Pintu An Nazhir. Ia telah dibina oleh Raja Isa pada tahun 1216 Masihi.

Laluan Qaytabay menghadap pintu Al Mutawadha’ beberapa meter dari timur. Ia adalah laluan yang termasyhur dan terbesar. Dibina oleh Raja Aynal pada tahun 1455M dan diperbaharui oleh Raja Qaytabay pada tahun 1482M. Kemudian diperbaharui oleh Sultan Abdul Hamid pada tahun 1822M.

Laluan Qassim Basha, terletak beberapa meter dari pintu Al Silsilah iaitu di bahagian tenggara. Dibina oleh penjaga Al Quds, iaitu Basha pada zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Al Qanuni tahun 1527M.

Laluan ‘Alauddin Al Bashiri dan dinamakan juga laluan Al Habs dan terletak di barat Al Haram menghadap pintu An Nazhir.

Kolam Al Ka’s iaitu tempat mengambil wudhuk. Terletak antara Masjid As Sakhrah dan Al Aqsa. Dibina oleh putera Tankaz An Nashiri pada tahun 1327M. Ia adalah benteng di sekeliling bangunan yang dibuat daripada batu marmar. Air mengalir dari terusan yang bermula dalam perigi yang dikenali sebagai perigi Sulaiman dan ia terletak beberapa batu dari Al Quds sehingga ke sisinya.

Laluan Al Badiri, terletak di timur pintu An Nazhir iaitu di sebelah barat Al Haram. Pembinaannya selesai pada zaman Sultan Mahmud pertama pada tahun 1740M.
Telaga di Kawasan Masjidil Aqsa

Terdapat 27 telaga di kawasan Masjidil Aqsa. Dua (2) daripadanya kosong. Airnya cukup untuk menampung keperluan penduduk yang menetap di bandar itu dan tidak cukup untuk menampung jamaah solat yang bersolat di situ.

Lapan (8) telaga di masjid, tujuh (7) telaga berdekatan dengan Masjidil Aqsa, enam (6) telaga terletak di bahagian barat kawasan Al Haram, tiga (3) di sebelah timur da satu (1) di bahagian utara.

Menara-menara di Masjidil Aqsa

Al Haram Asy Syarif mempunyai empat (4) menara yang masyhur:

Menara pintu Al Mughirah – Ia dinamakan menara Al Fakhriyah dan dibina oleh Al Qadhi Syarafuddin Abdur Rahman anak lelaki kepada pengikut Menteri Fakhruddin Al Khalili pada 1278M.

Menara pintu Al Silsilah – terletak di barat Al Haram dan di atas pintu Al Kanisah. Disempurnakan binaannya Putera Saifuddin Tankaz An Nasiri pada tahun 1329M.

Menara pintu Al Ghawanimah – Didirikan di bahagian barat laut Al Haram, bersebelahan pintu Al Ghawanimah dan disempurnakan binaannya dengan perintah Raja Al Mansur Hishamuddin pada tahun 1297M serta diperbaharui oleh Putera Tankaz sewaktu pemerintahan Raja An Nasir Muhammad Qalawun. Ia juga dinamakan juga menara Qalawun.

Menara pintu Al Asbat iaitu di antara pintu Al Asbat dan pintu Hittah di bahagian timur laut Al Haram. Dibangunkan oleh Al Amin Saifuddin Qathlubagha pada waktu pemerintahan Raja Syaaban bin Hassan bin An Nasir Muhammad Al Qalawun pada tahun 1367M. Menara ini dibina berbentuk lapan segi, tidak seperti menara yang lain yang dibina berbentuk empat segi.

Serambi Masjidil Aqsa

Serambi Al Haram terletak di penghujung sebelah barat dan pembinaan ini dilakukan pada zaman pemerintahan Sultan Syaaban pada tahun 1367M.

Masjidil Aqsa (Masjid Umar)

Dahulu, selurh kawasan Al Haram Al Quds Asy Syarif dan semua binaan yang terdapat di dalamnya terutamanya Kubah As Sakhrah telah dibina oleh Abdul MAlik Marwan pada tahun 691M dipanggil Masjidil Aqsa.

Tetapi pada hari ini, nama Masjidil Aqsa itu adalah nama sebuah masjid besar. Ia terdapat di selatan kawasan Al Haram. Terdapat beberapa kesalahan dalam memahami fakta ini. Seorang sejarawan, Karl Mont berkata:

Masjid yang dibina oleh Umar Al Khattab berada di tempat yang sama dengan Masjidil Aqsa pada hari ini.

Dr. Carlwitz pula berkata:

Masjid yang telah dibina oleh Abdul Malik bin Marwan adalah tempat masjid yang telah dibina oleh khalifah Umar Al Khattab.

Kebanyakan sejarawan menyatakan, masjid ini dibina di zaman khalifah Umawi, iaitu Abdul Malik Marwan. Terdapat perselisihan pendapat mengani binaan masjid sekarang dan Masjid Umawiyyah tersebut.

Masjidil Aqsa telah dibina dan dibaikpulih beberapa kali. Pada akhir zaman pemerintahan Umawiyyah (747M) telah berlaku gempa bumi dan menyebabkan bahagian timur dan barat masjid roboh.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons