21 Januari 2010

KEMELUT ISLAM LIBERAL.

Oleh: YBhg. Dato Al-Syeikh Hj. Abdul Halim bin Abd. Kadir
Yang Dipertua, Persatuan Ulama’ Malaysia

الْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِي السَّمَوَاتِ وَمَا فِي اْلأَرْضِ وَهُوَ اْلعَلِيُّ اْلعَظِيْمُ. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ

MUQADDIMAH

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Allah s.w.t kerana masih lagi diberi kesempatan untuk menyampaikan ucaptama dalam seminar yang dianjurkan oleh Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) ini bersama dengan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM). Seminar ini bersempena dengan Mesyuarat Perwakilan Tahunan (MPT) PUM kali ke 29, atau lebih popular dengan nama mesyuarat agung ataupun muktamar sanawi.

Saya ingin mengucapkan Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum kepada seluruh perwakilan PUM samada dari Pusat ataupun dari Cawangan Negeri-negeri pada kali ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat datang kepada semua peserta seminar yang datang dari seluruh negara dan negara-negara sahabat seperti Singapura dan Indonesia.

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana memberi sokongan terhadap seminar yang dijalankan. Juga kepada Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di bawah JAKIM yang memberikan kerjasama kepada kita dalam menjayakan program sebegini. Tidak lupa kepada seluruh jawatankuasa yang terlibat, pihak sekretariat seminat yang sememangnya bekerja keras dalam memastikan seminar ini dapat berjalan dengan lancar.


Seminar kita pada kali ini adalah berdasarkan kepada temanya di mana ia akan tertumpu kepada MENANGANI PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL DI MALAYSIA.

LATARBELAKANG

Dalam lipatan sejarah umat Islam sepanjang zaman, mereka senantiasa berusaha memastikan kemurnian dan keaslian ajaran Islam daripada penyelewengan, serangan pemikiran dan kacau bilau dalam aspek pemikiran. Dan telah menjadi sunnatullah pada setiap zaman dan tempat, para ulama yang berjuang mempertahankan Islam, membetulkan persepsi yang menyeleweng. Ini bertepatan dengan firman Allah ta’ala dalam surah al-Baqarah ayat ( 251 ):

ولو لادفع الله الناس بعضهم على بعض لفسدت الأرض ولكن الله ذوفضل على العلمين

Maksudnya: “kalaulah Allah tidak ada saling “tolak menolak” di antara manusia, pasti bumi akan binasa, tetapi Allah ta’ala mempunyai kelebihan ke atas sekalian alam”.

Saudara saudari sekelian,

Daripada persoalan aqidah dan ilmu kalam, umat Islam menyaksikan zahir dan wujudnya pelbagai fahaman dan I’tiqad seperti Mu’tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Jahmiyyah dan sebagainya. Daripada kemelut tersebut muncul Ahl al-sunnah wa al-jama’ah yang mempertahankan aqidah Islam yang murni daripada kesilapan, penyelewengan dan kesesatan. Ini kerana mereka berpegang teguh dengan sumber utama Islam iaitu al-Quran dan al-sunnah di samping kelebihan akal fikiran. Umat yang berpegang dengan ajaran ahl al-sunnah wa al-jama’ah akan selamat, justeru ditanam dan diajarkan kepada generasi ke generasi. Ini selaras dengan sabda Nabi saw ketika ditanya siapa yang akan terselamat [1] “ما أنا عليه وأصحابى” yakni golongan yang mengikuti cara Nabi saw dan para sahabat baginda saw. Persoalan mengenai ilmu kalam itu boleh dianggap selesai dan umat dapat membezakan mana yang betul dan mana yang menyimpang, menyelewang dan sesat.

Namun kini, di zaman ICT, sains dan teknologi, globalisasi, pasca kolonisme, umat Islam disuap dan disogok dengan pelbagai fahaman (isme) yang secara kasar tidak dibincangkan dalam ilmu kalam dalam perbincangan secara tradisi. Fahaman-fahaman tersebut seperti imperialisme, kolonisme, rasionalimse, sekularisme, liberalisme, nasionalisme dan sebagainya. Dari satu segi ia boleh dianggap serangan pemikiran mungkin akibat daripada siri-siri peperangan salib maupun globalisasi. Tetapi, apa yang penting, isme-isme yang diperkenalkan itu telah diterimapakai dan mempraktikkan oleh sebahagian umat Islam dalam kehidupan mereka. Sedangkan sebahagian besarnya adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

FAHAMAN “ISLAM LIBERAL”

Para muktamirin dan peserta seminar,

Adalah diyakini bahawa penggunaan istilah Islam Liberal itu tidak tepat. Menisbahkan sifat liberal kepada Islam adalah tidak wajar. Islam Liberal atau pemikiran Islam Liberal adalah merujuk kepada suatu pemikiran yang berusaha membebaskan dan meliberalkan umat Islam dari Islam yang satu, yang disepakati dan Islam yang sudah mapan (established). Dengan lain perkataan, ia adalah satu pemikiran yang berusaha meliberalkan dan merungkai takrif Islam yang telah dipersetujui oleh umat Islam.[2] Kekeliruan dan kekacauan yang dibawa oleh oleh fahaman tersebut telah mendorong Majelis Ugama Islam Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa pengharamannya. Namun ia mendapat cemuhan daripada pendukung-pendukung fahaman tersebut.[3] Terdapat begitu ramai yang dianggap terpengaruh atau pendukung Islam Liberal di Indonesia.[4]

Tinjauan terhadap penulisan-penulisan mengenai Islam Liberal, dapat dikatakan bahawa pokok pemikirannya merujuk kepada perkara-perkara berikut:[5]

Sekularisasi dan sekularisme;
Plurisme Agama;
Al-Qur’an edisi Kritis;
Hermeneutika;
Feminisme

Isu-isu di atas wujud di Indonesia. Dan Malaysia dalam banyak hal terutamanya dari segi perkembangan aliran pemikiran banyak menerima pengaruh dan tempias dari Indonesia. Kalau ditinjau apa yang ada di negara kita Malaysia, ianya tidak kurang berbanding dengan Indonesia. Sebagai contoh, Penolakan autoriti hadith Nabi saw, penafsiran ajaran secara longgar, feminisme melampau dan banyak lagi.

Fahaman sekularisme jelas bertentangan dengan Islam kerana ia memisahkan di antara agama dan pemerintahan. Sedangkan Islam agama yang sepadu. Kesan dari sekularisme, ia mewujudkan dichotomy dan dualisme dalam negara. Persoalan agama, ketaatan dan kemaksiatan, dianggap sebagai hak individu, hak asasi mereka. Sekiranya mereka tidak melaksanakan tuntutan agama atau melakukan pelanggaran hukum hakam agama, maka orang lain tidak berhak menegur dan menasihatinya. Justeru keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana Islam merupakan agama amar ma’ruf nahi munkar. Firman Allah dalam surah Al ‘Imran ayat 110 :

كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله

Maksudnya: Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan kepada manusia, kamu menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah perkara mungkar, dan kamu beriman dengan Allah..

Dari perbincangan para ulama dan ahli akademik mengenai isu-isu pokok Islam Liberal, ianya amat merbahaya kepada aqidah dan syariat Islam. Sebagai contoh plurisme agama. Mereka menganggap semua agama adalah sama, benar, sahih yang menuju kepada tuhan yang sama. Ini meletakkan agama Islam setaraf dan sama dengan lain-lain agama, sedangkan Allah berfirman dalam surah Al ‘Imran ayat 19:

إن الدين عند الله الإسلام

Maksudnya: Sesungguhnya satu-satunya agama di sini Allah ialah Islam

Begitu juga Nabi saw pernah bersabda:[6]

الإسلام يعلو ولا يعلى عليه

Maksudnya: “Agama Islam itu tinggi dan tiada ada yang lebih tinggi daripadanya”.

Ikhwah yang dikasihi,

Dari aspek kritikan ke atas mushaf al-Quran, isu ini nampaknya belum jelas diperkatakan di Malaysia. Tetapi di Indonesia, ada pihak-pihak mempertikaikan mushaf al-Quran ‘Uthmani. Implikasinya ialah mereka mempertikaikan kesahihan dan kemutawatiran al-Quran yang dibacakan dan pegang oleh umat Islam sekarang. Ditambah pula terdapat juga pihak-pihak yang menolak hadith. Justeru kalau kedua-dua asas utama agama Islam ditolak ataupun dipertikaikan, maka atas asas apa lagi yang kita boleh berpegang dengannya. Tidakkah Nabi saw pernah bersabda:[7]

تركت فيكم أمرين لن تضلوا ما تمسكتم بهما كتاب وسنة نبيه

Maksudnya: “aku tinggalkan di kalangan kamu semua dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpegang teguh dengan keduanya, iaitu Kitabullah dan sunnah NabiNya”

Berkaitan dengan hermeneutika pula, golongan berfahaman “Islam Liberal” terpengaruh dengan metod orientalis. Mereka cuba mengaplikasikan kaedah mentafsirkan Bible kepada al-Quran. Sedangkan dalam disiplin pengajian tafsir, telah terdapat kaedah yang telah diterima pakai oleh ulama sejak sekian lama. Seorang-seorang yang ingin menafsirkan Quran perlu terlebih dahulu mempunyai syarat-syarat kelayakan. Ianya bagi membendung orang yang tidak berkeahlian dan kelayakan menceburi bukan bidangnya.

Manakala persoalan feminisme pula, banyak isu mengenainya di Malaysia. Isu pokoknya ia menuju ke arah persamaan antara lelaki dan perempuan. Mereka menuntut persamaan hukum hakam syariah di antara lelaki dan perempuan.Perbezaan hukum di antara jantina dianggap sebagai tidak adil.[8]

Isu-isu pokok inilah yang boleh merosakkan aqidah umat dan merobek kemurnian ajaran Islam. Manakala isu-isu fiqh atau furu’ memang banyak dipertikaikan. Ia seperti poligami tidak sah, perkahwinan berbeza agama sah termasuk antara muslimah dan bukan Islam, masa ‘iddah tidak hanya untuk wanita sahaja, isteri boleh menjatuhkan talak, bahagian warisan anak lelaki dan perempuan adalah sama.[9]

CABARAN

Muslimin dan muslimat sekelian,

Cabaran dalam pemikiran memerlukan sebenarnya mematangkan umat dan para ulama’. Mungkin kita boleh “berterima kasih” kepada aliran dan pemikiran yang lari dari landasan ajaran Islam. Dengan lain perkataan, dengan wujudnya serangan pemikiran, penyebaran faham yang menyeleweng yang disandarkan kepada ajaran Islam, maka bangkitlah para ulama-pewaris anbiya’ menjelaskan apa dan kenapa ia dianggap sebagai menyimpang, menyeleweng, sesat dari ajaran Islam. Justeru mereka akan mengajar, berceramah, berdiskusi, mengarang, berseminar bagi menangani dan membendung ajaran ianya tidak terus diamalkan atau terus disebarkan. Sebagai contoh, di Malaysia pada tahun 1980an gawat berkaitan penolakan hadith. Penolakan ke atas asas utama agama Islam. Ia merupakan satu cabaran besar. Justeru ramai ulama’ dan pemerintah mempertahankan sunnah Nabi dan menolak fahaman yang sesat dan menyeleweng itu. Ini selaras dengan hadith Nabi saw:[10]

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله: ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين

Maksudnya: “senantiasa membawa ilmu ini mereka yang adil dari setiap generasi. Mereka akan menolak i) penyelewengan golongan ektremis, ii) dakwaan bohong golongan batil dan iii) takwilan golongan jahil”

Begitu juga isu pemikiran “Islam Liberal”. Mungkin atas nama “Islam Liberal” tidak wujud dan didaftarkan lagi di Malaysia, tetapi pemikiran, cara, isu, sedang menuju sebagaimana yang telah dan sedanga berlaku di Indonesia. Mungkin orang awam atau pihak-pihak yang tidak mempunyai asas yang kukuh dalam aqidah Islam dan syariat Islam akan terpengaruh dengan dakyah golongan tersebut. Namun begitu, kita tidak perlu mengulangi sekali lagi memberikan promosi percuma kepada golongan ini sebagaimana yang diberikan kepada Kassim Ahmad.

FAKTOR

Para muktamirin,

Ada banyak menyatakan bahawa kemunculan “Islam Liberal” adalah ekoran kepada faham sekularisme. Ada yang menyatakan ianya adalah ditaja oleh pihak-pihak luar dengan menghulurkan dana-dana. Malah ada yang mendakwa, ia muncul kerana apa yang ada sekarang ini sangat ketat (rigid), maka berlakulah proses liberalisai hukum dan sebagainya.

Daripada penyelidikan yang dilakukan oleh beberapa pihak, pengaruh dan penyebaran “Islam Liberal” diambil samada di barat maupun di timur tengah. Berkenaan timur tengah, Mesir dikenalpasti mempunyai beberapa tokohnya seperti Hasan Hanafi, Nasr Abu Zayd dan lainnya.

Manakala pihak-pihak yang terpengaruh atau mendukung fahaman ini boleh dikatakan berasal dari dua latar belakang. Satu golongan bukan berasal dari bidang pengajian Islam, manakala satu pihak lagi berasal dari bidang pengajian Islam.

Apa yang telah dan sedangkan dilakukan oleh pendukung Islam Liberal ialah cuba keluar dari kerangka asas yang telah diasaskan para imam mujtahid sebelum ini. Ini kerana setiap disiplin ilmu dalam pengajian Islam sama ada Syariat, Usuluddin atau Tassauf mempunyai prinsip kerangka dan metodologinya tersendiri yang secara asasnya bertunjang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Dengan lain perkataan, para ulama’ telah meletakkan asas-asas metodologi penting, bagaimana berinteraksi dengan isu-isu pemikiran, aqidah, hukum, kemasyarakatan, maslahat dan sebagainya. Sebagai contoh, dalam usaha mengistinbatkan hukum, para ulama telah meletakkan asas dan metodologinya sebagai yang terkandung dalam disiplin usul al-Fiqh. Ini bermakna hanya pihak-pihak tertentu yang berkeahlian sahaja layak bercakap mengenainya. Begitu juga cara berinteraksi dengan perbendaharaan fiqh warisan ulama’. Sehubungan itu, terdapat di kalangan umat Islam yang telah dan sekarang berusaha berbicara mengenai Islam tanpa asas kukuh dan tanpa metodologi yang telah mantap diakui para ulama’. Kebanyakan mereka berusaha membebaskan diri mereka daripada hukum-hukum yang telah diestablishedkan.

MENANGANI PEMIKIRAN “ISLAM LIBERAL”

Saudara saudari sekelian,

Menyedari dan menginsafi bahaya yang telah bakal dibawa oleh pemikiran “Islam Liberal” di Malaysia, langkah-langkah tertentu perlu diambil bagi membendung ia terus berkembang. Di antara langkah-langkah yang boleh dipertimbangkan ialah:

a. Memantapkan kelas-kelas pengajian.

Di samping memantapkan kelas-kelas pengajian agama sama ada di masjid, surau, sekolah, pusat pengajian serta tempat-tempat kerja, penilaian terhadap kandungan pengajaran harus juga dilakukan. Dengan lain perkataan, adakah kandungan pengajaran terutamanya di masjid dan surau boleh melahirkan individu muslim yang mantap aqidah dan syariatnya. Terutama mengenai asas penting dalam aqidah Islam, asas-asas pemikiran Islam yang selari dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah.

b. Penerbitan bahan penerangan.

Penerbitan bahan penerangan mengenai masalah ini pasti akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat umum. Ia boleh dilakukan dengan mengeluarkan risalah, buku menerangkan penyelewengan dan penyimpangan pemikiran “Islam Liberal” daripada ajaran Islam yang murni samada berkaitan dengan aqidah maupun syariat.

c. mengikuti kerangka metodologi mazhab fiqh yang muktabar.

Umat Islam perlu disedarkan agar mereka dapat mengikut kerangka metodologi fiqh yang muktabar, seperti yang telah digariskan oleh para ulama’ silam, kerangka yang diiktiraf sehingga hari ini. Metodologi yang telah diterima pakai sejak sekian lama telah melalui pelbagai proses sehingga ia muncul menjadi ikutan ilmuwan Islam. Malangnya, ada golongan yang cuba mencabar metodologi fiqh yang muktabar, sehingga ada kumpulan yang menolak mazhab secara total, tidak mahu terikat dengan syariah Islam dan mahu bebas dalam mentafsir ayat-ayat al-Quran.

d. mencadangkan kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri agar menguatkuasakan keputusan fatwa yang telah dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam persidangan kali ke-74, pada 25 – 27 Julai 2006. Ini supaya fatwa terhadap fahaman ini dapat dikuatkuasakan supaya fahaman ‘Islam Liberal’ tidak menjejaskan perpaduan ummah yang telah lama terbina di Malaysia dan Nusantara. Di negara jiran seperti Indonesia, fahaman ini telah difatwakan sebagai haram kerana ini menyeleweng dari asas Islam dan landasan syariat yang sahih. Jika ia tidak ditangani, kita khuatir masa depan umat Islam di negara ini akan terumbang ambing, terkeliru di dalam perjalanan kehidupan mereka lantaran serangan pemikiran liberal yang mencengkam.

MELAKAR AGENDA KEHADAPAN

Manakala dari aspek dalaman, saya kira PUM perlu memperkasa gerakannya agar terus memimpin masyarakat dalam hal-hal yang menyentuh permasalahan umat Islam. Kita merasakan bahawa PUM mampu untuk membantu JAKIM, YADIM umpamanya atau badan-badan lain dalam membanteras fahaman salah sebegini. Oleh yang demikian, beberapa langkah proaktif mesti dilakukan oleh PUM bagi menguatkan saf ikatan dikalangan pimpinan dan ahli, seterusnya masyarakat di luar sana. Langkah-langkah dalaman yang boleh diambil ialah:

Mengukuhkan tarbiyah

Pimpinan dan ahli PUM dipelbagai peringkat perlu menunjukkan komitmen dalam menggerakkan dakwah. Komitmen lahir dari tarbiyah yang kukuh. Bagi mengukuhkan tarbiyah, saya kira cara terbaik ialah melalui usrah dan daurah yang memungkinkan terbinanya tafahhum dikalangan penggerak dakwah, samada ahli atau pimpinan PUM. Penjelasan terhadap fikrah yang sonsang boleh dilakukan sesama sendiri dahulu, sebelum kita menyampaikannya kepada masyarakat.

Mempergiat dakwah

Masyarakat sentiasa memerlukan bimbingan ilmuan. Di sinilah peranan yang penting harus dimainkan di mana jika sekiranya masyarakat mendapat bimbingan dari ilmuan yang ‘liberal’ maka versi yang akan dianut oleh mereka juga akan menjadi versi ‘Islam Liberal. Oleh yang demikian, kita harus terus mempergiat usaha untuk melakukan dakwah dalam apa keadaan sekalipun, dalam keadaan susah, senang, dakwah harus berjalan.

Memugar Muslimat

Satu aspek yang menjadi sasaran golongan Islam Liberal ialah yang berkaitan kebebasan / emansipasi wanita. Golongan liberal, akan terus menyatakan bahawa Islam menindas wanita sepertimana yang dilakukan oleh kumpulan-kumpulan pejuang gender. Dalam hal ini PUM mesti menggerakkan secara aktif sayap Muslimat bagi membantu memberi penerangan terhadap kekeliruan golongan ini. Saya sedar sayap Muslimat PUM Pusat kelihatan sedikit berhalangan dalam organisasi ini, namun insya Allah dengan dokongan semua para hadirin, saya amat mengharapkan ia dapat dibantu dan dibentuk semula dengan mantap.

Pelapis ulama’ muda

Kita sedar bahawa ramai dikalangan tenaga muda lulusan pengajian Islam samada dari dalam atau luar negara masih belum digerakkan sepenuhnya. Sebenarnya mereka boleh membantu merancakkan pergerakan kita, namun tenaga mereka masih ada yang belum digerakkan. Justeru, PUM harus mengambil langkah kehadapan dalam hal ini bagi membentuk pelapis ulama’ muda yang sifatnya versatile dan boleh menangani masalah-masalah pemikiran, penyakit-penyakit umat atau masalah-masalah lain di zaman kini.

Memperkasa penjanaan kewangan

Dalam usaha melakukan dakwah, sudah tentu ia tidak boleh lari dari sokongan kewangan. PUM atas sifatnya sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) sememangnya bergantung kepada sumbangan dan derma yang diterima. Ada kalanya cukup, ada kalanya tidak. Walaupun PUM sering merasai keperitan atas kekangan kewangan, namun atas tekad yang ada kita teruskan juga apa-apa yang telah dirancang. Kita harapkan pada masa-masa akan datang, kedudukan kewangan ini dapat dipertingkat agar dakwah ini terus rancak di persada umat.

Meningkatkan jaringan strategik hubungan antara badan-badan Islam
Semenjak akhir-akhir ini, PUM sering dijemput untuk menganggotai jaringan badan-badan NGO Islam yang ada di Malaysia. Usaha ini harus terus didokong agar misi Islam itu dapat dilaksanakan dalam pelbagai bentuk (approaches). Ada yang diusahakan sendiri oleh pakatan NGO Islam seperti ACCIN, dan ada yang diusahakan oleh YADIM dan juga Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Semua ini dilihat mempunyai matlamat yang suci, justeru kita akan terus memberi komitmen dalam menjayakannya.

Melestarikan imarah ulama

PUM dalam usianya yang sudah mencecah 34 tahun, sebenarnya masih belum mempunyai komplek imarah atau pejabat yang viable. Ini adalah salah satu matlamat kita untuk melihat dalam masa yang terdekat ini, untuk memperolehi satu ruang pentadbiran sendiri. Alhamdulillah, saya boleh umumkan di sini bahawa pejabat pentadbiran PUM akan berpindah ke Shah Alam dalam jangkamasa setahun dari sekarang. Walaupun ruang yang kita cuba beli itu tidaklah sebesar mana, namun saya anggap ia adalah satu langkah penting dalam pergerakan badan ini dalam fasa-fasa yang seterusnya nanti. Perancangan sedang dibuat bagi melengkap ruangan yang ada itu dengan fasiliti dan teknologi terkini agar kita tidak ketinggalan dibandingkan dengan gerakan-gerakan missionary lain.

Smart partnership dalam melaksanakan aktiviti

Usaha dakwah yang dilakukan terutama dalam menangani bentuk-bentuk pemikiran sebenarnya boleh dijalankan dengan kerjasama erat badan-badan Islam lain. Oleh yang demikian, PUM amat berterima kasih kepada badan-badan yang telah membantu menjayakan seminar kita pada kali ini. Seterusnya, bagi PUM Negeri-negeri, teruskan langkah dengan mengadakan smart partnership ini dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti Islam demi kebaikan semua.

Saya yakin dengan saranan-saranan ini kita dapat menangani aliran pemikiran sonsang yang merasuk fikrah umat Islam di negara ini dengan lebih rancak lagi.

PENUTUP

Sidang hadirin hadirat sekelian,

Pendekatan terbaik Islam dalam sesuatu perkara ialah pendekatan pencegahan, bukan merawat sesuatu yang telah berlaku. Ini bertepatan dengan pepatah yang menyatakan dengan jelas الوقاية خير من العلاج (mencegah lebih baik daripada merawat). Justeru dalam persoalan yang dibincangkan di atas, semua pihak yang berkepentingan sama ada institusi beraja (Majlis Raja-Raja Melayu), institusi agama, agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) harus mengembelingkan tenaga ke arah membendungkan perkembangan aliran pemikiran ini sebelum ia merebak dan menjadi parah. PUM di Negeri-negeri juga disaran supaya bersikap pro-aktif dalam melaksanakan tugasan dakwah yang terpundak dibahu, selaras dengan tuntutan Islam dalam hal al-Amr bi al-Ma’aruf wa al-Nahy ‘an al-Mukar. Tingkatkan kerjasama dengan badan-badan Islam, agar kita dapat bekerja dalam satu pasukan yang mantap. Semoga dengan usaha kita yang sedikit ini akan dinilai dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t dalam kita meniti kehidupan pasca alam dunia.

Akhir sekali, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan seminar ini dan Mesyuarat Perwakilan Tahunan kali ke-29 pada malam nanti. Setulus penghargaan buat YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YADIM, ILIM, JAKIM serta pihak-pihak yang telah memberikan tajaan dan sumbangan ikhlas bagi melihat usaha menangani pemikiran Islam Liberal ini dapat dilaksana dengan jaya. Semoga kerjasama bestari ini akan berterusan pada masa-masa akan datang, demi Islam dan umat sejagat.

Selamat berseminar dan selamat bermuktamar. Semoga kita juga bersedia menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak nanti.

وبالله التوفيق و الهداية والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

--------------------------------------------------------------------------------
* UCAPUTAMA ini dibentangkan dalam Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan 2008 anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 23-24 Ogos 2008 bersamaan 21-22 Syaaban 1429H bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bandar Baru Bangi

[1] Al-Sheikh Muhammad ‘Abd al-Rahman al-Sakhawi (1985 ), al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytaharah ‘ala al-Alsinah. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, hadith no. 340, ms. 259.

[2] Ugi Suharto (2007), Pemikiran Islam Liberal: Pembahasan Isu-isu Sentral, Shah Alam: Dewan Psutaka Fajar, m.s. 4.

[3] Ibid, ms.19-20.

[4] Lihat Budi Handrianto (2007), 50 Tokoh Islam Liberal Indonesia- Pengusung Ide Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme Agama. Jakarta: Hujjah Press.

[5] Ibid., ms. 7-33.

[6] al-Sakhawi (1985 ), al-Maqasid al-Hasanah fi Bayan Kathir min al-Ahadith al-Musytaharah ‘ala al-Alsinah. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, hadith no. 109, ms113

[7] ‘Abd al-Ghani ‘Abd al-Khaliq (1993 ), Hujjiyyah al-Sunnah. Cet. 2. Herdon: IIIT, ms. 252.

[8] Ugi Suharto (2007), Pemikiran Islam Liberal: Pembahasan Isu-isu Sentral, ms. 30.

[9] Ibid, ms. 31.

[10] Al-Khatib al-Baghdadi (1971 ), Syaraf Ashab al-Hadith. Ed. Oleh Muhammad Sa’id Khatib Ughlu. Ankara: Kulliyah al-Ilahiyyat-Jami’ah Ankara, ms. 28.

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons